Wednesday, July 8, 2009

ILMU YANG FARDU (WAJIB) DIPELAJARI


Cukupkah Sekadar ke Kulliah? Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari..


Sebelum peperiksaan lepas ada seorang sahabat bertanya: Adakah pengajian di kuliah semata-mata memadai untuk memenuhi keperluan diri kita?


Hakikatnya, soalan ini telah dijawab oleh ulama’ kita ratusan atau ribuan tahun yang lepas. Walaupun tidak menjawab secara khusus, namun, garis panduan ilmu yang wajib dipelajari oleh seseorang individu telah diletakkan oleh ulama’-ulama’ kita.


Secara ringkasnya, ilmu fardu yang wajib dipelajari oleh seseorang muslim terbahagi kepada dua:


Fardu ain:


Ilmu fardu ain merupakan ilmu yang diwajibkan keatas setiap individu muslim. Syeikh Az-Zarnuji di dalam kitabnya Ta’limu ta’lim menggariskan, ilmu fardu ain yang diwajibkan keatas setiap individu adalah ilmu hal (feqh, tauhid, tasawuf). Ilmu hal ialah ilmu semasa yang berkaitan dengan individu tersebut.


Secara ringkasnya imam Al-Ghazali membahagikan ilmu hal terbahagi kepada tiga bahagian:



1. Ilmu I’tiqad ( Tauhid )


Ilmu tauhid ialah ilmu untuk mengenal Allah s.w.t, ilmu ini merupakan ilmu yang paling wajib dipelajari kerana tanpanya terbatallah segala amalan anak Adam. Sungguhpun begitu ilmu ini adalah ilmu yang paling sikit wajib dipelajari sehingga mana Imam Al-Ghazali mengatakan cukup sekadar mempelajari kalimah syahadah ( لا اله الا الله ) serta memahaminya tanpa memerlukan kajian serta dalil.

Pendapat imam Al-Ghazali ini berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w yang hanya mewajibkan kepada orang-orang arab badawi mempercayai dan mengaku keesaan Allah dan kenabian rasulnya s.a.w tanpa perlu mempelajari dalil.

Selain daripada itu, ilmu kita juga wajib belajar ilmu-ilmu berkaitan aqidah berdasarkan lintasan-lintasan buruk yang datang dalam hati kita. Kita wajib belajar ilmu-ilmu yang boleh menghilangkan keraguan serta kesamaran yang terkandung dalam lintasan hati tersebut.


2. Ilmu Feqh


1. Amalan yang wajib dilaksanakan.

Diantara Ilmu feqh yang wajib dipelajari adalah ilmu yang menjadi syarat sah amalan seseorang selepas amalan tersebut diwajibkan keatasnya. Contohnya: Ilmu pertama yang wajib dipelajari oleh seseorang adalah Ilmu yang berkaitan dengan solat kerana solat wajib dilakukan setiap hari. Apabila menjelangnya bulan Ramadan maka dia wajib mempelajari ilmu yang berkaitan dengan puasa. Seandainya harta individu tersebut sudah mencukupi had wajib keluar zakat, maka dia wajib mempelajari ilmu yang berkaitan dengan zakat, dan begitulah seterusnya.

2. Amalan yang wajib ditinggalkan.

Selain daripada itu kita juga wajib mempelajari amalan-amalan yang wajib ditinggalkan berdasarkan keadaan semasa. Oleh yang demikian ilmu-ilmu yang wajib dipelajari berbeza mengikut keadaan seseorang. Misalnya, seseorang yang bisu tidak wajib mempelajari perkara-perkara yang haram dituturkan ketika bercakap, begitu juga seseorang yang tidak menjalankan urusniaga tidak wajib mempelajari hukum-hakam berkaitan riba’.


3. Ilmu tasawuf

Ilmu tasawuf merupakan ilmu yang paling banyak perlu dipelajari kerana ilmu inilah yang paling banyak perlu dipraktikkan. Sebahagian daripada manusia tidak mengakui dan menolak kewujudan ilmu ini. Hakikatnya mereka hanya mampu menafikan nama ilmu tersebut tanpa menafikan kandungan ilmu tersebut kerana ilmu tersebut jelas berdasarkan al-quran dan a-sunnah. Barangkali mereka lupa pepatah inggeris yang mengatakan “ don’t judge the book by it cover” (jangan nilai sesuatu buku berdasarkan kulit luarnya)


Sebenarnya ilmu tasawuf mempunyai beberapa nama lain seperti ilmu adab dan ilmu tazkiyatun nafsi (ilmu untuk menyucikan hati) sebahagian daripada mereka yang menafikan ilmu tasawuf mengakui nama lain bagi ilmu taswuf, ini membuktikan mereka tidak menafikan ilmu bahkan hanya menafikan istilah. Ilmu ini merupakan satu ilmu yang agung sehingga mana Allah s.w.t bersumpah bersumpah tujuh kali diatas tujuh makhluk hebat ciptaannya diatas muka bumi ini untuk memuji mereka yang mempraktikkan ilmu tersebut. Sabda Allah di dalam suruh Al-Syams:


وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا . وَالْقَمَرِ إِذَا تَلَاهَا . وَالنَّهَارِ إِذَا جَلَّاهَا . وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَاهَا . وَالسَّمَاءِ وَمَا بَنَاهَا . وَالْأَرْضِ وَمَا طَحَاهَا . وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا . فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا . قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا



Maksudnya: “Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan bulan apabila ia mengiringinya; Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikannya”


Ilmu ini dikatakan ilmu yang paling banyak perlu dipelajari kerana ilmu tersebut menyentuh sebahagian besar kehidupan ilmu kita. Sebagai contoh , adab merupakan sebahagian daripada perbahasan ilmu tasawuf, setiap perbuatan manusia perlu disertai dengan adab daripada sekecil-kecil perkara seperti makan, minum , beristinjak sehinggalah kepada sebesar-besar perkara seperti solat, nikah, puasa dan ibadah-ibadah yang lain.


Konklusinya Ilmu yang secara umumnya wajib dipelajari oleh seseorang muslim ada 3, tauhid, feqh, dan tasawuf. Kadar yang wajib dipelajari adalah mengikut kepada keadaan seseorang.


Ibnu A’jibah di dalam kitabnya Iqazul Himam syarah kepada sebuah kitab tasawuf yang masyhur al-Hikam telah menaqalkan sebutir mutiara kata daripada imam Malik: “Sesiapa yang hanya bertasawuf tanpa mempelajari feqah, maka zindik lah akan dia. Sesiapa yang hanya mempelajari feqah tanpa tasawuf, maka fasiqlah dia. Maka, sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya; maka sesungguhnya tahkik dia”


fasiq: Sentiasa melakukan dosa kecil dan tidak meninggalkan dosa besar
zindiq: Orang yang tidak percaya kewujudan tuhan ( Aties )
tahqiq: Orang yang berjaya mengikut jalan yang benar.
Oleh yang demikian kepada para al-azhari khususnya dan kepada yang lain-lain umumnya, mari sama-sama kita soal diri kita. cukupkah untuk menjadi pendakwah kalau sekadar ke kulliah tanpa pergi talaqqi bersama syeikh-syeikh diluar kulliah? Jawapannya sudah tentu tidak, mana mungkin jadi pendakwah, untuk menyempurnakn kewajipan keatas diri sendiri pun belum tercapai Oleh yang demikian saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat mari kita sama-sama gunakan cuti yang panjang ini untuk menyiapkan bekalan sebagai seorang muslim sejati dan pendakwah. Bagi yang bercita-cita lebih tinggi, jom kumpul ilmu untuk jadi mujtahid….


Bersambung…..


4:09pm 08/07/2009

Bait Maqabir
Dirasat Mansurah
Mesir.

Rujukan:

1. Ta’limu Ta’lim Toriqut Ta’llum (Syeikh Al-Zarnuji)

2. Ihya’ Ulumuddin (Imam Al-Ghazali)

3. Iqazul Himam fi Syarhil Hikam (Ibnu Al-A’jibah)

No comments:

Related Posts with Thumbnails