Sunday, December 6, 2009

HUKUM MENGAMBIL ANAK ANGKAT

Sejarah anak angkat pada zaman Jahiliah dan zawan permulaan Islam


Bangsa Arab pada zaman jahiliah mengamalkan sistem “anak angkat” untuk memasukkan sesiapa sahaja yang mereka kehendaki ke dalam nasab keturunan mereka. Sebaik sahaja mengambil anak angkat dan mengiklankan kepada orang ramai, anak angkat tersebut menjadi salah satu daripada anggota keluarga tersebut dan mendapat hak-hak yang sama seperti anak-anak kandung dalam pembahagian harta pusaka dan hak-hak yang lain. Mereka juga akan di”bin”kan kepada nama bapa-bapa angkat mereka.

Amalan ini masih diteruskan sewaktu islam mula berkembang di tanah arab. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah mengambil seorang anak angkat, Zaid bin Harthah pada zaman Jahiliah. Zaid merupakan seorang hamba yang dibeli Hakim bin Hizam untuk dihadiahkan kepada mak ciknya Saidatina Khadijah. Saidatina Khadijah telah menghadiahkan hamba tersebut kepada Rasulullah s.a.w selepas mereka berkahwin.

Ketika mana bapa dan pak cik Zaid mengetahui dia menjadi hamba kepada Rasulullah s.a.w, baginda telah memberi pilihan kepada Zaid sama ada ingin terus bersama nabi atau kembali bersama keluarganya. Zaid telah memilih untuk terus bersama nabi, maka Rasulullah s.a.w membebaskan Zaid dan mengambilnya sebagai anak angkat.

Dalil pengharaman anak angkat

Islam telah melihat anak angkat sebagai satu pemalsuan identiti sebenar seseorang individu. Anak palsu ini mendapat harta pusaka sepertimana anak kandung mendapat harta pusaka. Anak palsu tersebut juga boleh menghalang ahli-ahli keluarga lain daripada mendapat harta pusaka. Hal ini boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan dan pertelingkan dalam pembahagian harta pusaka serta memutuskan tali persaudaraan. Oleh yang demikian Allah s.w.t telah membatalkan undang-undang jahiliah tersebut dan mengharamkan amalan tersebut untuk selama-lamanya. Firman Allah:


 مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ ٱللاَّئِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَآءَكُمْ أَبْنَآءَكُمْ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي ٱلسَّبِيلَ . ٱدْعُوهُمْ لآبَآئِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ ٱللَّهِ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوۤاْ آبَاءَهُمْ فَإِخوَانُكُمْ فِي ٱلدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَآ أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً 

Mafhumnya: (Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai “maula-maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Ahzab ayat 4-5)

Hukum mengambil anak angkat untuk menjaga dan mentarbiah

Anak angkat yang diharamkan oleh islam adalah anak angkat yang dinasab dan di “bin”kan kepada bapa-bapa angkat mereka. Ini akan mengharuskan anak tersebut bercampur-gaul seperti biasa dengan anak-anak kandung keluarga tersebut , mereka boleh mendapat harta pusaka seperti anak kandung serta mengharamkan perkahwinan dengan anak-anak kandung keluarga tersebut.

Pengambilan anak angkat seperti inilah yang diharamkan oleh Islam, adapun mereka-mereka yang mengambil anak angkat seperti anak-anak yatim dan lain-lain dari sudut penjagaan dan pentarbiahan tidak dihalang oleh islam, bahkan perkara tersebut dipuji dan mendapat pahala daripada Allah. Sabda nabi: “Aku dan anak yatim seperti ini” sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari hantu. Seandainya bapa angkat tersebut hendak memberikan harta kepada anak angkatnya maka dia boleh menghadiahkan atau mewasiatkan harta tersebut kepada anak angkatnya.

Rujukan:
Kitab Al-Halal Wal Haram Fil Islam

Wednesday, November 11, 2009

10 PERSOALAN SEKITAR ISU CINTA DAN PERKAHWINAN




Sejak pulang ke Malaysia 15/8/2009 banyak persoalan dan perbincangan tentang isu perkahwinan yang saya hadapi (maklumlah cuti-cuti sem ni ramai yg nikah) beberapa persoalan diajukan berulang kali, jadi saya berminat untuk menjawab 10 persoalan yang berkaitan dengan isu tersebut




Apakah hukum bercinta mengikut (ulama') islam?

Isu ini menjadi sangat popular beberapa tahun kebelakangan ini, saya pun sebelum ini keliru kerana terlalu banyak pendapat (sebahagian besarnya tidak disandarkan kepada ulama). Ketahuilah, haram hukumnya mengistinbad (keluarkan) hukum daripada mana-mana hadis/ayat al-quran melainkan mereka yang bergelar ulama’ mujtahid. Ulama-ulama jadi-jadian yang berfatwa sebelum layak untuk berfatwa akan menyesatkan umat, hukum mereka keluarkan fatwa adalah HARAM walaupun fatwa mereka tepat.

Berkaitan dengan isu ini saya tertarik dengan pendapat yang diutarakan oleh Ibnu Hazm yang merupakan seorang mujtahid, faqih dan ahli sastera, beliau menghuraikan permasalahan ini di dalam kitabnya “ tauqul hamamah”, beliau telah mengatakan, Islam tidak pernah menghalang cinta, syariah tidak mengharamkan cinta kerana cinta adalah urusan hati dan hati adalah urusan Allah.

Cinta merupakan fitrah yang dicipta oleh Allah untuk kebahagian hamba-hambanya. Oleh yang demikian, cinta bukanlah sesuatu perkara yang dilarang oleh Islam, tapi perkara yang dikawal oleh Islam. Setiap perkara yang boleh mendekatkan diri seseorang kepada penzinaan, diharamkan oleh Allah. Firman Allah:

“ Dan janganlah kamu dekati zina”

2. Apakah hukum wali mujbir bapa @ dato' memaksa nak perempuan berkahwin?

Secara mudahnya anak perempuan dibahagikan kepada dua kelompok:


Anak dara

Jumhur ulama’ melarang wali mujbir memaksa anak perempuan berkahwin, seandainya dipaksa maka anak perempuan boleh membuat pilihan sama ada hendak menolak atau meneruskannya, ini berdasarkan sebuah hadis mafhumnya: “

“ Daripada Ibn Abbas, seorang gadis dara datang kepada Nabi memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani)”.

Namun begitu, dalam mazhab syafie wali mujbir boleh memaksa anak dara berkahwin dalam mengomentari pendapat dalam mazhab syafie ini Profesor Yusuf Qaradawi telah berkata: ““Siapa tahu, jika al-Syafii hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika al-Syafii melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al- Mu‘asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).



Janda

Ijma’ ulama’ melarang wali mujbir memaksa anak perempuan kahwin.


3. Apakah hukum ibu bapa melarang anak berkahwin?

Ijma’ ulama mengharamkan ibu bapa melarang anak-anaknya berkahwin berdasarkan firman Allah:

“ Janganlah para wali menghalang mereka (perempuan-perempuan) berkahwin dengan bakal suami mereka “

Surah Al-baqarah ayat: 232

Dalam mazhab syafie ibu bapa hanya boleh melarang anak dara berkahwin seandainya mempunyai calon yang lebih baik daripada calon yang dipilih oleh anaknya.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan khitbah/tunang?

"Khitbah" juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak / kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seseorang wanita.(Fatawa Muasoroh oleh Dr.Yusof Al Qardawi). Dr. Yusof Al- Qardawi juga berkata (buku yang sama) bahawa di dalam khitbah / bertunang ini tidak ada "hak" bagi khatib(tunang lelaki) kecuali hak untuk melamar ( to reserve or booking) makhtubah (tunang wanita) semoga pihak lelaki selain darinya tidak datang untuk meminang wanita itu.

5. Hukum melihat wanita ketika bertunang

Seorang lelaki boleh melihat bakal tunangnya sama ada disedari atau tidak disedari, sama ada dengan kerelaan atau tanpa kerelaan wanita tersebut.

Dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulallah saw bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah / kahwin, maka lakukan!!! ". Berkata Jabir (perawi) hadis ini: " aku telah bertunang dengan wanita dari Bani Salamah, aku telah bersembunyi tanpa dilihat oleh wanita itu sehingga aku melihat sebahagian dari 'diri / tubuh badan' wanita itu yang boleh membawa kepada kehendak dan kemahuan aku untuk menikahi atau mengahwininya".

Bersambung…..

Rujukan

1. Sohih Wasoyar Rosul ( Syeikh Saa’d Yusuf )
2. Tauqul Hammam ( Ibnu Hazmi )
3. Guru-guruku ( Ust Salman Maskuri dll)

8.11am 29/10/2009
Kedai makanku,
Cheras Kuala Lumpur.

Wednesday, September 23, 2009

Aku Sebuah Kisah


PERHATIAN: Penulis tidak bertanggungjawab atas apa-apa kilaf dan impak hasil dari bacaan pembaca.

***
Aku Sebuah kisah
Kisah rahsia yang Maha Ehsa
Permulaan Kisah yang tiada tanda
Tanda Maujud Zat Yang Laisa

Aku Sebuah Kisah
Nukilan yang ada di dalam kisah
Kisah yang wujud tiada bertinta
Buah fikiran Lahaulawala Khuawatailla Billa

Aku Sebuah Kisah
Berpisah yang tercamtum jua
Di titik kehendak-Nya
Terjadilah nukilan Kudrat Iradat-Nya
Tiada di wujud terdaya menidaknya

***



Tuesday, September 1, 2009

Pencerahan Terhadap Isu Semasa di Mansurah




Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, sungguhpun terdapat beberapa permasalahan yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) dan pilihanraya baru-baru ni sehingga menarik perhatian presiden PMRAM untuk menegur salah laku tersebut, akhirnya Mat dan pilihanraya dapat diselesaikan sehingga penghujungnya. Moga-moga, segala permasalahan yang berlaku dalam pilihanraya tahun ini dan tahun-tahun lepas dapat diambil berat oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab dan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang terdahulu perlu di perbaiki dan diubah agar tidak berulang pada masa hadapan. Buat pimpinan baru, semoga anda semua dapat menjalankan tugas-tugas yang Allah berikan kepada anda dengan penuh adil dan amanah kerana setiap yang di amanahkan Allah kepada kita akan dipersoalkan Allah diakhirat kelak.

Pada mulanya, saya tidak berniat untuk mengulas permasalahan yang berlaku sebelum, semasa dan selepas MAT, tapi memandangkan fitnah pilihanraya dan MAT berterusan saya rasa ada baiknya untuk berikan sedikit penjelasan. Moga-moga ianya akan mengurangkan fitnah yang tersebar di bumi Mansurah ini.

Saya rasa sedikit terkilan apabila terdengar suara-suara sumbang yang cuba mengatakan apa yang saya katakan pada MAT dan majlis-majlis sebelum ini satu fitnah dan agenda untuk memecah-belahkan ahli-ahli Mansurah. Saya minta maaf seandainya kadang-kadang saya emosi, lebih-lebih lagi bila mempunyai bukti yang kukuh terhadap sesuatu isu, tetapi kesalahan tersebut masih dipertahankan oleh sebahagian pihak. Apa salahnya kita berlapang dada mengaku kesalahan kita.

Alhamdulillah. sebahagian permasalahan dalam MAT baru-baru ini, telah berjaya diselesaikan di luar bersama mereka-mereka yang bertangungjawab dan saya rasa perkara ini tidak perlu dipanjangkan, cukuplah saya katakan saya mempunyai bukti terhadap apa yang saya katakan.

Pelik dan ganjil apabila sebahagian daripada kita walaupun sudah mempelajari khilaf dalam bab-bab feqah dan ilmu-ilmu lain, tapi tak mampu menerima perbezaan pendapat dalam urusan dunia, kalaulah urusan agama pun ada khilaf apatah lagi urusan dunia. Sepatutnya kita tidak boleh menuduh mana-mana ahli yang berlainan pendapat dengan pendapat kita sebagai pemecah-belah masyarakat, mereka layak memberikan pendapat mereka, terpulang kepada pimpinan untuk menilai dan memutuskan pendapat mana yang mereka mahu ambil, selagimana tidak bertentangan dengan syara'.



Sentimen Al-Bahriyun

Pelik saya bilamana menerima meseg ym daripada seorang sahabat mengatakan ada sebahagian pihak yang mendakwa di dalam shoubox blog seorang sahabat terdapat golongan baru di Mansurah yang digelar sebagai al-Bahriyun. Mereka tidak putus asa untuk meneruskan perjuangan mereka. Mereka digelar al-Bahriyun kerana dikatakan sebahaiannya pernah belajar dengan saya dan pendapat mereka bertentangan dengan pendapat sebahagian orang lama. Mereka juga dituduh cube untuk menubuhkan persatuan baru, sebahagian daripada akhawat dipulau semata-mata bersependapat dengan mereka.

Saya jadi musykil, adakah kerana perbezaan pendapat mereka dilayan sebegitu rupa?. Saya yakin mereka bukanlah orang yang hendak memecah belahkan ahli. Kalau benar begitu, idea-idea tersebut tidak disumbangkan kepada DPMM sebaliknya disumbangkan kepada Nadi UMNO, ISMA dan lain-lain.

Hakikatnya, orang yang menuduh sebegitu dan melakukan perlakuan terkutuk itulah orang yang cuba memecah belahkan ahli. Pertandingan di dalam DPMM adalah seperti pertandingan di dalam PAS. Tidak sewajarnya ada yang cuba jatuh-menjatuhkan diantara satu sama lain.



Sejarah pasti akan berulang

Sejarah kemenangan kerajaan Tatar terhadap kerajaan Islam Abbasiah dan Khawarizmi seharusnya dapat memberi pedoman pada kita semua, kekalahan kerajaan Islam pada ketika itu bukanlah semata-mata disebabkan kekuatan musuh tapi disebabkan sikap orang-orang Islam pada ketika itu yang suka jatuh-menjatuhkan diantara satu sama lain dan suka menumpukan perkara-perkara khilaf.

Moga-moga kita dapat menghayati peristiwa tersebut kerana sejarah buruk itu pasti akan berulang kepada-kepada mereka-mereka yang tidak ambil pengajaran daripada sejarah tersebut.



Jom Belajar Berlapang dada dan Minta Maaf

Marilah kita sama-sama berlapang dada untuk mendengar pendapat mana-mana pihak dan tidak mudah menuduh mereka yang tidak sependapat dengan kita salah, pemecah-belah dan lain-lain selagimana pendapat mereka tidak bercanggah dengan syara'. Bagi mereka-mereka yang telah telanjur melakukan kesalahan, marilah kita turunkan ego untuk minta maaf kepada orang yang telah kita zalimi. Buangkanlah segala sifat mazmumah yang terkandung dalam diri kita dan cubalah perbaiki kelemahan-kelemahan diri dan persatuan kita. Moga-moga kita tetap akan kekal dalam perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat.

Buat akhirnya saya memohon maaf atas segala kesilapan. InsyaAllah pada 15 hb ini saya akan pulang ke Malaysia. Teguran membina daripada sahabat-sahabat amat saya harapkan.

4:01am 14/08/2009
ait Salam
Murur,
Mansurah
Mesir.

Saturday, August 8, 2009

FITNAH DAN PILIHAN RAYA



Suatu hari ketika sibuk membeli-belah di sebuah pasaraya hp Ahmad ( bukan nama sebenar ) berbunyi menunjukkan sebuah khidmat pesanan ringkas (sms) telah diterima.. : “Pak Uda ( bukan nama sebenar) masukkan dadah dalam nasi lemak dia, tu yang ramai orang makan nasi lemak kat warong dia, diaorang semua dah ketagih dadah, sebarkan”


Tanpa berfikir panjang Ahmad pun sebarkan sms tersebut. Bayangkan seandainya Ahmad sebarkan sms itu kepada 10 orang, dan setiap orang yang mendapat meseg itu hantar kepada 10 orang lain. Dalam 10 minit mungkin meseg itu boleh tersebar kepada ratusan ribu orang. Subhanallah, seandainya meseg itu hanya fitnah ( dalam bahasa arab buhtan ) semata-mata, maka sudah tentu syaitan boleh bertepuk tangan meraikan kejayaannya membuatkan ramai manusia bergelumang dengan dosa besar.


Ini merupakan salah satu contoh kesalahan yang seringkali kita lakukan seandainya kita tahu balasan orang yang melakukan fitnah nescaya kita akan berfikir beribu kali sebelum menyebarkannya.


Balasan bagi penyebar fitnah ( buhtan )


Firman Allah s.w.t mafhumnya:


Dan orang-orang yang menyakitkan hati orang-orang mu’min dengan sesuatu yang tidak mereka lakukan maka mereka telah membawa pembohongan ( buhtan ) yang besar dan dosa yang nyata ” ( Al-Ahzab : 58 )


Sabda nabi:


Barangsiapa yang memerangi waliku maka aku mengisytiharkan perang terhadapnya “ ( Riwayat Muslim )


Hakikatnya kita bukan sahaja berdosa seandainya melakukan fitnah ( buhtan ) terhadap saudara muslim kerana mereka-reka cerita untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan mereka, bahkan kita juga tetap berdosa seandainya menyebarkan perkara-perkara buruk yang sememangnya mereka lakukan ( ghibah ).


Apa itu ghibah??


Sabda nabi:


Ghibah adalah menyebut sesuatu yang dibenci oleh saudaranya “


Boleh difahami disini berdosa bukan sahaja menyebarkan buhtan (pembohongan) bahkan sebarkan sesuatu yang tidak disukai oleh saudara kita walaupun ianya benar tetap mendapat dosa.


Balasan bagi pengumpat ( ghibah )


Sabda nabi:


Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dalam keadaan hatinya masih belum beriman, janganlah kamu mengumpat, dan janganlah kamu mencari2 aurat (kesalahan) saudara kamu kerana barang siapa yang mencari2 aurat (kesalahan) saudaranya maka Allah akan mencari2 auratnya (kesalahan) dan barangsiapa yang Allah mencari kesalahannya Allah akan mendedahkan keburukannya walaupun didalam rumah”


Situasi-situasi yang dimaafkan ghibah


Ulama’ kita hanya membenarkan ghibah di beberapa tempat diantaranya:


  1. Dizalimi: orang-orang yang dizalimi memberitahu kezaliman yang telah dilakukan keatasnya kepada amir (ketua) untuk mendapatkan haknya.


  1. Membinta bantuan: boleh ghibah untuk meminta bantuan mengubah kemungkaran, dan untuk mengembalikan ahli maksiat ke jalan yang benar.



  1. Meminta fatwa: seperti yang dikatakan oleh Hendon kepada Rasulullah: “ Sesungguhnya Abu Sufyan kedekut tidak memberikan kami nafkah dan tidak mencukupkan keperluan kami adakah aku boleh mengambil hartanya tanpa pengetahuannya maka Rasulullh membalas : “ Ambillah sekadar keperluan kamu dan anak-anakmu”


  1. Memberikan peringatan kepada orang mukmin tentang keburukan yang bakal berlaku.



  1. Orang yang dikenali dengan laqab (panggilan) tertentu seperti “Man botak” dan lain-lain.


  1. Orang yang jelas-jelas melakukan kefasikan



Oleh yang demikian saya menyeru kepada kita semua yang bakal menghada pilihanraya di Mansurah atau di tempat-tempat lain agar jauhilah buhtan (penipuan) dan ghibah (ngumpat) moga-moga kita akan menjadi golongan yang dipelihara oleh Allah.


Ya Allah bantulah kami dalam menghadapi ujian dan fitnah dunia.. Tabahkanlah hati kami Ya Allah.. Gantikanlah kesabaran kami dengan syurgamu..”


2:27 pm 08/02/2008,

Bait Maqabir, Mansurah.

Rujukan:

1. Riyadus Solihin ( Imam Nawawi )

2 .Maui’zatul Mu’min ( Imam Said Jamaluddin )


Wednesday, July 8, 2009

ILMU YANG FARDU (WAJIB) DIPELAJARI


Cukupkah Sekadar ke Kulliah? Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari..


Sebelum peperiksaan lepas ada seorang sahabat bertanya: Adakah pengajian di kuliah semata-mata memadai untuk memenuhi keperluan diri kita?


Hakikatnya, soalan ini telah dijawab oleh ulama’ kita ratusan atau ribuan tahun yang lepas. Walaupun tidak menjawab secara khusus, namun, garis panduan ilmu yang wajib dipelajari oleh seseorang individu telah diletakkan oleh ulama’-ulama’ kita.


Secara ringkasnya, ilmu fardu yang wajib dipelajari oleh seseorang muslim terbahagi kepada dua:


Fardu ain:


Ilmu fardu ain merupakan ilmu yang diwajibkan keatas setiap individu muslim. Syeikh Az-Zarnuji di dalam kitabnya Ta’limu ta’lim menggariskan, ilmu fardu ain yang diwajibkan keatas setiap individu adalah ilmu hal (feqh, tauhid, tasawuf). Ilmu hal ialah ilmu semasa yang berkaitan dengan individu tersebut.


Secara ringkasnya imam Al-Ghazali membahagikan ilmu hal terbahagi kepada tiga bahagian:



1. Ilmu I’tiqad ( Tauhid )


Ilmu tauhid ialah ilmu untuk mengenal Allah s.w.t, ilmu ini merupakan ilmu yang paling wajib dipelajari kerana tanpanya terbatallah segala amalan anak Adam. Sungguhpun begitu ilmu ini adalah ilmu yang paling sikit wajib dipelajari sehingga mana Imam Al-Ghazali mengatakan cukup sekadar mempelajari kalimah syahadah ( لا اله الا الله ) serta memahaminya tanpa memerlukan kajian serta dalil.

Pendapat imam Al-Ghazali ini berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w yang hanya mewajibkan kepada orang-orang arab badawi mempercayai dan mengaku keesaan Allah dan kenabian rasulnya s.a.w tanpa perlu mempelajari dalil.

Selain daripada itu, ilmu kita juga wajib belajar ilmu-ilmu berkaitan aqidah berdasarkan lintasan-lintasan buruk yang datang dalam hati kita. Kita wajib belajar ilmu-ilmu yang boleh menghilangkan keraguan serta kesamaran yang terkandung dalam lintasan hati tersebut.


2. Ilmu Feqh


1. Amalan yang wajib dilaksanakan.

Diantara Ilmu feqh yang wajib dipelajari adalah ilmu yang menjadi syarat sah amalan seseorang selepas amalan tersebut diwajibkan keatasnya. Contohnya: Ilmu pertama yang wajib dipelajari oleh seseorang adalah Ilmu yang berkaitan dengan solat kerana solat wajib dilakukan setiap hari. Apabila menjelangnya bulan Ramadan maka dia wajib mempelajari ilmu yang berkaitan dengan puasa. Seandainya harta individu tersebut sudah mencukupi had wajib keluar zakat, maka dia wajib mempelajari ilmu yang berkaitan dengan zakat, dan begitulah seterusnya.

2. Amalan yang wajib ditinggalkan.

Selain daripada itu kita juga wajib mempelajari amalan-amalan yang wajib ditinggalkan berdasarkan keadaan semasa. Oleh yang demikian ilmu-ilmu yang wajib dipelajari berbeza mengikut keadaan seseorang. Misalnya, seseorang yang bisu tidak wajib mempelajari perkara-perkara yang haram dituturkan ketika bercakap, begitu juga seseorang yang tidak menjalankan urusniaga tidak wajib mempelajari hukum-hakam berkaitan riba’.


3. Ilmu tasawuf

Ilmu tasawuf merupakan ilmu yang paling banyak perlu dipelajari kerana ilmu inilah yang paling banyak perlu dipraktikkan. Sebahagian daripada manusia tidak mengakui dan menolak kewujudan ilmu ini. Hakikatnya mereka hanya mampu menafikan nama ilmu tersebut tanpa menafikan kandungan ilmu tersebut kerana ilmu tersebut jelas berdasarkan al-quran dan a-sunnah. Barangkali mereka lupa pepatah inggeris yang mengatakan “ don’t judge the book by it cover” (jangan nilai sesuatu buku berdasarkan kulit luarnya)


Sebenarnya ilmu tasawuf mempunyai beberapa nama lain seperti ilmu adab dan ilmu tazkiyatun nafsi (ilmu untuk menyucikan hati) sebahagian daripada mereka yang menafikan ilmu tasawuf mengakui nama lain bagi ilmu taswuf, ini membuktikan mereka tidak menafikan ilmu bahkan hanya menafikan istilah. Ilmu ini merupakan satu ilmu yang agung sehingga mana Allah s.w.t bersumpah bersumpah tujuh kali diatas tujuh makhluk hebat ciptaannya diatas muka bumi ini untuk memuji mereka yang mempraktikkan ilmu tersebut. Sabda Allah di dalam suruh Al-Syams:


وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا . وَالْقَمَرِ إِذَا تَلَاهَا . وَالنَّهَارِ إِذَا جَلَّاهَا . وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَاهَا . وَالسَّمَاءِ وَمَا بَنَاهَا . وَالْأَرْضِ وَمَا طَحَاهَا . وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا . فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا . قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا



Maksudnya: “Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan bulan apabila ia mengiringinya; Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikannya”


Ilmu ini dikatakan ilmu yang paling banyak perlu dipelajari kerana ilmu tersebut menyentuh sebahagian besar kehidupan ilmu kita. Sebagai contoh , adab merupakan sebahagian daripada perbahasan ilmu tasawuf, setiap perbuatan manusia perlu disertai dengan adab daripada sekecil-kecil perkara seperti makan, minum , beristinjak sehinggalah kepada sebesar-besar perkara seperti solat, nikah, puasa dan ibadah-ibadah yang lain.


Konklusinya Ilmu yang secara umumnya wajib dipelajari oleh seseorang muslim ada 3, tauhid, feqh, dan tasawuf. Kadar yang wajib dipelajari adalah mengikut kepada keadaan seseorang.


Ibnu A’jibah di dalam kitabnya Iqazul Himam syarah kepada sebuah kitab tasawuf yang masyhur al-Hikam telah menaqalkan sebutir mutiara kata daripada imam Malik: “Sesiapa yang hanya bertasawuf tanpa mempelajari feqah, maka zindik lah akan dia. Sesiapa yang hanya mempelajari feqah tanpa tasawuf, maka fasiqlah dia. Maka, sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya; maka sesungguhnya tahkik dia”


fasiq: Sentiasa melakukan dosa kecil dan tidak meninggalkan dosa besar
zindiq: Orang yang tidak percaya kewujudan tuhan ( Aties )
tahqiq: Orang yang berjaya mengikut jalan yang benar.
Oleh yang demikian kepada para al-azhari khususnya dan kepada yang lain-lain umumnya, mari sama-sama kita soal diri kita. cukupkah untuk menjadi pendakwah kalau sekadar ke kulliah tanpa pergi talaqqi bersama syeikh-syeikh diluar kulliah? Jawapannya sudah tentu tidak, mana mungkin jadi pendakwah, untuk menyempurnakn kewajipan keatas diri sendiri pun belum tercapai Oleh yang demikian saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat mari kita sama-sama gunakan cuti yang panjang ini untuk menyiapkan bekalan sebagai seorang muslim sejati dan pendakwah. Bagi yang bercita-cita lebih tinggi, jom kumpul ilmu untuk jadi mujtahid….


Bersambung…..


4:09pm 08/07/2009

Bait Maqabir
Dirasat Mansurah
Mesir.

Rujukan:

1. Ta’limu Ta’lim Toriqut Ta’llum (Syeikh Al-Zarnuji)

2. Ihya’ Ulumuddin (Imam Al-Ghazali)

3. Iqazul Himam fi Syarhil Hikam (Ibnu Al-A’jibah)

Thursday, June 25, 2009

TAUBAT DAN DARJATNYA



Sesungguhnya hamba-hamba Allah dibahagi-bahagikan kedudukan bukan berdasarkan harta dan pangkat bahkan ianya ditentukan berdasarkan kedudukan taubat mereka . Seseorang hamba perlu senantiasa menyoal diri mereka, adakah taubat yang ku persembahkan kepada Illahi, taubat yang sebenar? atau taubat yang penuh dengan dustaan dan nista? Dimanakah kedudukan martabat taubatku pada waktu ini? Adakah taubatku masih ditahap yang rendah?

Imam Al-Ghazali rahimahullah telah membahagikan martabat-martabat taubat berdasarkan kedudukan seseorang, bermula daripada kedudukan a’la sabiqin (terawal) sehinggalah kedudukan zolimin (terkebelakang)


Pembahagian taubat

Bahagian pertama:

Kedudukan taubat seseorang hamba dinilai berdasarkan keadaannya di penghujung hayatnya. Mereka yang berada pada kedudukan pertama ialah mereka yang tidak kembali melakukan dosa setelah bertaubat, melainkan kesalahan-kesalahan yang tidak dapat dipisahkan daripada diri manusia secara kebiasaannya.

Inilah insan-insan yang istiqamah dalam bertaubat, insan tersebut mempunyai nafsu yang berlumba-lumba menuju ke arah kebaikan. Taubat ini dinamakan taubat nasuhah dan nafsu tersebut dinamakan nafsu mutmainnah. Ketika kembali ke hadrat illahi maka akan dikatakan kepadanya :


فَٱدْخُلِي فِي عِبَادِي * ٱرْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً * يٰأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ

Mafhumnya: “Wahai nafsu mutmainnah (hati-hati yang tenang), kembalilah kepada tuhanmu dalam keadaan yang puas dan diredai. Masuklah ke dalam (jemaah) hamba-hambaku dan masuklah ke dalam syurgaku” (Al-Fajr: 27-30)

Mereka ini ada pelbagai jenis, sebahagian daripada mereka ada yang syahwatnya tenang disebabkan paksaan ma’rifah maka mereka futur (putus asa) untuk menentangnya, dan sebahagian yang lain ada yang berusaha untuk menentangnya dan diri mereka dipenuhi dengan mujahadah menentang syahwat tersebut.

Bahagian kedua:

Kelompok kedua merupakan orang yang telah istiqamah dalam melaksanakan perkara-perkara asas dalam ketaatan dan meninggalkan dosa-dosa besar. Akan tetapi mereka tidak berjaya memisahkan diri mereka daripada dosa, bukan dengan sengaja, akan tetapi, mereka telah di uji dengan dosa dalam pelbagai sudut. Mereka tidak berazam untuk melakukan dosa tersebut.

Setiap kali mereka lakukan dosa, mereka akan mencela diri mereka serta menyesal dan berazam untuk berhati-hati daripada mendekati sebab-sebab yang boleh membuatkan mereka tergelincir sekali lagi ke dalam lembah kemaksiatan . Mereka inilah golongan yang memiliki nafsu lawwamah (celaan) kerana nafsu ini mencela dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka ini dijanjikan oleh Allah dengan balasan yang baik. Firman Allah:


ٱلَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ ٱلإِثْمِ وَٱلْفَوَاحِشَ إِلاَّ ٱللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ ٱلْمَغْفِرَةِ

Mafhumnya: “ Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji selain daripada kesalahan-kesalahan yang kecil, sesungguhnya tuhanmu maha luas pengampunannya”

Jumhur ulama’ mengatakan sesungguhnya "اللمم" merupakan selain daripada dosa-dosa besar seperti pandangan, cinta dan lain-lain.


Bahagian ketiga:

Seseorang hamba bertaubat dan istiqamah dalam taubatnya dalam tempoh tertentu, kemudian dia telah dikalahkan oleh nafsunya dengan melakukan sebahagian daripada dosa-dosa. Hakikatnya, dia memang menanamkan azam untuk melakukan dosa tersebut.

Dalam waktu yang sama, hamba tersebut terus-menerus melakukan ketaatan dan berusaha untuk meninggalkan sebahagian daripada dosa-dosanya.

Hamba tersebut telah dipaksa oleh syahawatnya untuk melakukan dosa, dia berharap moga-moga Allah s.w.t mengampunkan dosa tersebut. Jesteru itu, dia telah menganggap nafsunya telah bertaubat daripada dosa tersebut. Mereka inilah golongan tang memiliki nafsu masu’lah. Ciri-ciri empunya nafsu tersebut telah dicatitkan didalam Al-Quran, firman Allah:

وَآخَرُونَ ٱعْتَرَفُواْ بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُواْ عَمَلاً صَالِحاً وَآخَرَ سَيِّئاً عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ


Mafhumnya: “Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampu-baurkan pekerjaan-pekerjaan yang baik dan yang buruk. Mudahah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang” (At-Taubah: 102)

Balasan yang bakal dirasai oleh mereka amat merunsingkan. kerana mereka melambat-lambatkan taubat, boleh jadi mereka mati sebelum bertaubat.

Sesungguhnya amalan-amalan diambil kira berdasarkan penghujung hayat seseorang. Oleh yang demikian mereka yang memiliki nafsu ini perlu takuti waktu penghujung kehidupan kerana manusia boleh mati pada bila-bila masa. Maka berwaspadalah terhadap nafsu, dan berhati-hatilah daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang menyesal di kemudian hari.

Bahagian terakhir:

Seseorang hamba yang bertaubat dan kekal taubatnya dalam sesuatu tempoh tertentu. Kemudian dia kembali semula melakukan dosa tanpa cuba memperbaharui taubatnya dan tidak menyesal terhadap perlakuannya itu, inilah yang dinamakan nafsu a’mmaratu bissu’ (nafsu yang menyuruh melakukan kejahatan) ditakuti hamba tersebut mati dalam su’ul khatimah (mati dalam keadaan yang buruk).

Seandainya hamba tersebut mati dalam kalimah tersebut, maka sesungguhnya dia akan meminta untuk dibebaskan dari neraka walaupun sebentar. Tidak mustahil seandainya Allah s.w.t meliputi diri hamba tersebut dengan kemaafannya disebabkan perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Tapi ianya tidak boleh dijadikan hujah untuk seseorang hamba terus kekal dalam nafsu tersebut.

Seandainya seseorang itu berkata: “ Sesungguhnya Allah s.w.t itu mulia, khazinahnya luas, maksiat aku pasti tidak akan memudaratkannya, kemudian engkau lihat dia menaiki kapal-kapal untuk mencari duit.

Seandainya dikatakan kepadanya: “ Betul Allah itu mulia, maka duduklah di rumahmu moga-moga Allah akan berikan rezeki kepadamu.” Sudah pasti dia akan menjawab: “ Sesungguhnya rezeki itu memerlukan usaha pencarian” maka katakanlah padanya: “ Begitu juga kejayaan selamat daripada api neraka memerlukan taqwa.”

Wallahua’lam.

9:35pm 16/06/2008
Rumahku syurgaku
Dirasat Mansurah

Saturday, June 20, 2009

PEDOMAN UNTUK ISTERI SOLEHAH



Sempena cuti semester panjang ini, saya ucapkan selamat bercuti kepada semua. Alhamdulillah dengar cerita ramai yang nak bertunang dan mendirikan rumah tangga, setakat ni saya dapat beberapa tempahan masakan (tempahan masih dibuka) dan beberapa undangan ke majlis tersebut. InsyaAllah saya akan cuba hadiri, tapi maaf sendainya majlis itu diadakan di Malaysia sebelum tengah bulan 8 saya tak dapat hadirkan diri kerana masih berada di Mesir, seandainya majlis itu diadakan di Mesir selepas tengah bulan 8 juga saya tidak dapat hadiri kerana sudah berada di Malaysia.

Sungguhpun begitu, saya telah menyediakan hadiah istimewa buat kalian. Pada sem yang lepas adik-adik tahun satu kos lughah (bahasa arab) mintak tolong ajarkan nusus adabi (syair dan satera arab) zaman Jahiliah. Ramai yang menyangka syair-syair dan sastera arab di zaman jahiliah dipenuhi dengan kata-kata yang buruk dan jauh dari panduan agama sahaja. Pun begitu, seandainya dikaji secara teliti kita akan dapati, sebahagian daripada teks-teks sastera pada masa itu mengandungi nasihat-nasihat yang bermanfaat dan unsur-unsur keagamaan yang boleh dijadikan tauladan. Sebahagian daripada mereka masih berpegang teguh pada agama-agama nabi terdahulu seperti Ahnaf (Nabi Ibrahim), Yahudi (Nabi Musa) dan Nasrani (nabi Isa) . Sebahagian daripada sastera mereka terkesan dengan unsur-unsur keagamaan dan sesuai untuk dijadikan panduan dalam menempuhi renjau kehidupan.

Berikut petikan wasiat seorang ibu ( A’mamah bte Haris ) kepada anak perempuannya di malam perkahwinan anaknya. Wasiat ini saya perolehi daripada kitab nusus tersebut. Moga-moga ianya dapat dijadikan sebahagian daripada panduan kita, khususnya buat sahabat-sahabat yang mahu mendirikan rumah tangga di musim cuti ini. Inilah hadiah yang mampu saya sediakan untuk kalian…



WASIAT SI IBU KEPADA ANAK PEREMPUANNYA DI MALAM PERKAHWINAN

Apabila seorang anak perempuan bakal menjadi permaisuri kepada si suami, maka ibunya telah melemparkan butiran-butiran nasihat dan wasiat untuk dijadikan pedoman dalam mengharungi ranjau kehidupan sebagai seorang isteri:

Wahai anak perempuanku,

Sesungguhnya seandainya wasiat ini ditujukan buat seseorang yang memiliki adab yang mulia, nescaya ianya juga ditujukan buat dirimu. Wasiat ini merupakan peringatan kepada mereka yang alpa dan bekalan buat mereka yang senantiasa berakal.

Jikalau seorang perempuan berhajat kepada sebuah perkahwinan kerana ingin membantu kedua ibu bapanya dan semata-mata pengharapan keduanya terhadap wanita tersebut, maka kamu merupakan wanita yang tidak memerlukan perkahwinan. Akan tetapi seseorang wanita itu diciptakan untuk lelaki, begitulah juga halnya, seseorang lelaki diciptakan untuk wanita.

Wahai anak perempuanku,

Sesungguhnya engkau tidak pernah terpisah dengan suasana yang engkau miliki sebelum ini, hidup bersama keluarga, lalu engkau telah keluar dan gantikan sarang yang telah duduki selama ini berpindah menuju ke sangkar yang engkau tidak pernah engkau ketahui dan hidup bersama teman yang tidak pernah engkau rasai. Maka suamimu akan menjadi teman, pengawal dan raja ke atas dirimu, sedangkan kamu hamba buat dirinya, segera menyahut seruannya.



Ambil perhatian dalam sepuluh perkara dari diriku (ibumu) sepuluh wasiat ini akan menjadi pemangkin dan ingatan buat dirimu:-

1. Temanilah suamimu dengan penuh rasa kesederhanaan.

2. Dampingilah suamimu dengan menjadi teman yang setia.

3. Hulurkanlah ketaatan yang jitu kepada suamimu.

4. Berdampinglah dengan suamimu pada setiap tempat dan waktu serta tunaikanlah setiap permintaannya.

5. Wahai anakku, jangan biarkan keburukanmu dilihat oleh suamimu dan jangan biarkan dia menghidu sesuatu darimu melainkan sewangi-wangi bauan.

6. Peliharalah waktu makan suamimu serta tenangkanlah tidurnya. Sesungguhnya rasa lapar suamimu merupakan nyalaan api yang membara, hilangkan rasa ngantuknya pula, merupakan sesuatu yang sangat dimarahi.

7. Peliharalah rumah dan hartanya serta pekalah terhadap dirinya dan anak-anaknya. Sesungguhnya kepekaan terhadap hartanya adalah sebaik-baik penghargaan.

8. Pekalah terhadap anak-anak dan maruah suamimu sesungguhnya kepekaan itu merupakan sebaik-baik pengurusan.

9. Jangan engkau dedahkan rahsianya dan jangan ingkari suruhannya kerana seandainya engkau dedahkan rahsianya, engkau tidak akan aman dari sikap curangnya, seandainya engkau ingkari suruhannya, perbuatanmu akan mengeruhkan hubungan antara dirimu dan suamimu

10. Wahai anakku, muliakanlah suamimu maka dia akan memuliakanmu, jadilah seorang wanita yang memahami jiwa suamimu, maka suamimu akan senantiasa bersamamu.

Ketahuilah anakku,

Sesungguhnya engkau tidak akan mencapai apa yang engkau idam-idamkan sehinggalah engkau berjaya datangkan reda suamimu terhadap dirimu. Moga-moga Allah datangkan kebaikan buat dirimu.


- Alhamdulillah baru selesai imtihan sedang tunggu natijah doakanlah yang terbaik buat diriku -

Terjemahan dan susun atur kata:

1. Usman Al-Amani
2. Abu Al-mawahib http://as-syazuli.blogspot.com/

11:18am 16/06/2009

Bait Maqabir
Dirasat Mansurah
Mesir.

Rujukan:

1. Nusus Mukhtarah minal Adabi fil Asril Jahili (Doktor Ahmad Faid Haikal)

Monday, June 15, 2009

PERKARA YANG TIDAK PERNAH RASULULLAH LAKUKAN ADALAH HARAM?

Adakah perkara yang tidak pernah dilakukan oleh nabi menunjukkan perkara itu haram?


Syeikh Al-A’lamah Said Abdullah bin As-Siddiq Al-Qhumari dalam sebuah risalah yang dinamakan “ sebaik-baik kefahaman dan pengetahuan terhadap perkara-perkara yang ditinggalkan” mari kita sama-sama menelusuri risalah yang ditulis oleh beliau.


Kaedah Ulama’ Mengeluarkan Hukum

Para ulama’ muslimin, salaf dan khalaf, Timur dan Barat telah bersepakat sesungguhnya meninggalkan/tidak melakukan sesuatu perkara bukanlah merupakan satu cara untuk beristidlal (keluarkan dalil). Meraka menyabitkan sesuatu hukum syara’ sama ada wajib, sunat, harus, makruh dan haram berdasarkan :

1. Nas-nas dari Al-Quran.
2. Nas-nas dari Al-Sunnah.
3. Ijma’ ulama’ terhadap sesuatu hukum.
4. Qias.

Kaedah-kaedah menetapkan sesuatu hukum yang tidak disepakati adalah:

1. Kata-kata para sahabat.
2. Saddu zarai’.
3. Amalan ahli Madinah.
4. Hadis Mursal
5. Istihsan.
6. Hadis Dhaif.
7. Serta cara-cara lain yang diambil kira oleh ulama’.

Oleh yang demikian, perbuatan nabi yang tidak melakukan sesuatu perkara tidak memberi faedah kepada hukum syara’, perkara ini telah disepakati oleh para ulama’, terdapat pelbagai dalil yang menunjukkan sahabat-sahabat nabi radiallahua’nhum tidak mengaanggap sesuatu yang tidak dilakukan oleh nabi hukumnya haram atau makruh. Ini merupakan kefahaman para ulama’ sejak zaman-berzaman.

Ibnu Hazmi telah menolak pendapat mazhab Maliki dan Hanafi yang mengatakan makruh solat dua rakaat sebelum Maghrib dengan hujah, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Usman melaksanakan solat tersebut. Begitu juga halnya, hukum puasa sunat sebulan penuh, walaupun tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w namun, tidak ada satu dalil pun yang mengharamkan atau memakruhkan puasa tersebut. Tidak berpuasanya nabi penuh pada bulan-bulan selain daripada Ramadan tidak menunjukkan haram dan makruhnya ibadah tersebut.


Amalan Para Sahabat Tanpa Merujuk Nabi

Sebahagian sahabat melakukan ibadah tanpa disuruh oleh nabi. Ibadah itu juga tidak pernah dilakukan oleh nabi. Nabi tidak mengkeji dan membidah’kan perbuatan tersebut bahkan memuji dan menngungkapkan balasan baik daripada Allah terhadap perbutan tersebut, diantaranya ialah:

1. Saidina Bilal tidak merasakan, Nabi tidak melakuakan solat sunat selepas mengambil wudu’ menunjukkan perkara itu haram, bahkan beliau melakukan perkara tersebut tanpa meberitahu kepada nabi sehinggalah nabi s.a.w bertanya kepada beliau: “ Wahai Bilal beritahu kepada ku amalan besar apakah didalam Islam yang telah engkau lakukan, sesungguhnya aku telah mendengar bunyi gerakan dua kasutmu di dalam syurga”. Jawab Bilal: “ Aku tidak melakukan apa-apa amalan yang besar. Aku tidak akan bersuci (berwudu’) pada mana-mana waktu siang mahupun malam melainkan aku solat selepas bersuci”

Jesteru itu, kita dapat fahami, solat selepas wudhu menjadi sunnah selepas Iqrar (senyap) nabi terhadap perkara tersebut . Oleh yang demikian, kita beristidlal mengikut kefahaman para sahabat tersebut, harusnya doa-doa dan selawat-selawat pada waktu-waktu tertentu, begitu juga kita beristidlal tidak ingkarnya Nabi pada ketika itu menunjukkan tidak ingkarnya baginda terhadap perkara seumpama itu pada masa-masa hadapan.


Konklusi Pebincangan

Berdasarkan perbincangan yang lepas kita mengetahui, nabi, para sahabat dan tiga kurun pertama tidak melakukan sesuatu perkara, tidak memberikan apa-apa faedah terhadap hukum, ianya merupakan kefahaman para sahabat ketika baginda hidup begitu juga selepas kewafatan baginda. Ianya juga merupakan kefahaman para ulama’ selepas mereka. Wallahua’lam.

11.13pm 14/06/2009

Bait Maqabir,
Dirasat, Mansurah
Mesir.

Rujukan:

1. Al-Bayanul Qawim (Dr. Ali Juama’h)

Monday, June 1, 2009

HUKUM WANITA MANDI DI TEMPAT AWAM


Alhamdulillah lama rasanya tak pos artikel, sebenarnya masih exam lagi ni. Tapi bila mengenangkan peristiwa2 yang sering berlaku pada musim panas ( di Timur Tengah ) dan keadaan di pinggiran2 pantai di Malaysia saya tergerak untuk siapkan artikel ini. Moga2 ianya bermanfaat seandainya ada kesilapan saya sedia menerima teguran daripada sahabat2.

Berdasarkan pos yang lepas kita telah mengetahui etika-etika pemakaian seorang muslimah sepertimana yang telah di utarakan oleh Syeikh Atiah Saqar. Secara ringkasnya ada 3 syarat pemakaian yang mesti dipenuhi oleh seorang wanita seandainya gugur salah satu syarat tersebut maka ia tidak dikira menutup aurat iaitu:



1. Hendaklah pakaian itu menutupi seluruh aurat yg telah ditetapkan.


2. Hendaklah pakaian tadi tidak menampakkan warna kulit.



3. Hendaklah pakaian tersebut tidak terlampau sempit sehingga menampakkan susuk tubuh.



Hukum wanita mandi di tempat awam


Saya mencatit kembali syarat2 tersebut kerana ianya berkaitan dengan tajuk perbincangan kita pada kali ini secara ringkasnya saya membahagikan perbahasan ini kepada 2 bahagian:


1 Tidak menjadi kesalahan seandainya seorang wanita mandi di laut/ kolam renang dan

seumpama dengannya seandainya mereka memenuhi 3 syarat tersebut. Contohnya seandainya wanita tadi memakai pakaian yang tebal ( baju tebal Eskimo ke ) apabila pakaian itu basah tidak menampakkan susuk tubuh.


2 Seandainya perempuan tadi memakai pakaian yang seandainya pakaian itu basah akan menampakkan susuk tubuh badan ( baju kurung/T-syirt/jubah ) maka hukumnya jelas haram dan tidak dikira menutup aurat kerana telah melanggar syarat ketiga. Hukum pemakaian tersebut adalah sama, sama ada dihadapan lelaki Melayu, Arab, India, Cina, Muslim dan Kafir sepertimana yang dijelaskan oleh Profesor Muhammad Zuhaili didalam kitabnya “Al-mu’tamad”.


Daripada Usamah bin Zaid r.a: Rasulullah s.a.w memakaikanku pakaian qubtiah yg tebal yg mana pakaian itu dihadiahkan kepada Nabi s.a.w oleh Dihyah al-Kalbi r.a. Lalu aku pakaikan isteriku dgn pakaian itu. Rasul bersabda

مرها أن تجعل تحتها غلالة فإني أخاف أن تصف حجم عظامها

"Suruh isteri kamu letakkan kain dibawahnya. aku takut pakaian itu menampakkan susuk tubuhnya."
Hr Ahmad dan lain2 - sanad hasan

Asma binti Abu bakar telah menerima pakaian yg nipis. Ketika itu beliau buta. Apabila sahaja beliau memegangnya maka beliau berkata " Ah, pulangkan pakaian ini kepadanya" IBnu Zubair berasa susah hati dan berkata "Wahai ibuku pakaian ini tidak menampakkan warna kulit pemakainya." Asma menjawab:

إنها إن لم تشف فإنها تصف

Maksudnya:
"Sesungguhnya sekiranya ia tidak menampakkan warna kulit tetapi ia menampakkan bentuh tubuh." (Hr Ibnu Saad - sahih)


- Apa bezanya wanita yang pakai baju ketat dengan wanita yang pakai jubah/baju kurang mandi di laut/ kolam renang dihadapan lelaki bukan mahram?? Sama2 kita fikirkan…


1.00pm 01/06/2009

Rumahku Dirasat, Mansurah,

Mesir.

ِ

Rujukan:

1- Halal wal Haram ( Imam Yusuf Qaradawi )


2- Al-Mu’tamad ( Profesor Muhammad Zuhaili )


3- http://akhisalman.blogspot.com/

ETIKA PEMAKAIAN SEORANG MUSLIMAH



Ini adalah syarat asasi menutup aurat muslimah dihadapan bukan mahram yg diutarakan oleh Syeikh Atiah Saqar (bekas pengerusi lajnah fatwa mesir). Jika tidak ada salah satu dari syarat ini maka ia tidak dikira menutup aurat. Ianya adalah seperti berikut:

1.
Hendaklah pakaian itu menutupi seluruh aurat yg telah ditetapkan. Aurat wanita didepan lelaki bukan mahram adalah seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan. Tidak boleh yg menampak aurat walaupun kecil seperti menampakkan leher, lengan dan sebagainya.

Firman Tuhan:

Maksudnya:
"Dan janganlah wanita2 itu memperlihatkan perhiasannya melainkan yg zahir dan hendaklah memakai tudung yg menutup kepala sehinggalah atas dada2 mereka." (31: An-Nur)

Perhiasan yg zahir adalah muka dan tapak tangan. Ini adalah pendapat yg sedehana.

2.
Hendaklah pakaian tadi tidak menampakkan warna kulit. contohnya pakaian yg jarang atau yg nipis sehinggakan nampak warna kulit.

Inilah yg Nabi sebut sebagai wanita ahli neraka:

نساء كاسيات عاريات

Maksudnya: "Perempuan yg berpakaian tetapi tidak sempurna atau yg menampakkan warna kulitnya." Hadis sahih riwayat imam Muslim.

Saidina 'Aisyah r.a apabila melihat perempuan yg memakai tudung yg nipis, beliau akan menyuruhnya memakai yg tebal dan berkata:

الخمار ما وارى البشر والشعر

Maksudnya: "Tudung adalah yg menutupi kulit dan rambut.
"

Suatu hari 'Aisyah r.a melihat Hafsah binti Abdurrahman (anak saudarnya) memakai tudung yg nipis sehingga menampakkan auratnya. Lalu 'Aisyah mengoyakkkan tudung tersebut dan berkata: "Adakah kamu tidak mengetahui ayat yg Allah turunkan dalam surah Nur?" kemudian beliau memakainya dgn tudung yg lain. (Hr Ibnu Saad- sanad kuat)

3.
Hendaklah pakaian tersebut tidak terlampau sempit sehingga menampakkan susuk tubuh.

Daripada Usamah bin Zaid r.a: Rasulullah s.a.w memakaikanku pakaian qubtiah yg tebal yg mana pakaian itu dihadiahkan kepada Nabi s.a.w oleh Dihyah al-Kalbi r.a. Lalu aku pakaikan isteriku dgn pakaian itu. Rasul bersabda

مرها أن تجعل تحتها غلالة فإني أخاف أن تصف حجم عظامها

"Suruh isteri kamu letakkan kain dibawahnya. aku takut pakaian itu menampakkan susuk tubuhnya."
Hr Ahmad dan lain2 - sanad hasan

Asma binti Abu bakar telah menerima pakaian yg nipis. Ketika itu beliau buta. Apabila sahaja beliau memegangnya maka beliau berkata " Ah, pulangkan pakaian ini kepadanya" IBnu Zubair berasa susah hati dan berkata "Wahai ibuku pakaian ini tidak menampakkan warna kulit pemakainya." Asma menjawab:

إنها إن لم تشف فإنها تصف

Maksudnya:
"Sesungguhnya sekiranya ia tidak menampakkan warna kulit tetapi ia menampakkan bentuh tubuh." (Hr Ibnu Saad - sahih)

Banyak wanita yg memakai pakaian tetapi tidak mencukupi syarat2 ini maka dia tidak dianggap menutup aurat kerana 3 perkara ini syarat utama bagi menutup aurat.
Jadi berapa ramaikahwanita yg benar2 menutup auratnya?

Rujukan:
1. Mausuah alusrah jilid ke dua oleh Syeikh Atiah Saqr.
2. http://akhisalman.blogspot.com/
Related Posts with Thumbnails