Pelbagai janji yang Allah taburkan kepada hamba-hambanya bagi setiap amalan antaranya ibadah sunat yang dilakukan mendapat pahala seperti melakukan ibadah wajib dan pelbagai janji-janji yang lain. Ibadah puasa pula menjadi ibadah yang paling popular di bulan Ramadan. Bila disebut tentang Ramadan umat Islam akan mengaitkannya dengan puasa. Persoalannya apakah hakikat sebenar puasa? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga?
Persoalan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w sejak lebih 1400 tahun yang lepas. Baginda bersabda dalam sebuah hadis:
لَيْسَ الّصِيَامُ مِنْ الّطَعَامِ وَالّشَرَابِ إِنَّمَا الّصِيَامُ مِنَ الّلَغْوِ وَالّرَفَثِ
"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi - sahih)
Berdasarkan hadis tersebut dapat kita fahami ibadah puasa terutamanya puasa bulan Ramadan adalah sebuah madrasah yang mendidik umat Islam untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan dan percakapan yang lagha dan menjauhkan diri dari segala perkara yang keji. Seandainya kita berpuasa tapi masih melakukan perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t maka Allah Ta'ala tidak akan memandang ibadah puasa yang dilaksanakannya sabda nabi
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الّزُوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلهِ حَاجَةً فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
"Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang tidak elok maka Allah tidak memerlukan (memberi pahala) terhadap meninggalkan makan dan minum." (Hr Bukhari - sahih)
Oleh yang demikian mari kita sama-sama bermuhasabah, adakah ibadah puasa yang kita jalankan berjaya mendapat pandangan dari Allah. Adakah kita berjaya menjauhi maksiat-maksiat yang biasa kita lakukan sebelum-sebelum ini. Mari kita bermuhasabah:
1. Adakah minuman dan makanan yang kita jamu ketika sahur dan berbuka makanan yang halal dan daripada sumber yang halal?
2. Adakah pakaian yang kita pakai pada setiap hari di hadapan bukan mahram daripada sumber yang halal dan menutup aurat (seperti yang digariskan oleh islam )
3. Adakah kita berjaya menjauhi segala dosa yang berkaitan dengan mulut seperti mengumpat, mengata, mengkeji dan lain-lain?
4. Adakah kita berjaya menahan nafsu kita daripada memandang perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah?
5. Adakah kita berjaya menahan tangan kita dan seluruh pancaindera daripada perbuatan-perbuatan yang dimurkai Allah.
Seandainya kita tidak berjaya menahan diri kita dari segala perkara yang dimurkai oleh Allah maka sia-sialah puasa kita, kitak tidak akan mendapat apa-apa selain lapar dan dahaga. Sabda Nabi:
رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوْعُ وَالْعَطَش
"Ramai orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja."(Hr Ibnu Majah - hasan sahih)
Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama mempertingkatkan amalan di bulan Ramadan dengan melaksanakan segala perkara yang disuruh Allah dan meninggalkan segala perkara yang dilarangnya. Moga-moga segala kelebihan di bulan Ramadan terutama Redha Allah akan kita perolehi.
1:03 30/08/2010
kedai makanku
Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur
Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur
1 comment:
perkongsian yang menarik
Post a Comment