Sunday, December 6, 2009

HUKUM MENGAMBIL ANAK ANGKAT

Sejarah anak angkat pada zaman Jahiliah dan zawan permulaan Islam


Bangsa Arab pada zaman jahiliah mengamalkan sistem “anak angkat” untuk memasukkan sesiapa sahaja yang mereka kehendaki ke dalam nasab keturunan mereka. Sebaik sahaja mengambil anak angkat dan mengiklankan kepada orang ramai, anak angkat tersebut menjadi salah satu daripada anggota keluarga tersebut dan mendapat hak-hak yang sama seperti anak-anak kandung dalam pembahagian harta pusaka dan hak-hak yang lain. Mereka juga akan di”bin”kan kepada nama bapa-bapa angkat mereka.

Amalan ini masih diteruskan sewaktu islam mula berkembang di tanah arab. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah mengambil seorang anak angkat, Zaid bin Harthah pada zaman Jahiliah. Zaid merupakan seorang hamba yang dibeli Hakim bin Hizam untuk dihadiahkan kepada mak ciknya Saidatina Khadijah. Saidatina Khadijah telah menghadiahkan hamba tersebut kepada Rasulullah s.a.w selepas mereka berkahwin.

Ketika mana bapa dan pak cik Zaid mengetahui dia menjadi hamba kepada Rasulullah s.a.w, baginda telah memberi pilihan kepada Zaid sama ada ingin terus bersama nabi atau kembali bersama keluarganya. Zaid telah memilih untuk terus bersama nabi, maka Rasulullah s.a.w membebaskan Zaid dan mengambilnya sebagai anak angkat.

Dalil pengharaman anak angkat

Islam telah melihat anak angkat sebagai satu pemalsuan identiti sebenar seseorang individu. Anak palsu ini mendapat harta pusaka sepertimana anak kandung mendapat harta pusaka. Anak palsu tersebut juga boleh menghalang ahli-ahli keluarga lain daripada mendapat harta pusaka. Hal ini boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan dan pertelingkan dalam pembahagian harta pusaka serta memutuskan tali persaudaraan. Oleh yang demikian Allah s.w.t telah membatalkan undang-undang jahiliah tersebut dan mengharamkan amalan tersebut untuk selama-lamanya. Firman Allah:


 مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ ٱللاَّئِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَآءَكُمْ أَبْنَآءَكُمْ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي ٱلسَّبِيلَ . ٱدْعُوهُمْ لآبَآئِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ ٱللَّهِ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوۤاْ آبَاءَهُمْ فَإِخوَانُكُمْ فِي ٱلدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَآ أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً 

Mafhumnya: (Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai “maula-maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Ahzab ayat 4-5)

Hukum mengambil anak angkat untuk menjaga dan mentarbiah

Anak angkat yang diharamkan oleh islam adalah anak angkat yang dinasab dan di “bin”kan kepada bapa-bapa angkat mereka. Ini akan mengharuskan anak tersebut bercampur-gaul seperti biasa dengan anak-anak kandung keluarga tersebut , mereka boleh mendapat harta pusaka seperti anak kandung serta mengharamkan perkahwinan dengan anak-anak kandung keluarga tersebut.

Pengambilan anak angkat seperti inilah yang diharamkan oleh Islam, adapun mereka-mereka yang mengambil anak angkat seperti anak-anak yatim dan lain-lain dari sudut penjagaan dan pentarbiahan tidak dihalang oleh islam, bahkan perkara tersebut dipuji dan mendapat pahala daripada Allah. Sabda nabi: “Aku dan anak yatim seperti ini” sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari hantu. Seandainya bapa angkat tersebut hendak memberikan harta kepada anak angkatnya maka dia boleh menghadiahkan atau mewasiatkan harta tersebut kepada anak angkatnya.

Rujukan:
Kitab Al-Halal Wal Haram Fil Islam

No comments:

Related Posts with Thumbnails