Thursday, April 29, 2010

Al-AZHARI PERLU BELAJAR DAN KUASAI CARA MEMBACA KITAB


 ( Owh malas belajar kitab eh, kucing pun rajin baca kitab - kejadian di salah sebuah kelas totorial di Gadilah - photo taken by "mama")

 Hampir setiap tahun ratusan mungkin menjangkau ribuan mahasiswa malaysia dilahirkan oleh universiti Al-azhar. Persoalan yang sering timbul dalam benak pemikiran masyarakat Malaysia pada hari ini, dimanakah perginya mahasiswa Al-Azhar selepas kepulangan mereka ke tanah air?.

Jumlah graduan Al-Azhar jurusan agama di Malaysia semakin bertambah, seandainya kaji selidik dilkasanakan saya yakin terdapat puluhan ribu graduan Al-Azhar yang telah berada di Malaysia, ini belum termasuk lagi graduan-graduan lepasan Timur tengah yang lain seperti Jordan, Madinah, Mekah, dan Moroko. Malangnya, puluhan ribu graduan tersebut masih belum mampu untuk mengisi kekosongan tenaga pengajar di masjid-masjid di Malaysia.

Kekosongan tersebut akhirnya terpaksa diisi oleh ahli-ahli akdemik. Hal ini terbukti berdasarkan kenyataan-kenyataan yang diungkapkan oleh ahli-ahli akedemik, seperti yang dikatakan oleh Dato' Hasan Ali ketika kedatangannya ke bumi Mansurah: "Saya terpaksa ceramah di masjid-masjid disebabkan graduan-graduan keluaran Al-Azhar tidak mahu mengajar di masjid-masjid"

Amat malang kerana kerja-kerja orang agama terpaksa dijalankan oleh orang-orang akdemik. Rentetan daripada itu, timbul satu lagi persoalan: Apakah yang menyebabkan orang-orang agama takut untuk menyampaikan ilmu di masjid-masjid?

Pada hemat saya, pengkhususan di universiti-universiti di seantero dunia menyebabkan ahli-ahli agama tidak cuba untuk pelajari ilmu-ilmu lain. Mahasiswa yang berada dalam kuliah bahasa arab hanya mempelajari ilmu-ilmu bahasa, mahasiswa yang belajar di kuliah feqh hanya mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan feqh, mahasiswa yang belajar di kuliah tafsir hanya mempelajari matapelajaran tafsir,. hal ini menyebabkan graduan-graduan Al-Azhar dan pelajar-pelajar agama yang lain tidak mampu menampung keperluan masyarakat Malaysia yang menganggap orang agama mahir dalam semua ilmu agama.

Tambahan pula, sebahagian besar daripada penuntut-penuntut ilmu agama pada hari ini tidak mampunyai keupayaan untuk membaca dan mengkaji kitab-kitab karangan ulama’ mu’tabar lebih-lebih lagi kitab-kitab turath(kitab-kitab lama). Hal ini menyebabkan ilmu mereka tidak berkembang dan terhenti sekadar apa yang mereka pelajari di kulliah.

Cara-cara Kuasai Kitab Turath 
Oleh yang demikian beberapa tindakan perlu dilakukan oleh Azhari dan sekalian penuntut ilmu agama untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan cuba untuk mempelajari cara membaca kitab. Cadangan saya buat mahasiswa-mahasiswa Al-Azhar dan pemumtut-penuntut agama yang lain untuk mempelajari cara membaca kitab:

1.     Kuasai asas-asas bahasa arab sebelum pulang ke tanah air sekurang-kurangnya semua mahasiswa Al-Azhar perlu menguasai ilmu asas dalam tatabahasa arab seperti ilmu nahu, sarf dan balaghah. Kitab yang saya cadangkan agar semua mahasiswa kuasai sebelum pulang Malaysia Tuhfatus Thaniah (Nahu) Matan Bina’ dan Hizzi (sarf) Balghah Wadhihah (Balaghah)
2.     Kita perlu berusaha untuk pergi bertalaqqi dan belajar dengan syeikh-syeikh dan guru-guru di luar kuliah untuk mempelajari ilmu lain yang kita tidak pelajari di kuliah.
3.     Belajar ilmu-ilmu tersebut daripada ahlinya. Cuba untuk cari syeikh-syeikh dan guru-guru yang paling mahir dalam ilmu yang hendak kita pelajari. Kebiasannya setiap guru ada kecenderungan tersendiri, dan tidak mustahil ada sebahangian masyaikh yang mampu menguasai pelbagai ilmu.
4.     Kuasai asas-asas bahasa arab sebelum pulang ke tanah air sekurang-kurangnya semua mahasiswa Al-Azhar perlu menguasai ilmu asas dalam tatabahasa arab seperti ilmu nahu, sarf dan balaghah. Kitab yang saya cadangkan agar semua mahasiswa kuasai sebelum pulang Malaysia Tuhfatus Thaniah (Nahu) Matan Bina’ dan Hizzi (sarf) Balghah Wadhihah (Balaghah)
5.     Kita mungkin tidak mampu mempelajari semua kitab turath kerana bilangannya terlalu banyak, oleh yang demikian kita perlu meneliti dan mempelajari cara ulama’-ulama’ kita membaca kitab-kitab turath.
6.     Cuba untuk mempelajari sekurang-kurangnya satu kitab bagi setiap ilmu. InsyaAllah selepas menguasai satu kitab dalam satu Ilmu tidak ada masalah untuk memahami kitab-kitab yang lain.
7.     Pasang target untuk setiap tahun contoh: Kita berada di tahun pertama saya nak kuasai feqh Ibadat, Nahu dan Tauhid. Pada tahun kedua pula saya nak kuasai feqh muamalat, sarf dan tasawuf… begitulah seterusnya.

Saya yakin seandainya semua pelajar yang menuntut ilmu di Timur Tengah, Al-Azhar khususnya, berusaha untuk menguasai 7 perkara diatas insyaAllah kita akan mampu membaca dan menguasai kitab-kitab karangan ulama’ seterusnya berani untuk menyampaikan ilmu di masjid-masjid kita di tanah air. Penguasaan bahasa adalah diantara perkara yang terpenting untuk membolehkan kita menguasai kitab-kitab karangan ulama’ kita.

Untuk akhirnya marilah kita hayati dan ambil iktibar daripada kalam guru saya Prof. Dr. Ali Luqam tentang kepentingan bahasa: “ Penguasaan Ilmu Bahasa (Arab) amat penting untuk membolehkan kita menguasai ilmu-ilmu yang lain, selepas saya mendalami ilmu bahasa Arab. sebahagian ilmu seperti Ulum Qura’n mampu saya kuasai dalam masa yang singkat, kadang-kadang hanya memerlukan dua hingga tiga hari sahaja”

Khadimul Lughah
1:12pm 29/4/2010
Rumahku Syurgaku, Bait Al-Tijari
Mansurah, Mesir.

Wednesday, April 7, 2010

Perbahasan ayat Al-Quran berkaitan jilbab



{ يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ }

Mafhumnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

                   
Ulama' khilaf dalam menta'rifkan apakah yang dimaksudkan dengan jilbab. Ini disebabkan bahasa arab kaya dengan mufradat (kata seerti) kadang-kadang satu perkataan mempunyai puluhan makna dan kadang-kadang satu makna mempunyai banyak kalimah seperti singa, terdapat lebih 200/300 perkataan dalam bahasa arab yang membawa maksud singa. Diantara penta'rifan jilbab

1. Kain yang menutupi baju wanita.
2. tudung
3. kain dan pelbagai lagi pena'rifan.

Ini penta'rifan dari segi bahasa, yang kita mhu aplikasikan adalah penta'rifan dari segi syara'. Profesor Wahbah Zuhaili dalam kitab karangannya Tafsir Al-Wasit ( 3/2087 ) telah mengatakan: " Hijab Syarie' adalah jilbab iaitu pakaian yang menutupi seluruh tubuh badan wanita "


Hujah bahasa

Penta'rifan ini dikuatkan lagi dengan perkataan yang digunakan oleh Allah s.w.t dalam ayat tersebut seperti yang dibahaskan oleh Syeikh Sya'rawi dalam kitabnya Fatawa Al-Nisa' . Perkataan ( ) berasal daripada perkataan ( ) yang bermaksud hampir, iaitu hampir dengan bumi. seperti firman Allah s.w.t dalam surah Al-Haqah 23.


Oleh yang demikian makna secara sempurna ayat tersebut adalah "labuhkanlah pakaian kamu ( yang menutupi semua tubuh badan selain muka dan tapak tangan) sehingga rapat ke tanah"

* tudung labuh tidak dipakai sehingga rapat ke tanah "


Hujah Akal.


Seandainya benar apa yang didakwa oleh sebahagian pihak perempuan wajib memakai tudung labuh, ini bermakna wanita-wanita islam yang tinggal di kutub utara dan selatan semuanya berdosa kerana mereka hanya memakai baju dan penutup kepala tebal tanpa memakai tudung labuh.


* tujuan saya menjelaskan perkara ini bukanlah untuk menggalakkan wanita-wanita yang memakai tudung labuh memakai tudung pendek. Perempuan yang bertudung pendek ibarat lelaki yang tidak berserban, perempuan yang bertudung labuh pula ibarat lelaki berkopiah/berserban, maka dari sudut pemakaian sudah tentulah pakai serban/kopiah lebih baik daripada tidak berkopiah.


* begitulah halnya perbezaan wanita yang bertudung labuh dengan wanita yang bertudung perndek, dari sudut pemakaian suduh tentu lebih baik bertudung labuh dalam masa yang sama, tidak berdosa bertudung pendek. ( kalau saya diberi pilihan untuk berkahwin dengan dua orang wanita kedua-duanya solehah perbezaan mereka hanyalah satu seorang bertudung labuh dan seorang bertudung pendek sudah pasti saya akan memilih yang bertudung labuh )


Bait Al-Tijari
8:50pm 7/04/2010
Rumahku syurgaku, Bait Al-Tijari
Mansurah Mesir


Rujukan
   1. Tafsir Al-Wasit ( Profesor Wahbah Zuhaili )
   2. Fatawa Al-Nisa’ ( Syeikh Sya’rawi)
   3. Mausua’h Fiqhiyah ( Doktor Mahmud Abdul Rahman )

Tuesday, April 6, 2010

Hafizul Husna dalam kenangan


 

Semoga bahagia disana

Pada hari Ahad yang lepas ketika sedang berehat di waktu petang, saya menerima satu panggilan daripada seorang akhawat yang sedang menuntut di Iskandariah: "Ustaz ana ada satu berita nak bagitau ust" Saya menjawab: "Erm apa dia?" Akhawat: " Ada kawan ust meninggal" Saya: " Siapa?" Akhawat: " Ust Hafizul Husna" Saya menjawab dengan nada yang agak terkejut: "Ha?"Akhawat: "Ana baru lagi dengar berita ni cuba ust tanya pihak PMRAM". Sebaik dengar berita tersebut saya cuba menghubungi beberapa sahabat di Kaherah namun mereka tidak dapat memastikan berita tersebut. Beberapa minit kemudian kawan serumah menerima sms dari pihak PMRAM memastikan kematian tersebut. Hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu.

Allahyarham Hafizul Husna seperti yang ku kenali

Mungkin inilah kali pertama saya di uji dengan kematian sahabat karib. Allahyarham saya kenali sejak di Malaysia lagi ketika mana kami bersama-sama belajar di Nilam Puri. Beliaulah diantara orang pertama yang memperkenalkan dan mengajar saya matan Al-Jurumiah (kitab asas bagi ilmu nahu) matan yang saya masih gunakan sehingga hari ini untuk mengisi beberapa kelas di Mansurah.

Allahyarham merupakan seorang pelajar dan tenaga pengajar yang bijak dan cemerlang. Beliau berjaya mencapai taqdir Jaid pada tahun pertama di Kuliah bahasa Arab Kaherah Mesir ( Jarang-jarang pelajar yang mampu mendapat taqdir sebegitu di Kuliah Bahasa Arab ). Sikap beliau yang peramah dan pemurah menyebabkan beliau mudah mendekati semua orang. Ramai sahabat-sahabat yang walaupun baru sekali berjumpa dengan beliau menjadi rapat dan akrab dengan Allahyarham.

Kali terakhir saya berjumpa beliau ketika pulang ke kaherah baru-baru ini. Beliau bertanya saya hendak kemana, selepas mengetahui saya hendak ke Sabie' beliau terus menghantar saya (dengan motor yang digunakan Al-Marhum ketika kemalangan) ke Sabie' walaupun pada asalnya Allahyarham hendak ke tempat lain. Saya sempat berbincang dengan beliau beberapa perkara tentang persatuan dan lain-lain.

Tujuan beliau beli motor tersebut adalah untuk memudahkan pergi ke kuliah dan kelas-kelas talaqqi sekitar kaherah. Kerajinan beliau ke kelas-kelas talaqqi merupakan satu perkara yang ma'ruf, sehingga ada beberapa pihak yang menuduh Allahyarham ISMA kerana kesibukkan talaqqi menyebabkan beliau kurang ke program-program yang dianjurkan PMRAM. Tapi apa yang saya tahu beliau merupakan seorang penyokong dan pendokong PMRAM yang selalu berfikir untuk cara untuk memajukan dan menaikkan nama PMRAM.

Selepas periksa penggal yang lepas beliau pernah nyatakan hasrat dan berbincang untuk berkahwin dan sama-sama menyambung master di beberapa universiti di Mesir. Kekurangan pelajar-pelajar Malaysia yang mendalami Bahasa Arab menyebabkan timbul rasa tanggungjawab dalam diri kami untuk dalami bahasa Arab di bumi Mesir ini. Lulus atau tidak itu urusan Allah, apa yang lebih penting faedah dan ilmu yang boleh diperolehi. Saya amat berharap di luar sana akan wujud ramai sahabat-sahabat yang bercadang untuk menyambung hasrat beliau, ambil master di Universiti Al-Azhar atau mana-mana universiti di Mesir, kerana belajar di sini jelas jauh perbezaanya berbanding di universiti-universiti yang lain.

Kali terakhir Allahyarham menghubungi saya beberapa minggu lepas minta saya gantikan beliau mengajar kelas balaghah, kerana beliau sibuk dengan kelas-kelas lain. Hafizul Husna merupakan seorang guru dan sahabat yang insyaAllah tidak akan saya lupakan. Mari kita sama-sama sedakahkan al-fatihah dan doakan moga-moga Allah tempatkan beiau disisi orang-orang yang dicintaiNya. ( seandainya Allahyarham ada hutang duit,kelas dan lain-lain, sahabat-sahabat boleh tuntut hutang tersebut daripada saya dan beberapa sahabat-sahabat yang lain, insyaAllah kami akan cuba lunaskan )

Janji kita belum sempat ditunaikan,
kau pergi dulu meninggalkanku,
suatu hari nanti aku pasti menyusulimu,
tuk melunaskan janji tetapan Ilahi,
apa yang ku harapkan hanyalah satu,
moga kita bertemu semula di syurga,
nikmati kebahagiaan bersama selama-lamanya.

* terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi menghadiri majlis tahlil untuk Alllahyarham di rumah kami malam kelmarin. Walaupun diadakan dalam keadaan tergesa-gesa dan kurang perancangan,kehadiran sahabat-sahabat menyempurnakan kekurangan dalam majlis tersebut. Moga-moga Allah ganjari kalian dengan rahmatNya.

* tidak lupa juga mari kita sama-sama hadiahkan al-fatihah kepada atuk saudara saya (Basiron) nenek Fathi, ayah kepada Idris Al-Syafie dan sekalian muslimin dan muslimat.

Selasa 9:40am,
Bait Al-Tijari,
Mansurah Mesir.




Thursday, April 1, 2010

" Baju Kurung, Tudung Pendek Haram??"

Sebentar tadi berlaku sedikit perbahasan di Markaz DPMM berhubung isu "baju kurung" dan "tudung pendek". Sebahagian daripada kita tidak memahami perkara ini dengan baik lantas menghukum orang lain salah disebabkan kejahilan diri kita . Berikut beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh ulama' yang saya kumpul dari beberapa bahan rujukan.. moga bermanfaat.:

1. Hendaklah pakaian itu menutupi seluruh aurat yg telah ditetapkan. Aurat wanita didepan lelaki bukan mahram adalah seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan. Tidak boleh yg menampak aurat walaupun kecil seperti menampakkan leher, lengan dan sebagainya.

Firman Tuhan:

Maksudnya: "Dan janganlah wanita2 itu memperlihatkan perhiasannya melainkan yg zahir dan hendaklah memakai tudung yg menutup kepala sehinggalah atas dada2 mereka." (31: An-Nur)

Perhiasan yg zahir adalah muka dan tapak tangan. Ini adalah pendapat yg sedehana.

2. Hendaklah pakaian tadi tidak menampakkan warna kulit. contohnya pakaian yg jarang atau yg nipis sehinggakan nampak warna kulit.

 Inilah yg Nabi sebut sebagai wanita ahli neraka:
نساء كاسيات عاريات

Maksudnya: "Perempuan yg berpakaian tetapi tidak sempurna atau yg menampakkan warna kulitnya." Hadis sahih riwayat imam Muslim.

Saidina 'Aisyah r.a apabila melihat perempuan yg memakai tudung yg nipis, beliau akan menyuruhnya memakai yg tebal dan berkata:
الخمار ما وارى البشر والشعر


Maksudnya: "Tudung adalah yg menutupi kulit dan rambut."

Suatu hari 'Aisyah r.a melihat Hafsah binti Abdurrahman (anak saudarnya) memakai tudung yg nipis sehingga menampakkan auratnya. Lalu 'Aisyah mengoyakkkan tudung tersebut dan berkata: "Adakah kamu tidak mengetahui ayat yg Allah turunkan dalam surah Nur?" kemudian beliau memakainya dgn tudung yg lain. (Hr Ibnu Saad- sanad kuat)

3. Hendaklah pakaian tersebut tidak terlampau sempit sehingga menampakkan susuk tubuh.

Daripada Usamah bin Zaid r.a: Rasulullah s.a.w memakaikanku pakaian qubtiah yg tebal yg mana pakaian itu dihadiahkan kepada Nabi s.a.w oleh Dihyah al-Kalbi r.a. Lalu aku pakaikan isteriku dgn pakaian itu. Rasul bersabda


مرها أن تجعل تحتها غلالة فإني أخاف أن تصف حجم عظامها

"Suruh isteri kamu letakkan kain dibawahnya. aku takut pakaian itu menampakkan susuk tubuhnya." Hr Ahmad dan lain2 - sanad hasan

Asma binti Abu bakar telah menerima pakaian yg nipis. Ketika itu beliau buta. Apabila sahaja beliau memegangnya maka beliau berkata " Ah, pulangkan pakaian ini kepadanya" IBnu Zubair berasa susah hati dan berkata "Wahai ibuku pakaian ini tidak menampakkan warna kulit pemakainya." Asma menjawab:
إنها إن لم تشف فإنها تصف

Maksudnya: "Sesungguhnya sekiranya ia tidak menampakkan warna kulit tetapi ia menampakkan bentuh tubuh." (Hr Ibnu Saad - sahih)

4. Bukan pakaian yang "Syuhrah"

Sabda Nabi:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبًا مِثْلَهُ ‏ 
Mafhumnya: "Barangsiapa yang memakai pakaian yang "syuhrah" di dunia Allah Subhanallah akan memakaikanNya pakaian kehinaan di akhirat kelak. ( Hr Ibnu Majah -hasan )

- ulama mentafsirkan syuhrah bagi wanita adalah pakaian yang terlampau menarik perhatian, ini dapat diketahui seandainya seorang wanita masuk ke pasar orang ramai akan berpaling melihat pakaiannya kerana terlalu cantik

Konklusi perbincangan

1. Baju kurung tidah haram digunakan seandainya menepati syarat di atas

2. Tudung pendek/labuh bukanlah menjadi syarat tutup aurat seandainya seorang wanita memakai tudung hanya menutupi leher, tetapi memakai baju yang longgar dan menepati syarat menutup aurat maka sempurnalah pemakiannya

3. Islam hanya meletakkan syarat pemakaian tapi tidak meletakkan jenis pemakaian bagi memudahkan ummatnya- jadi mengapakah sebahagian daripada kita mensyaratkan pemakaina tertentu???

Rujukan:
1. Mausuah alusrah jilid ke dua oleh Syeikh Atiah Saqr.
2. Al-Halal Wal Haram Fil Islam oleh Syeikh Al-Qaradawi
3. http://akhisalman.blogspot.com/


Related Posts with Thumbnails