Thursday, February 18, 2010

NAMA-NAMA YANG DILARANG DIGUNAKAN


DILARANG NAMA YANG MEMBAWA KEPADA PENAFIAN PERKARA YANG BAIK



Nabi saw bersabda:


عن عمر رضي الله عنه قال, قال رسول الله صلي الله عليه وسلم:لأنهين ان يسمى رافع وبركة ويسار.


Daripada Umar RA berkata,Nabi saw bersabda,”Aku menegah daripada menamakan dengan nama Rafi’ (ketinggian)’,Barakah (keberkatan),dan Yassar (senang)”.

Hadis riwayat Tirmizi (sanadnya kuat).



Dalam hadis yang lain, Nabi saw bersabda:




لا تسمين غلامك يسارا ولا رباحا ولا نجيحا ولا أفلح فإنك تقول أثم هو فلا يكون فيقول: لا


“Jangan namakan anakmu dengan nama senang, keuntungan dan kejayaan. Sebabnya adalah jika kamu bertanya adakah 'kuntungan' ada? Jika tidak ada, orang akan menjawab "Keuntungan tidak ada.”


Hadis sahih riwayat Muslim, Tirmizi dan Abu Daud


Imam Nawawi berkata: Ulama syafie berkata:


“Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama ini dan apa yang membawa kepada sebab larangan ini. Larangan ini adalah hanya makruh tidak haram.”



LARANGAN NAMA YANG MEMUJI DIRI SENDIRI



Seorang wanita bernama Barrah (wanita yang sangat baik), Rasulullah saw bersabda




لاَ تُزَكُّوْا أَنْفُسَكُمْ اَللهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ


“Janganlah kamu memuji diri kamu sendiri. Allah swt lebih mengetahui siapakah yang lebih baik dikalangan kamu.”



Mereka bertanya: Apa yang kami hendak namakannya



Baginda menjawab: Zainab.

Hadis sahih riwayat Muslim



PERHATIAN: Ini perkara yang banyak dilakukan oleh kebanyakan masyarakat melayu. Banyak nama yang menunjukkan memuji diri sendiri. Tidak kira nama orang cthnya dengan nama khairun Nisa (sebaik-baik wanita) ,nama blog atau id ym dengan 'mujahid' pejuang, syahid dll, nama kedai atau rumah dengan 'salafus soleh,tok guru dan sebagainya. Ini dilarang kerana termasuk dalam memuji diri sendiri.

Dipetik daripada:


http://akhisalman.blogspot.com/


6:26am 19/02/2010

Rumahku syurgaku, Bait Al-Tijari

Mansurah, Mesir


Wednesday, February 17, 2010

10 PERSOALAN SEKITAR ISU CINTA DAN PERKAHWINAN

sambungan.......



Adakah seorang khunsa boleh berkahwin?


     Khunsa ialah seorang manusia yang mempunyai dua alat kelamin, alat kelamin lelaki dan alat kelamin perempuan. Khunsa terbahagi kepada dua, khunsa musykil ( kedua-dua alat kelamin berfungsi ) dan khunsa ghairu musykil ( salah satu daripada alat kelamin tidak berfungsi ). Pada hakikatnya khunsa ghairu musykil, adalah seorang lelaki yang mempunyai lebihan alat kelamin atau seorang wanita yang mempunyai lebihan alat kelamin.


     Telah berkata para ulama': "Khunsa ghairu musykil di anggap lelaki atau perempuan mengikut tempat keluar air kencing. seandainya khunsa tersebut membuang air kecil mengikut salur air kencing lelaki (zakar) maka dia dianggap sebagai lelaki, jika dia buang air kecil mengikut salur air kencing wanita (faraj) maka dia dianggap sebagai seorang wanita." Para ulama' mengambil tempat keluar air kencing sebagai iktibar kerana ianya merupakan tanda paling umum, tanda ini akan wujud pada seseorang sejak dia kecil hinggalah dewasa, berlainan dengan tanda-tanda lain yang hanya wujud pada waktu-waktu tertentu.

Khunsa ghairu musykil


     Hukum bagi seorang khunsa ghairu musykil dalam perkahwinan, pembahagian harta pusaka dan semua hukum yang lain mengikut tanda yang jelas pada dirinya , sama ada lelaki ataupun perempuan. Seandainya  tanda yang jelas pada diri khunsa tersebut lelaki maka dia mengikut hukum seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.


Khunsa musykil


     Manakala khunsa musykil pula tidak dapat dibezakan sama ada dia seorang wanita atau seorang lelaki. Dalam situasi ini dia tidak sah menjadi isteri atau suami. Para fuqaha' telah berkata: "Tidak pernah digambarkan oleh syara' khunsa musykil boleh menjadi seorang ayah, ibu, atuk, suami ataupun isteri kerana haram menikahi seorang khunsa selagi mana dia dalam keadaan musykil kerana tidak ada tanda-tanda yang membezakan dirinya seorang lelaki ataupun perempuan. Urusan pernikahan memerlukan keyakinan, pasangan yang dinikahi mesti dipastikan berlainan jantina, tidak cukup sekadar syak atau agak-agak.

     Menurut kajian ulama-ulama moden, khunsa yang kedua-dua alat kelaminnya berfungsi masih boleh dipastikan sama ada mereka lelaki atau perempuan melalui hormonnya. ،Kandungan hormon lelaki dan perempuan boleh di ketahui dengan menggunakan perlatan moden.Menurut mereka, amat sedikit khunsa yang dikategorikan sebagai khunsa musykil.


Hukum lelaki muslim berkahwin dengan wanita ahli kitab


Sesungguhnya syariat Islam tidak pernah menghalang lelaki muslim untuk berkahwin dengan ahli kitab masihi dan yahudi, sepertimana yg telah disebutkan didalam al-quran:


ٱلْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ وَٱلْمُحْصَنَاتُ مِنَ ٱلْمُؤْمِنَاتِ وَٱلْمُحْصَنَاتُ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَآ آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِيۤ أَخْدَانٍ وَمَن يَكْفُرْ بِٱلإِيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي ٱلآخِرَةِ مِنَ ٱلْخَاسِرِينَ


Maknanya: "Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan."


     Berdasarkan ayat tersebut Allah s.w.t membenarkan lelaki-lelaki muslim berkahwin dengan wanita-wanita ahli kitab dengan syarat mereka mestilah wanita-wanita yang menjaga kehormatan diri mereka. Pada suatu hari, Umar bin Al-Khattab telah mengarahkan huzaifah supaya menceraikan seorang yahudi yang dikahwininya, maka huzaifah pun bertanya: " Adakah haram aku mengahwininya?" Saidina Umar menjawab: “ Tidak, tapi aku takut kau akan berkahwin dengan pelacur dalam kalangan mereka.” Ini menunjukkan haram berkahwin dengan wanita yahudi tersebut bukan kerana agamanya yahudi, tapi kerana haram berkahwin dengan pelacur. Firman Allah:

 ٱلزَّانِي لاَ يَنكِحُ إِلاَّ زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَٱلزَّانِيَةُ لاَ يَنكِحُهَآ إِلاَّ زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذٰلِكَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.” (al-nur: 3)


     Oleh yang demikian sebahagian ulama’ mengatakan: “ berkahwin dengan ahli kitab yang menjaga kehormatan diri lebih baik daripada berkahwin dengan seorang muslimah yang berzina, kerana ahli kitab yang menjaga kehormatan diri Allah taa’la menyatakan mereka ini adalah dari kalangan orang yang baik-baik, halal bagi kita untuk mengahwininya, manakala Allah mengatakan perempuan muslimah yang berzina merupakan perempuan yang kotor ( jahat) dan tidak boleh berkahwin melainkan lelaki yang jahat seumpama dengannya"  Firman Allah:

ٱلْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ

Mafhumnya: “Perempuan yang kotor ( jahat) untuk lelaki yang kotor (jahat)” (al-nur: 26)



Rujukan

1. Ma yajuz wa ma la yajuz fil hayatiz zaujiyyah ( Syeikh Said Abdul Aziz Bin Al-Siddiq Bin Al-Ghumari)
12.34am 18/02/2010
Rumahku syurgaku, Bait Al-Tijari,
Mansurah Mesir.

Thursday, February 11, 2010

10 PERSOALAN SEKITAR ISU CINTA DAN PRKAHWINAN


Sambungan……


Hukum meminang wanita yang telah bertunang

Haram seorang lelaki meminang di atas pinangan saudaranya. Sabda Rasulullah s.a.w:

" المؤمن أخو المؤمن فلا يحل أن يبتاع على بيع أخيه, ولا يخطب على خطبة أخيه حتى يذر"

Mafhumnya: “ seorang mu’min bersaudara dengan mu’min yang lain, maka tidak halal dia membeli diatas belian saudaranya, dan tidak halal dia meminang di atas pinangan saudaranya sehinggalah meninggalkan perempuan tersebut (putus tunang)”

     Seandainya lelaki yang kedua meminang selepas pinangan lelaki yang pertama diterima a’kad tersebut haram tetapi sah, kerana larangan tersebut adalah larangan meminang bukan syarat sah pinangan.

Hukum wanita meminang lelaki

     Wanita meminang lelaki merupakan satu perkara yang dituntut oleh syara’. Pada hakikatnya, seorang wanita yang meminang lelaki telah meneladani sikap mulia Ummul mu’minin Saidatina Khadijah Binti Al-Walid. Beliau telah meminang Rasulullah s.a.w sebelum baginda diutus menjadi nabi setelah melihat sifat-sifat mulia yang terpancar dari diri baginda s.a.w. Baginda s.a.w telah berkahwin dengan Saidatina Khadijah meskipun ketika itu umur Saidatina Khadijah jauh lebih tua berbanding Rasulullah s.a.w.

     Seorang wanita tidak perlu malu atau risau pinangannya ditolak oleh lelaki yang dipinangnya kerana sikap ini jelas bertentangan dengan sikap wanita pada zaman Rasulullah s.a.w, kelompok wanita yang terbaik pada zaman yang terbaik. Disebut dalam sebuah hadis sohih Bukhari, seorang wanita telah menawarkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w untuk dikahwini oleh baginda di hadapan khalayak ramai, namun baginda tidak menerima tawaran tersebut dan mengahwinkannya dengan lelaki lain. ( wanita pada zaman Rasulullah s.a.w tidak malu untuk melakukan ibadah tapi malu melakukan maksiat, macam mana pula wanita zaman sekarang??)

     Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani ketika mensyarahkan hadis tersebut di dalam kitabnya yang masyhur Fathul Bari telah mengatakan: “Berdasarkan hadis-hadis tersebut, harus bagi seorang wanita menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh lelaki yang disukainya”. Berpandukan kepada hadis tersebut juga, sebahagian ulama’ memfatwakan, sunat hukumnya seorang perempuan menawarkan diri untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang alim.

     Oleh yang demikian, pepatah melayu yang mengatakan seorang wanita yang menawarkan diri untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang disukainya atau meminang lelaki tersebut umpama perigi mencari timba jelas bertentangan dengan syariat Islam. Ironisnya, seorang perempuan perlu berebut untuk mendapatkan lelaki yang soleh sepertimana seorang lelaki perlu berebut untuk mendapatkan seorang wanita yang solehah. Ini disebabkan, pasangan yang soleh/solehah boleh menghampirkan diri kita kepada Allah. Ithar (melebihkan orang lain berbanding diri sendiri) dalam hal yang boleh mendekatkan diri kepada Allah bertentangan dengan tuntutan syara’, disebut dalam sebuah kaedah: “ Ithar dalam mendekatkan diri kepada Allah makruh, Ithar dalam perkara lain disukai”

     Konklusinya, seorang wanita tidak perlu malu meminang seorang lelaki dan tidak perlu malu seandainya pinangan tersebut ditolak oleh lelaki tersebut kerana perbuatan itu bertepatan dengan kehendak islam. (Dahulukan syariat sebelum adat)

Pembetulan: Sebahagian daripada 10 persoalan ini penulis perolehi daripada pembacaan dan pengajian kitab sebelum dan selepas pulang ke Malaysia.

Rujukan

1. Ma yajuz wa ma la yajuz fil hayatiz zaujiyyah ( Syeikh Said Abdul Aziz Bin Al-Siddiq Bin Al-Ghumari
12.17pm 11/02/2010
Bait Maqabir,
Mansurah Mesir.

Related Posts with Thumbnails