Sunday, August 29, 2010

Hakikat puasa adakah sekadar menahan lapar dan dahaga?



Alhamdulillah syukur kepada Allah ketika artikel ini ditulis kita telah memasuki bahagian terakhir di bulan Ramadan, 10 hari yang Allah janjikan pelepasan dari api neraka terhadap hamba-hambanya. Sabda Nabi:  "Ramadanawalnya rahmatpertengahan keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada azab api neraka.

Pelbagai janji yang Allah taburkan kepada hamba-hambanya bagi setiap amalan antaranya ibadah sunat yang dilakukan mendapat pahala seperti melakukan ibadah wajib dan pelbagai janji-janji yang lain. Ibadah puasa pula menjadi ibadah yang paling popular di bulan Ramadan. Bila disebut tentang Ramadan umat Islam akan mengaitkannya dengan puasa. Persoalannya apakah hakikat sebenar puasa? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga?


Persoalan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lepas. Baginda bersabda dalam sebuah hadis: 

لَيْسَ الّصِيَامُ مِنْ الّطَعَامِ وَالّشَرَابِ إِنَّمَا الّصِيَامُ مِنَ الّلَغْوِ وَالّرَفَثِ

"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi - sahih)

Berdasarkan hadis tersebut dapat kita fahami ibadah puasa terutamanya puasa bulan Ramadan adalah sebuah madrasah yang mendidik umat Islam untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan dan percakapan yang lagha dan menjauhkan diri dari segala perkara yang keji. Seandainya kita berpuasa tapi masih melakukan perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t maka Allah Ta'ala tidak akan memandang ibadah puasa yang dilaksanakannya sabda nabi

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الّزُوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلهِ حَاجَةً فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

"Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang tidak elok maka Allah tidak memerlukan (memberi pahala) terhadap meninggalkan makan dan minum." (Hr Bukhari - sahih)

Oleh yang demikian mari kita sama-sama bermuhasabah, adakah ibadah puasa yang kita jalankan berjaya mendapat pandangan dari Allah. Adakah kita berjaya menjauhi maksiat-maksiat yang biasa kita lakukan sebelum-sebelum ini. Mari kita bermuhasabah:

1. Adakah minuman dan makanan yang kita jamu ketika sahur dan berbuka makanan yang halal dan daripada sumber yang halal?

2. Adakah pakaian yang kita pakai pada setiap hari di hadapan bukan mahram daripada sumber yang halal dan menutup aurat (seperti yang digariskan oleh islam )

3. Adakah kita berjaya menjauhi segala dosa yang berkaitan dengan mulut seperti mengumpat, mengata, mengkeji dan lain-lain?

4. Adakah kita berjaya menahan nafsu kita daripada memandang perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah?

5. Adakah kita berjaya menahan tangan kita dan seluruh pancaindera daripada perbuatan-perbuatan yang dimurkai Allah.

Seandainya kita tidak berjaya menahan diri kita dari segala perkara yang dimurkai oleh Allah maka sia-sialah puasa kita, kitak tidak akan mendapat apa-apa selain lapar dan dahaga. Sabda Nabi:




رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوْعُ وَالْعَطَش

"Ramai orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja."(Hr Ibnu Majah - hasan sahih)



Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan dengan melaksanakan segala perkara yang disuruh Allah dan meninggalkan segala perkara yang dilarangnya. Moga-moga segala kelebihan di bulan Ramadan terutama Redha Allah akan kita perolehi.


1:03 30/08/2010
kedai makanku
Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur








Thursday, August 19, 2010

Syarat-syarat menononton wayang dihalalkan Islam




SYARAT-SYARAT

Dr Yusuf qardawi telah menggariskan 3 syarat untuk mengharuskan melihat cerita di panggung wayang, pentas teater dan seumpamanya.

1. Bebas daripada unsur-unsur sex dan perkara yang menyalahi syariat

Hendaklah isi cerita tersebut tidak ada perkara yang mempunyai unsur-unsur sex, kejahatan dan semua perkara yang menyalahi syariat dan adab-adab Islam.

Cerita-cerita yang menaikkan syahwat, menggalakkan untuk membuat dosa, merangsang jenayah, membawa pemikiran yang menyeleweng dan mempunyai unsur2 akidah yang sesat adalah haram dilihat oleh orang Islam

2. Tidak menyebabkan tinggalkan kewajipan agama
Tidak menyebabkan terlalai dari mengerjakan kewajipan agama, terutamanya kewajipan solat. Firman Allah swt :

  فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,


الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

(yaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, (4 dan 5 surah al-Ma’un)

3: Tidak berlaku pergeselan diantara penonton lelaki perempuan dan tidak ada percampuran yang mendorong kepada maksiat. 

 Ini bagi mengelakkan maksiat dan menjauhkan dari fitnah. Lebih-lebih lagi menonton dalam gelap. Nabi saw bersabda:

لِأَنْ يُطْعَنَ فِيْ رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِْخَيطٍ مِنْ حَدِيْدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمُسَّ اِمْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ

“ Ditusuk di kepala seseorang dengan jarum besi lebih baik dari dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Hadis riwayat al-Baihaiqi dan at-Thabrani dengan sanad yang sahih)

MELIHAT AURAT DIKACA TV

Hukum melihat aurat dikaca tv adalah diharuskan menurut fatwa dari ulama Azhar, fatwa lajnah fatwa ulama Kuwait dan ulama-ulama yang lain. Ianya disayaratkan dengan syarat tidak menimbulkan fitnah seperti merangsang nafsu atau terpautnya hati. Dalam kitab Tuhfatul Muhtaj disebut pengharusan melihat aurat imej wanita dalam air atau dalam cermin selagi tidak ditakuti fitnah (tarikan).

Namun ada juga mengharamkannya seperti ulama Saudi dan Dr Taufik Ramadan al-Bouti.

Rujukan: Al-Halal wal Haram fil Islam oleh Dr Yusuf al-Qardawi, Tufatul Muhtaj oleh Ibnu Hajar haitami dan lain-lain

Dipetik dari http://akhisalman.blogspot.com/

Monday, August 16, 2010

Pengetahuan-pengetahuan asas dalam ibadah puasa pada bulan Ramadan



Sambungan

Perbuatan-perbuatan yang membatalkan puasa

1. Makan, minum dan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan terbuka dengan sengaja pada siang hari.

Orang yang sedang bersahur tiba-tiba masuk waktu subuh dalam keadaan di dalam mulutnya ada makanan, dia hendaklah mengeluarkan makanan yang ada di dalam mulutnya dan menyempurnakan puasanya. Seandainya sudah masuk waktu subuh, dia tetap terus makan makanan tersebut, maka tidak ada khilaf dalam kalangan ulama' batal puasanya.

* Sebahagian ustaz dan penceramah di Malaysia cuba membawa kekeliruan dalam minda masyarakat dengan membawa sebuah hadis yang sohih darjatnya, lantas menyatakan masih boleh makan walaupun masuk waktu subuh tanpa memeriksa maksud sebenar hadis tersebut. Pendapat tersebut bertentangan dengan Ijma' ulama'. Hadis tersebut adalah hadis riwayat Abu Hurairah, sabda nabi:

"Seandainya seseorang daripada kamu mendengar azan dan bekas makanan ada dihadapan kamu, maka janganlah letakkan bekas makanan tersebut (berhenti makan) sehinggalah kamu menyelesaikan hajat kamu (habiskan makanan)" (Riwayat Al-Baihaqi, Sohih mengikut syarat Imam Muslim)

Sebahagian penceramah cuba mentafsir dan menyatakan kita masih boleh makan selepas azan subuh sampai habis makanan yang ada dalam pinggan kita, tapi tak boleh tambah (saya dengar dari seorang ustaz, penceramah dikenali masyarakat setempat, lepasan Mesir di salah sebuah surau di Kuala Lumpur). Pendapat yang dibawa oleh ustaz tersebut jelas bertentangan dengan Al-quran, Hadis dan Ijma'. Ada sebuah hadis yang menjelaskan hadis tersebut.

" Sesungguhnya Bilal Azan pada waktu malam (belum masuk waktu Subuh) maka makan dan minumlah sehingga Ibnu Ummi Maktum azan" (Sohih Bukhari)

Seperti yang telah diperbahaskan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu', hadis tersebut dapat difahami nabi mempunyai dua muazzin: Bilal dan Ibnu Ummi maktum. Bilal azan sebelum waktu subuh dan Ibnu Ummi Maktum azan pada waktu Subuh. Ini bermakna hadis pertama tadi yang menyuruh orang menghabiskan makanan setelah dengar azan, adalah azan yang dilaungkan oleh Bilal (sebelum waktu subuh) adapun ketika azan kedua yang dilaungkan oleh Ibnu Ummi Maktum (azan subuh) tidak boleh makan, barangsiapa yang meneruskan makan Ijma' ulama' mengatakan batal puasanya."

2. Muntah dengan sengaja. Sabda Nabi:

" Barangsiapa yang muntah dengan sengaja wajib qada' puasa, barangsiapa yang muntah tidak sengaja tidak wajib qada' puasa"

3. Berjima' dengan sengaja pada siang hari. Fiman Allah:

"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam"

* Orang yang bersetubuh pada siang hari wajib qada'' puasanya dan melaksanakan kafarah. Kafarah bagi mereka yang berjima' pada siang hari Ramadan adalah bebaskan seorang hamba, seandainya tidak mampu puasa dua bulan berturut-turut, seandainya dia tidak mampu juga berikan makanan kepada 60 orang miskin. Abu Hurairah berkata:

" Nabi s.a.w mengarahkan seorang lelaki yang melakukan persetubuhan bersama isterinya sehari pada siang Ramadan membebaskan seorang hamba. Dia berkata: "Aku tidak mampu" Nabi berkata: "Puasalah dua bulan berturut-turut" Dia berkata: "Aku tidak mampu" Nabi berkata: " Berikanlah makanan kepada 60 orang miskin"......" (Sunan Abu Daud) 

* Seandainya seseorang lelaki melakukan hubungan suami isteri melalui selain daripada faraj ataupun mencium isterinya lalu keluar air mani, maka batal puasanya. Seandainya tidak keluar air mani, puasa lelaki tersebut tidak terbatal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir:
" Aku telah mencium isteriku ketika sedang berpuasa, maka aku berjumpa nabi dan berkata: "aku telah mencium isteriku ketika sedang berpuasa." Nabi berkata: Adakah kau lihat seandainya kau berkumur-kumur ketika berpuasa (boleh membatalkan puasa?) ( Sohih riwayat Abu Daud)

* Seandainya ketiga-tiga perkara tersebut dilakukan disebabkan terlupa tidak batal puasa ini berdasarkan sebuah hadis:

" Barangsiapa yang terlupa (dia berpuasa) lalu makan dan minum maka sempurnakanlah puasanya kerana Allah yang memberinya makan dan minum" (Sohih Bukhari dan Muslim)

4. Hilang akal.
Gila dan pitam membuatkan puasa terbatal. Bezanya orang yang pitam perlu qada' puasa manakala orang yang gila tidak perlu qada' puasa. (telah diperbahaskan secara detail dalam artikel sebelum ini)

5. Murtad

Orang yang murtad terbatal puasanya. Beza orang yang murtad dan kafir, orang kafir tidak perlu mengqada'kan puasa yang tidak dilakukannya ketika kafir, manakala orang yang murtad wajib mengqada' segala puasa wajib yang ditinggalkan ketika murtad.
6. Haid dan Nifas

Haram dan tidak sah seorang perempuan yang didatangi haid/nifas berpuasa. Mereka diwajibkan qada' selepas suci daripada haid dan nifas Saidatina Aisyah berkata:

" Ketika haid kami diarahkan (Rasulullah) Qada' puasa dan kami tidak diarahkan qada' solat" (Sohih Muslim)

Abu Mawahib Al-Azhari
3:56 pm 16/08/2010
Kedaiku, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur

Rujukan:

1- Al-Majmu' (Imam Nawawi)

Thursday, August 12, 2010

Pengetahuan-pengatahuan asas dalam ibadah puasa di bulan Ramadan


Pengertian puasa:

Menahan diri daripada makan,minum berjima' dan melakukan segala perkara yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbitfajar(subuh) sehingga terbenam matahari(maghrib).

Ibadah puasa merupakan salah satu daripada rukun Islam. Dalil pensyariatan puasa, firman Allah: 

" Barangsiapa yang melihat anak bulan (ramadhan) hendaklah dia puasa"

Rukun-rukun puasa:

1.Niat. Sabda nabi:

"Setiap amalan perlu disertai dengan niat"

Mazhab syafie: Diwajibkan niat puasa pada setiap hari kerana ibadah puasa dianggap sebagai ibadah munfaridah (ibadah tunggal) seperti solat. Wajib niat puasa pada setiap hari sepertimana kita wajib niat solat setiap kali bersolat.

Mazhab Maliki dan Hanafi: Dibolehkan niat sekali gus pada awal Ramadan kerana mereka menganggap ibadah puasa seperti wudhu'. Kita tidak perlu perbaharui wudhu' setiap kali solat selagimana tidak melakukan perkara yang membatalkan wudhu'. Pendapat inilah yang banyak diguna pakai di Malaysia pada waktu ini.

2. Menahan diri dari lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

3. Rukun zamaniah(berkaitan dengan masa).

Dilakukan pada setiap hari sepanjang bulan Ramadhan bermula dari terbit fajar(subuh) sehingga terbenam matahari(maghrib)

Syara-syarat wajib puasa:

1. Islam

Ibadah puasa tidak diwajibkan kepada bukan islam kerana orang yang tidak beriman kepada usul (perkara asas), tidak dituntut melakukan perkara furu' (cabang).

2. Baligh dan berakal:

Kanak yang belum baligh dan orang gila tidak diwajibkan melakukan ibadah puasa. Kerana mereka bukan orang yang mukallaf. Dosa yang mereka lakukan tidak dicatit dan dihisab Allah sepertimana sabda nabi:

" Diangkat pen (tidak dicatit dosa) tiga golongan: "Orang yang gila sehinggalah dia sembuh, orang yang tidur sehinggalah dia bangun dan kanak-kanak sehingga dia baligh"

* Pendapat mazhab syafie orang yang gila berwaktu tidak perlu puasa ketika diserang penyakit tersebut dan tidak wajib mengqada' puasanya, berbeza dengan orang yang pitam perlu mengqadha' puasanya. Imam Nawawi menyatakan dalam kitabnya Al-Majmu' beza antara orang yang gila tidak wajib qada' puasa dan orang yang pitam sepertimana tidak wajib qada' solat (wanita yang haid dan lain-lain) tetapi wajib qadha' puasa. Sukar bagi orang gila qadha' puasa sepertimana sukarnya wanita haid qada' solat kerana penyakit gila kerap berulang, berbeza dengan pitam yang jarang-jarang berlaku" 

bersambung....

Abu Mawahib Al-Azhari
3:42 pm 12/08/2010
Kedaiku, Bandar Sri Permaisuri Kuala Lumpur.

Rujukan:

1. Al-Majmu' (Imam Nawawi)
2.Feqhus Siam (Dr Yusuf Qaradawi)


Saturday, August 7, 2010

80 Tahun PMRAM betulkah PMRAM semakin dicintai??



80 tahun Pmram

Alhamdulillah program KEKAL (Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM) telah sampai ke penghujungnya pada hari khamis yang lepas, moga-moga segala kelebihan dalam program tersebut dapat dijadikan contoh oleh generasi akan datang dan segala kekurangan dapat dijadikan pengajaran. Pada artikel kali ini saya ingin menyentuh beberapa pengisian yang diadakan dalam karnival tersebut yang mampu memberikan impak yang besar kepada seluruh ahli PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir).

Program bahaskan sejauh mana ahli cintakan PMRAM

Tajuk perdebatan antara PMRAM cawangan Dumyat dan PMRAM cawangan Selangor sangat menarik "Sokongan pelajar Mesir terhadap semakin berkurangan". Saya juga tertarik dengan beberapa ulasan Ust Hairul Nizam Mat Husin di dalam program "Wacana 4 Presiden"

Konklusi daripada dua pengisian tersebut dapat saya simpulkan sokongan mahasiswa Malaysia di Mesir secara lisan dan semangat amat tinggi tetapi sokongan dalam bentuk pengorbanan amat rendah. Mungkin ramai yang menafikannya tapi, seandainya dikaji dengan teliti begitulah hakikatnya. Sebagai bukti Ust Hairul Nizam telah melahirkan kekecewaan terhadap kutipan dana syaqah PMRAM. Usul yang telah dipersetujui lebih separuh perwakilan pada muktamar 2 sesi yang lepas iaitu setiap orang ahli dicadangkan supaya menyumbang LE300 untuk kutipan dana syaqah sampai ke hari ini tidak dapat dilaksanakan. Apa yang menyedihkan stakat ini sasaran jumlah yang diperolehi hanya sekitar LE300 ribu jauh daripada jumlah yang diperlukan lebuh kurang LE1.5 juta.

Lebih malang, lebih separuh daripada ahli PMRAM masih tidak menyumbang untuk menjayakan usul tersebut. Saya terkejut bagaimanakah sahabat-sahabat kita boleh melaungkan ungkapan "cintakan PMRAM", "pertahankan PMRAM", "perjuangkan PMRAM" dan ungkapan-ungkapan yang lain, tapi bila disebut dana Syaqah masing-masing memberi alasan: "nantilah ana bayar", "maaflah sekarang takda duit", lain kalilah", "mahal sangatlah" dan ungkapan-ungkapan lain. Satu persoalan ingin saya tinggalkan pada mereka yang hanya berjuang berdasarkan semangat tanpa pengorbanan: "Tak malu ke mengaku pejuang PMRAM tapi kedekut korban harta untuk PMRAM"

Kalau kita cintakan sesuatu kita mesti berusaha untuk mendapatkannya dan akan melaksanakan apa jua tuntutan disebabkannya. Sebagai contoh, seseorang lelaki yang mencintai dan ingin berkahwin dengan seorang wanita pasti berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Seandainya bapa kepada wanita tersebut meletakkan mas kahwin setinggi 15 ribu ringgit, dia pasti akan berusaha mendapatkannya sama ada dengan bekerja, pinjam, minta dan cara-cara yang lain. Segalanya disebabkan oleh cinta.

Untuk mereka yang berjuang berdasarkan semangat semata-mata.

Oleh yang demikian, mereka yang melaungkan slogan cintakan PMRAM mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan PMRAM. Mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan LE300 untuk bayar dana syaqah sama ada dengan cara berniaga, pinjam, minta bantuan daripada orang-orang kaya dan lain-lain bagi membuktikan cinta mereka kepada PMRAM. Seandainya usaha-usaha ini tidak dilakukan rasanya tak salahkan jika saya katakan anda adalah HIPOKRIT dan ungkapan cinta yang anda laungkan adalah PALSU.

2 hari lagi insyaAllah saya pulang ke Malaysia, sebelum itu saya masih lagi menjalankan tugas sebagai ajk Unit Kebajiakan menagih janji mereka yang mendakwa cintakan PMRAM di Mansurah. Setakat ini kalau tak silap tak sampai 10 orang ikhwah daripada 100 lebih ikhwah di Mansurah yang membayar Dana Syaqah. Sebahagian besar yang membayar bukanlah orang yang selalu melaungkan CINTAkan PMRAM. 

Dimanakah mereka yang selalu laungkan nama PMRAM dan mendakwa pejuang Pmram? Adakah anda hanya akan muncul bila nampak ada perkara yang dilakukan persatuan lain yang boleh jatuhkan nama baik PMRAM atau boleh menarik ahli PMRAM untuk menunjukkan andalah pejuang sebenar PMRAM dan  Islam???? Saya cabar anda buktikan kecintaan kepada PMRAM dengan membayar duit Dana syaqah.

Abu Mawahib Al-Azhari
11:37am 07/08/2010
Rumah Amza, Mansurah Mesir

Sunday, August 1, 2010

sambungan "hukum puasa berturut-turut: rejab, sya'ban,ramadhan"


Ulama'-ulama' yang membenarkan puasa sepanjang tahun menjawab hadis larangan puasa : " Tidak ada puasa bagi mereka yang berpuasa sepanjang tahun" (Sohih Bukhari) dengan beberapa jawapan:


1. Penjelasan daripada Saidatina Aisyah tentang larangan tersebut adalah kepada orang yang puasa sepanjang tahun termasuk hari-hari yang diharamkan puasa. Adapun orang yang berbuka ketika hari diharamkan puasa tidak termasuk dalam larangan tersebut.

Ummu kalthum hamba kepada Asma' telahmeriwayatkan di dalam sebuah hadis: "dikatakan kepada Aisyah: Engkau berpuasa sepanjang tahun sedangkan Rasulullah s.a.w melarang puasa sepanjang tahun? Aisyah menjawab: "Ya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w melarang puasa sepanjang tahun. Adapun orang yang tidak berpuasa pada hari raya haji dan hari raya aidil fitri tidak tergolong dalam golongan orang yang berpuasa sepanjang tahun" (-sohih- Musnad Umar Al-Khattab)

2. Puasa yang dilarang adalah puasa yang boleh memberi kemudharatkan kepada diri sendiri atau orang lain. Pendapat ini dikuatkan berdasarkan hadis Abdullah bin A'mru, hadis tersebut ditujukan kepadanya. Telah dinaqalkan dalam sebuah hadis yang sohih pada akhir kehidupannya dia tidak mampu untuk berpuasa dan menyesal kerana tidak menerima keringanan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w dia telah berkata

" Alangkah baiknya seandainya aku menerima keringanan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w sebelum ini" (Sohih Muslim)

Larangan nabi kepada Amru bin Al-Asr adalah kerana Baginda mengetahui Amru Al-Asr tidak mampu melakukan perkara tersebut tanpa sebarang kemudharatan

Para sahabat  yang berpuasa sepanjang tahun

Saidina Umar, Abdullah bin Umar, Abu Talha Al-Ansori, Abu Umamah dan isterinya. Imam Baihaqi telah menyebutkan tentang mereka beserta sanad-sanadnya dan Abu Talha ada dinaqalkan dalam Sohih Bukhari.

1:35pm 01/08/2010
Rumah Amza, Mansurah Mesir

Rujukan
1. Al-Majmu' (Imam Nawawi)
Related Posts with Thumbnails