Thursday, June 25, 2009

TAUBAT DAN DARJATNYA



Sesungguhnya hamba-hamba Allah dibahagi-bahagikan kedudukan bukan berdasarkan harta dan pangkat bahkan ianya ditentukan berdasarkan kedudukan taubat mereka . Seseorang hamba perlu senantiasa menyoal diri mereka, adakah taubat yang ku persembahkan kepada Illahi, taubat yang sebenar? atau taubat yang penuh dengan dustaan dan nista? Dimanakah kedudukan martabat taubatku pada waktu ini? Adakah taubatku masih ditahap yang rendah?

Imam Al-Ghazali rahimahullah telah membahagikan martabat-martabat taubat berdasarkan kedudukan seseorang, bermula daripada kedudukan a’la sabiqin (terawal) sehinggalah kedudukan zolimin (terkebelakang)


Pembahagian taubat

Bahagian pertama:

Kedudukan taubat seseorang hamba dinilai berdasarkan keadaannya di penghujung hayatnya. Mereka yang berada pada kedudukan pertama ialah mereka yang tidak kembali melakukan dosa setelah bertaubat, melainkan kesalahan-kesalahan yang tidak dapat dipisahkan daripada diri manusia secara kebiasaannya.

Inilah insan-insan yang istiqamah dalam bertaubat, insan tersebut mempunyai nafsu yang berlumba-lumba menuju ke arah kebaikan. Taubat ini dinamakan taubat nasuhah dan nafsu tersebut dinamakan nafsu mutmainnah. Ketika kembali ke hadrat illahi maka akan dikatakan kepadanya :


فَٱدْخُلِي فِي عِبَادِي * ٱرْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً * يٰأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ

Mafhumnya: “Wahai nafsu mutmainnah (hati-hati yang tenang), kembalilah kepada tuhanmu dalam keadaan yang puas dan diredai. Masuklah ke dalam (jemaah) hamba-hambaku dan masuklah ke dalam syurgaku” (Al-Fajr: 27-30)

Mereka ini ada pelbagai jenis, sebahagian daripada mereka ada yang syahwatnya tenang disebabkan paksaan ma’rifah maka mereka futur (putus asa) untuk menentangnya, dan sebahagian yang lain ada yang berusaha untuk menentangnya dan diri mereka dipenuhi dengan mujahadah menentang syahwat tersebut.

Bahagian kedua:

Kelompok kedua merupakan orang yang telah istiqamah dalam melaksanakan perkara-perkara asas dalam ketaatan dan meninggalkan dosa-dosa besar. Akan tetapi mereka tidak berjaya memisahkan diri mereka daripada dosa, bukan dengan sengaja, akan tetapi, mereka telah di uji dengan dosa dalam pelbagai sudut. Mereka tidak berazam untuk melakukan dosa tersebut.

Setiap kali mereka lakukan dosa, mereka akan mencela diri mereka serta menyesal dan berazam untuk berhati-hati daripada mendekati sebab-sebab yang boleh membuatkan mereka tergelincir sekali lagi ke dalam lembah kemaksiatan . Mereka inilah golongan yang memiliki nafsu lawwamah (celaan) kerana nafsu ini mencela dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka ini dijanjikan oleh Allah dengan balasan yang baik. Firman Allah:


ٱلَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ ٱلإِثْمِ وَٱلْفَوَاحِشَ إِلاَّ ٱللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ ٱلْمَغْفِرَةِ

Mafhumnya: “ Orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji selain daripada kesalahan-kesalahan yang kecil, sesungguhnya tuhanmu maha luas pengampunannya”

Jumhur ulama’ mengatakan sesungguhnya "اللمم" merupakan selain daripada dosa-dosa besar seperti pandangan, cinta dan lain-lain.


Bahagian ketiga:

Seseorang hamba bertaubat dan istiqamah dalam taubatnya dalam tempoh tertentu, kemudian dia telah dikalahkan oleh nafsunya dengan melakukan sebahagian daripada dosa-dosa. Hakikatnya, dia memang menanamkan azam untuk melakukan dosa tersebut.

Dalam waktu yang sama, hamba tersebut terus-menerus melakukan ketaatan dan berusaha untuk meninggalkan sebahagian daripada dosa-dosanya.

Hamba tersebut telah dipaksa oleh syahawatnya untuk melakukan dosa, dia berharap moga-moga Allah s.w.t mengampunkan dosa tersebut. Jesteru itu, dia telah menganggap nafsunya telah bertaubat daripada dosa tersebut. Mereka inilah golongan tang memiliki nafsu masu’lah. Ciri-ciri empunya nafsu tersebut telah dicatitkan didalam Al-Quran, firman Allah:

وَآخَرُونَ ٱعْتَرَفُواْ بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُواْ عَمَلاً صَالِحاً وَآخَرَ سَيِّئاً عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ


Mafhumnya: “Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampu-baurkan pekerjaan-pekerjaan yang baik dan yang buruk. Mudahah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang” (At-Taubah: 102)

Balasan yang bakal dirasai oleh mereka amat merunsingkan. kerana mereka melambat-lambatkan taubat, boleh jadi mereka mati sebelum bertaubat.

Sesungguhnya amalan-amalan diambil kira berdasarkan penghujung hayat seseorang. Oleh yang demikian mereka yang memiliki nafsu ini perlu takuti waktu penghujung kehidupan kerana manusia boleh mati pada bila-bila masa. Maka berwaspadalah terhadap nafsu, dan berhati-hatilah daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang. Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang yang menyesal di kemudian hari.

Bahagian terakhir:

Seseorang hamba yang bertaubat dan kekal taubatnya dalam sesuatu tempoh tertentu. Kemudian dia kembali semula melakukan dosa tanpa cuba memperbaharui taubatnya dan tidak menyesal terhadap perlakuannya itu, inilah yang dinamakan nafsu a’mmaratu bissu’ (nafsu yang menyuruh melakukan kejahatan) ditakuti hamba tersebut mati dalam su’ul khatimah (mati dalam keadaan yang buruk).

Seandainya hamba tersebut mati dalam kalimah tersebut, maka sesungguhnya dia akan meminta untuk dibebaskan dari neraka walaupun sebentar. Tidak mustahil seandainya Allah s.w.t meliputi diri hamba tersebut dengan kemaafannya disebabkan perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Tapi ianya tidak boleh dijadikan hujah untuk seseorang hamba terus kekal dalam nafsu tersebut.

Seandainya seseorang itu berkata: “ Sesungguhnya Allah s.w.t itu mulia, khazinahnya luas, maksiat aku pasti tidak akan memudaratkannya, kemudian engkau lihat dia menaiki kapal-kapal untuk mencari duit.

Seandainya dikatakan kepadanya: “ Betul Allah itu mulia, maka duduklah di rumahmu moga-moga Allah akan berikan rezeki kepadamu.” Sudah pasti dia akan menjawab: “ Sesungguhnya rezeki itu memerlukan usaha pencarian” maka katakanlah padanya: “ Begitu juga kejayaan selamat daripada api neraka memerlukan taqwa.”

Wallahua’lam.

9:35pm 16/06/2008
Rumahku syurgaku
Dirasat Mansurah

No comments:

Related Posts with Thumbnails