HUKUM MENGAMBIL ANAK ANGKAT

>> Sunday, December 6, 2009

Sejarah anak angkat pada zaman Jahiliah dan zawan permulaan Islam




Bangsa Arab pada zaman jahiliah mengamalkan sistem “anak angkat” untuk memasukkan sesiapa sahaja yang mereka kehendaki ke dalam nasab keturunan mereka. Sebaik sahaja mengambil anak angkat dan mengiklankan kepada orang ramai, anak angkat tersebut menjadi salah satu daripada anggota keluarga tersebut dan mendapat hak-hak yang sama seperti anak-anak kandung dalam pembahagian harta pusaka dan hak-hak yang lain. Mereka juga akan di”bin”kan kepada nama bapa-bapa angkat mereka.

Amalan ini masih diteruskan sewaktu islam mula berkembang di tanah arab. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah mengambil seorang anak angkat, Zaid bin Harthah pada zaman Jahiliah. Zaid merupakan seorang hamba yang dibeli Hakim bin Hizam untuk dihadiahkan kepada mak ciknya Saidatina Khadijah. Saidatina Khadijah telah menghadiahkan hamba tersebut kepada Rasulullah s.a.w selepas mereka berkahwin.

Ketika mana bapa dan pak cik Zaid mengetahui dia menjadi hamba kepada Rasulullah s.a.w, baginda telah memberi pilihan kepada Zaid sama ada ingin terus bersama nabi atau kembali bersama keluarganya. Zaid telah memilih untuk terus bersama nabi, maka Rasulullah s.a.w membebaskan Zaid dan mengambilnya sebagai anak angkat.

Dalil pengharaman anak angkat


Islam telah melihat anak angkat sebagai satu pemalsuan identiti sebenar seseorang individu. Anak palsu ini mendapat harta pusaka sepertimana anak kandung mendapat harta pusaka. Anak palsu tersebut juga boleh menghalang ahli-ahli keluarga lain daripada mendapat harta pusaka. Hal ini boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan dan pertelingkan dalam pembahagian harta pusaka serta memutuskan tali persaudaraan. Oleh yang demikian Allah s.w.t telah membatalkan undang-undang jahiliah tersebut dan mengharamkan amalan tersebut untuk selama-lamanya. Firman Allah:

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ ٱللاَّئِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَآءَكُمْ أَبْنَآءَكُمْ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي ٱلسَّبِيلَ . ٱدْعُوهُمْ لآبَآئِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ ٱللَّهِ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوۤاْ آبَاءَهُمْ فَإِخوَانُكُمْ فِي ٱلدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَآ أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً


Mafhumnya: (Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai “maula-maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Ahzab ayat 4-5)

Hukum mengambil anak angkat untuk menjaga dan mentarbiah


Anak angkat yang diharamkan oleh islam adalah anak angkat yang dinasab dan di “bin”kan kepada bapa-bapa angkat mereka. Ini akan mengharuskan anak tersebut bercampur-gaul seperti biasa dengan anak-anak kandung keluarga tersebut , mereka boleh mendapat harta pusaka seperti anak kandung serta mengharamkan perkahwinan dengan anak-anak kandung keluarga tersebut.

Pengambilan anak angkat seperti inilah yang diharamkan oleh Islam, adapun mereka-mereka yang mengambil anak angkat seperti anak-anak yatim dan lain-lain dari sudut penjagaan dan pentarbiahan tidak dihalang oleh islam, bahkan perkara tersebut dipuji dan mendapat pahala daripada Allah. Sabda nabi: “Aku dan anak yatim seperti ini” sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari hantu. Seandainya bapa angkat tersebut hendak memberikan harta kepada anak angkatnya maka dia boleh menghadiahkan atau mewasiatkan harta tersebut kepada anak angkatnya.

Rujukan:
Kitab Al-Halal Wal Haram Fil Islam

Read more...

10 PERSOALAN SEKITAR ISU CINTA DAN PERKAHWINAN

>> Wednesday, November 11, 2009




Sejak pulang ke Malaysia 15/8/2009 banyak persoalan dan perbincangan tentang isu perkahwinan yang saya hadapi (maklumlah cuti-cuti sem ni ramai yg nikah) beberapa persoalan diajukan berulang kali, jadi saya berminat untuk menjawab 10 persoalan yang berkaitan dengan isu tersebut




Apakah hukum bercinta mengikut (ulama') islam?

Isu ini menjadi sangat popular beberapa tahun kebelakangan ini, saya pun sebelum ini keliru kerana terlalu banyak pendapat (sebahagian besarnya tidak disandarkan kepada ulama). Ketahuilah, haram hukumnya mengistinbad (keluarkan) hukum daripada mana-mana hadis/ayat al-quran melainkan mereka yang bergelar ulama’ mujtahid. Ulama-ulama jadi-jadian yang berfatwa sebelum layak untuk berfatwa akan menyesatkan umat, hukum mereka keluarkan fatwa adalah HARAM walaupun fatwa mereka tepat.

Berkaitan dengan isu ini saya tertarik dengan pendapat yang diutarakan oleh Ibnu Hazm yang merupakan seorang mujtahid, faqih dan ahli sastera, beliau menghuraikan permasalahan ini di dalam kitabnya “ tauqul hamamah”, beliau telah mengatakan, Islam tidak pernah menghalang cinta, syariah tidak mengharamkan cinta kerana cinta adalah urusan hati dan hati adalah urusan Allah.

Cinta merupakan fitrah yang dicipta oleh Allah untuk kebahagian hamba-hambanya. Oleh yang demikian, cinta bukanlah sesuatu perkara yang dilarang oleh Islam, tapi perkara yang dikawal oleh Islam. Setiap perkara yang boleh mendekatkan diri seseorang kepada penzinaan, diharamkan oleh Allah. Firman Allah:

“ Dan janganlah kamu dekati zina”

2. Apakah hukum wali mujbir bapa @ dato' memaksa nak perempuan berkahwin?

Secara mudahnya anak perempuan dibahagikan kepada dua kelompok:


Anak dara

Jumhur ulama’ melarang wali mujbir memaksa anak perempuan berkahwin, seandainya dipaksa maka anak perempuan boleh membuat pilihan sama ada hendak menolak atau meneruskannya, ini berdasarkan sebuah hadis mafhumnya: “

“ Daripada Ibn Abbas, seorang gadis dara datang kepada Nabi memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani)”.

Namun begitu, dalam mazhab syafie wali mujbir boleh memaksa anak dara berkahwin dalam mengomentari pendapat dalam mazhab syafie ini Profesor Yusuf Qaradawi telah berkata: ““Siapa tahu, jika al-Syafii hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika al-Syafii melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al- Mu‘asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).



Janda

Ijma’ ulama’ melarang wali mujbir memaksa anak perempuan kahwin.


3. Apakah hukum ibu bapa melarang anak berkahwin?

Ijma’ ulama mengharamkan ibu bapa melarang anak-anaknya berkahwin berdasarkan firman Allah:

“ Janganlah para wali menghalang mereka (perempuan-perempuan) berkahwin dengan bakal suami mereka “

Surah Al-baqarah ayat: 232

Dalam mazhab syafie ibu bapa hanya boleh melarang anak dara berkahwin seandainya mempunyai calon yang lebih baik daripada calon yang dipilih oleh anaknya.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan khitbah/tunang?

"Khitbah" juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak / kemahuan seseorang untuk berkahwin dengan seseorang wanita.(Fatawa Muasoroh oleh Dr.Yusof Al Qardawi). Dr. Yusof Al- Qardawi juga berkata (buku yang sama) bahawa di dalam khitbah / bertunang ini tidak ada "hak" bagi khatib(tunang lelaki) kecuali hak untuk melamar ( to reserve or booking) makhtubah (tunang wanita) semoga pihak lelaki selain darinya tidak datang untuk meminang wanita itu.

5. Hukum melihat wanita ketika bertunang

Seorang lelaki boleh melihat bakal tunangnya sama ada disedari atau tidak disedari, sama ada dengan kerelaan atau tanpa kerelaan wanita tersebut.

Dari Jabir bin Abdillah bahawa Rasulallah saw bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk bernikah / kahwin, maka lakukan!!! ". Berkata Jabir (perawi) hadis ini: " aku telah bertunang dengan wanita dari Bani Salamah, aku telah bersembunyi tanpa dilihat oleh wanita itu sehingga aku melihat sebahagian dari 'diri / tubuh badan' wanita itu yang boleh membawa kepada kehendak dan kemahuan aku untuk menikahi atau mengahwininya".

Bersambung…..

Rujukan

1. Sohih Wasoyar Rosul ( Syeikh Saa’d Yusuf )
2. Tauqul Hammam ( Ibnu Hazmi )
3. Guru-guruku ( Ust Salman Maskuri dll)

8.11am 29/10/2009
Kedai makanku,
Cheras Kuala Lumpur.

Read more...

IMAM MALIK

”Sesiapa yang hanya bertasauf tanpa feqah, maka zindik lah akan dia. Sesiapa yang hanya berfeqah tanpa tasauf, maka fasiq lah akan dia. Maka, sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya; maka sesungguhnya tahkik lah akan dia” Kata-kata Imam Malik ra yang dipetik daripada Kitab Ain Al-Ilmu Wa Zain Al-Hilm karangan oleh Al-Imam Ali Al-Qari (Vol. I), Hlmn. 33.

PERHATIAN!

Semua Bahan Di dalam Blog Ini Adalah Dari Ilham dan Taufiq Hidayah Allah Kepada Kami (Admin) dan merujuk Dalil dan Nas dari dumber-sumber yang dinyatakan. Kami menggalakkan dan membenarkan penyebaran kepada umum, Diharap dapat meletakkan sumber asal berserta bahan yang disebarkan.

Surah Pilihan

“DEMI MASA! SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU ITU DALAM KERUGIAN. KECUALI ORANG-ORANG YANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, DAN MEREKA PULA BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN SERTA BERPESAN-PESAN DENGAN KESABARAN”. Surah Al-`Asr: 1-3

Menanti Berkibarnya Kembali Panji Islam

Menanti Berkibarnya Kembali Panji Islam

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP