Hukum meminang wanita yang telah bertunang
Haram seorang lelaki meminang di atas pinangan saudaranya. Sabda Rasulullah s.a.w:
" المؤمن أخو المؤمن فلا يحل أن يبتاع على بيع أخيه, ولا يخطب على خطبة أخيه حتى يذر"
Mafhumnya: “ seorang mu’min bersaudara dengan mu’min yang lain, maka tidak halal dia membeli diatas belian saudaranya, dan tidak halal dia meminang di atas pinangan saudaranya sehinggalah meninggalkan perempuan tersebut (putus tunang)”
Seandainya lelaki yang kedua meminang selepas pinangan lelaki yang pertama diterima a’kad tersebut haram tetapi sah, kerana larangan tersebut adalah larangan meminang bukan syarat sah pinangan.
Hukum wanita meminang lelaki
Wanita meminang lelaki merupakan satu perkara yang dituntut oleh syara’. Pada hakikatnya, seorang wanita yang meminang lelaki telah meneladani sikap mulia Ummul mu’minin Saidatina Khadijah Binti Al-Walid. Beliau telah meminang Rasulullah s.a.w sebelum baginda diutus menjadi nabi setelah melihat sifat-sifat mulia yang terpancar dari diri baginda s.a.w. Baginda s.a.w telah berkahwin dengan Saidatina Khadijah meskipun ketika itu umur Saidatina Khadijah jauh lebih tua berbanding Rasulullah s.a.w.
Seorang wanita tidak perlu malu atau risau pinangannya ditolak oleh lelaki yang dipinangnya kerana sikap ini jelas bertentangan dengan sikap wanita pada zaman Rasulullah s.a.w, kelompok wanita yang terbaik pada zaman yang terbaik. Disebut dalam sebuah hadis sohih Bukhari, seorang wanita telah menawarkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w untuk dikahwini oleh baginda di hadapan khalayak ramai, namun baginda tidak menerima tawaran tersebut dan mengahwinkannya dengan lelaki lain. ( wanita pada zaman Rasulullah s.a.w tidak malu untuk melakukan ibadah tapi malu melakukan maksiat, macam mana pula wanita zaman sekarang??)
Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani ketika mensyarahkan hadis tersebut di dalam kitabnya yang masyhur Fathul Bari telah mengatakan: “Berdasarkan hadis-hadis tersebut, harus bagi seorang wanita menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh lelaki yang disukainya”. Berpandukan kepada hadis tersebut juga, sebahagian ulama’ memfatwakan, sunat hukumnya seorang perempuan menawarkan diri untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang alim.
Oleh yang demikian, pepatah melayu yang mengatakan seorang wanita yang menawarkan diri untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang disukainya atau meminang lelaki tersebut umpama perigi mencari timba jelas bertentangan dengan syariat Islam. Ironisnya, seorang perempuan perlu berebut untuk mendapatkan lelaki yang soleh sepertimana seorang lelaki perlu berebut untuk mendapatkan seorang wanita yang solehah. Ini disebabkan, pasangan yang soleh/solehah boleh menghampirkan diri kita kepada Allah. Ithar (melebihkan orang lain berbanding diri sendiri) dalam hal yang boleh mendekatkan diri kepada Allah bertentangan dengan tuntutan syara’, disebut dalam sebuah kaedah: “ Ithar dalam mendekatkan diri kepada Allah makruh, Ithar dalam perkara lain disukai”
Konklusinya, seorang wanita tidak perlu malu meminang seorang lelaki dan tidak perlu malu seandainya pinangan tersebut ditolak oleh lelaki tersebut kerana perbuatan itu bertepatan dengan kehendak islam. (Dahulukan syariat sebelum adat)
Pembetulan: Sebahagian daripada 10 persoalan ini penulis perolehi daripada pembacaan dan pengajian kitab sebelum dan selepas pulang ke Malaysia.
Rujukan
1. Ma yajuz wa ma la yajuz fil hayatiz zaujiyyah ( Syeikh Said Abdul Aziz Bin Al-Siddiq Bin Al-Ghumari
12.17pm 11/02/2010
Bait Maqabir,
Mansurah Mesir.
No comments:
Post a Comment