Monday, July 28, 2008

"PENJELASAN ISU NIQOB"





MUSIM CUTI YANG PADAT



Alhamdulillah, syukur kepada Allah akhirnya saya dapat mencuri sedikit masa menulis artikel untuk dimuatkan di dalam blog ini. Beberapa aktiviti yang akan dijalankan di Mansurah serta aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh beberapa badan anak negeri di Kaherah termasuk dua bazar yang saya sertai menyebabkan masa saya menjadi padat. Tambahan pula sekarang ni saya telah ditaklifkan oleh Allah untuk membantu mantan Presiden PMRAM Ustaz Hairul Nizam menterjemah sebuah kitab karangan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang memperbincangkan beberapa isu berkaitan penjajahan bumi Palestin, keadaan tersebut menyebabkan masa saya lebih feet dan menyebabkan saya terpaksa lebih berdisiplin dalam mengurus masa. InsyaAllah terjemahan kitab tersebut akan diguna pakai pada muktamar Pas Ogos depan. Peluang yang diberikan oleh Ust Hairul sudah pasti tidak akan saya persiakan.



Agak merungsingkan rancangan yang dicanangkan oleh Ustaz Usman supaya saya menyusun sebuah buku yang bertajuk "Sejarah kehidupan Penyair Jahili" yang saya jangkakan dapat disiapkan selewat-lewatnya pada bulan Ramadan ini masih lagi tidak dapat dimulakan disebabkan kekurangan rujukan bagi menghasilkan buku tersebut. Seperti sedia maklum, kitab-kitab rujukan yang berkaitan dengan jurusan bahasa memang sukar didapati dan harganya jauh lebih mahal berbanding kitab-kitab jurusan lain. Majalah Al-Asr yang akan diterbitkan di Malaysia tak lama lagi juga masih belum sempat disiapkan.



Permintaan yang terlalu banyak daripada sahabat-sahabat supaya saya menulis beberapa artikel seperti artikel yng berkaitan dengan bab toharah, puasa, solat, adab-adab menuntut Ilmu dan lain-lain serta ajakan daripada beberapa orang sahabat untuk menterjemah beberapa buah kitab mungkin terpaksa saya tangguhkan buat sementara waktu. Ribuan kemaafan saya pohon kepada sahabat-sahabat sekalian, keterbatasan waktu menyebabkan saya terpaksa menangguhkan permintaan anda, namun saya berazam untuk memenuhi permintaan anda selepas menyelesaikan tugasan-tugasan yang telah diamanahkan kepada saya.




TAZKIRAH ASAR DI RUMAH PAHANG



Pada hari rabu, 23/7/2008 selepas menunaikan solat Asar, saya telah diberi peluang untuk mengisi slot tazkirah di surau rumah Pahang di Haiyu Asyir. Beberapa subtopik yang cuba saya ketengahlkan pada hari tersebut telah mencetuskan ketidakpuashatian di kalangan sebahagian ahli BKMiP (Badan Kebajikan Mahasiswa islam Pahang). Oleh sebab itu untuk kali ini, walaupun terdapat pelbagai tajuk sedang berlegar-legar dalam benak pemikiran saya, tapi saya merasakan saya perlu menangguhkan penulisan terhadap tajuk-tajuk tersebut dan perlu mendahulukan menulis sedikit penjelasan dan pencerahan terhadap beberapa subtopik yang depertikaikan dalam tazkirah yang saya sampaikan baru-baru ini.

Saya mengharapkan teguran dan kritikan membina daripada sahabat-sahabat seandainya terdapat kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh saya ketika menyampaikan tazkirah tersebut. Sebahagian sahabat kita ada yang mengkritik saya, tapi sayang kritikan itu tidak ditujukan terus kepada saya, sebaliknya ditujukan kepada sahabat saya. Pada hakikatnya, ianya bukanlah satu kritikan yang membina tetapi merupakan satu umpatan boleh membinasakan diri kita.



KEWAJIPAN VS KELEBIHAN



Sahabat-sahabatku yang dikasihi,



Hakikatnya, apa yang cuba saya ketengahkan dalam tazkirah tersebut adalah isu kritikan orang awam terhadap orang-orang agama yang memandang rendah orang awam disebabkan orang-orang agama merasakan pemakaian mereka jauh lebih baik dan sempurna daripada pemakaian yang dipakai oleh orang kebiasaan atau orang awam. Perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan saranan Islam supaya kita sentiasa tawaddu', rendah diri, serta tidak memandang rendah kepada orang lain. Apa yang cuba saya tekankan dalam tazkirah tersebut, sebagai pelajar agama, kita perlu bijak menilai apakah perbezaan diantara kewajipan dan kelebihan.



Saya katakan berdasarkan apa yang saya pelajari daripada beberapa orang guru di bumi Mesir ini bahawa memakai jubah, kopiah, serban, bertudung labuh, memakai purdah(sebahagian mazhab mengatakan ianya wajib) bukanlah satu kewajipan tapi satu kelebihan. Bagi seorang lelaki pakaian yang menutupi anggota tubuh badannya yang berada diantara pusat dan lutut sudah memadai untuk dia dikatakan sebagai seorang yang menutup aurat. Bagi perempuan pula sekiranya dia memakai tudung yang menutup rambut dan lehernya, memakai pakaian yang mampu menutupi seluruh anggota badannya melainkan muka dan telapak tangan serta tidak menampakkan susuk tubuhnya, ianya sudah memadai untuk dia dikatakan seorang muslimah yang menunaikan kewajipan menutup aurat. Manakala pakaian-pakaian lain seperti tudung labuh, serban, kopiah dan lain-lain bukanlah satu kewajipan sebaliknya ianya menjadi satu kelebihan kepada orang yang memakainya.



Kita sebagai seorang pelajar agama yang telah diberikan hidayah oleh Allah s.w.t untuk memakai pakaian yang lebih baik tidak seharusnya merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain yang juga menutup aurat, disebabkan mereka tidak memakai jubah, tudung labuh, purdah, serban, kopiah dan lain-lain pakaian yang melambangkan "orang agama". Perlu diingati, sesungguhnya Allah s.w.t tidak menilai seseorang itu berdasarkan rupa, harta mahupun pakaiannya. Ianya telah dijelaskan oleh nabi Muhammad s.a.w di dalam sebuah hadis:


(إن الله لا ينظر إلى صوركم وأموالكم ولكن ينظر إلى قلوبكم وإلى أعمالكم)

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.wt tidak melihat kepada rupa paras kamu, dan tidak juga melihat kepada paras rupa dan harta kamu akan tetapi Allah s.wt melihat hati dan amalan kamu" (1)




APABILA ISU PURDAH DIJADIKAN ISU BESAR



Saya menjadi semakin musykil, apabila terdapat bisikan-bisikan kecil yang mengatakan saya telah menyalahgunakan tazkirah, kerana tazkirah yang saya sampaikan pada hari tersebut adalah bertujuan untuk mengkritik akhawat yang memakai niqob (purdah). Dalam banyak-banyak contoh yang saya bewakan kenapa hanya contoh yang berkaitan dengan akhawat yang memakai purdah yang disebar-sebar serta dijadikan bahan pertikaian. Walaupun masih samar terhadap satu masalah melibatkan akhawat memakai niqob yang berlaku ketika berlangsungnya bazar Pahang , tapi saya yakin oleh kerana itulah sebahagian daripada akhawat memandang negatif terhadap subtopik yang cuba saya ketengahkan. Seolah-olah saya menjadikan tazkirah tersebut untuk menyerang peribadi seorang wanita yang memakai purdah, saya katakan ianya bukanlah satu serangan terhadap peribadi seseorang individu tapi ianya merupakan satu serangan untuk meroboh dan meranapkan tembok-tembok keegoan penuntut-penuntut ilmu Allah yang merasakan diri mereka sentiasa benar dan tidak pernah melakukan apa-apa kesilapan yang perlu diperbetulkan.



Sebagai seorang pemburu ilmu dan keredaan Allah s.w.t, kita semestinya memandang positif kepada setiap teguran yang diberikan kepada kita dan mengambil seberapa banyak mungkin pengajaran serta hikmah daripada teguran tersebut. Saya teringat nasihat seorang jemaah tabligh kepada saya, susunan kalamnya yang cantik dan menyentuh jiwa telah meranapkan keegoan diri saya. Nasihat tersebut membuatkan saya semakin menghormati jemaah tabligh, dia berkata: " Kita apabila bertemu dengan seseorang yang didalam dirinya terdapat sembilan ratus sembilan puluh sembilan kejahatan dan satu kebaikan maka kita perlu memandang kepada satu kebaikan orang tersebut, akan tetapi ketika kita menilai diri kita sendiri sekiranya kita dapati di dalam diri kita terdapat sembilan ratus sembilan puluh sembilan kebaikan dan satu kejahatan maka kita perlu memandang kejahatan yang ada dalam diri kita".



JAWAPAN KEPADA TUDUHAN



Persoalannya, mengapa kalam saya dipolitikkan dalam perselisihan yang dihadapi oleh pihak tersebut sedangkan saya langsung tidak ada kena mengena dalam permasalahan tersebut. Saya tidak dapat apa-apa keuntungan sekiranya saya menyalahgunakan tazkirah untuk memenangkan mana-mana pihak, jesteru itu, atas dasar apakah saya dituduh menyalahgunakan ruang tazkirah yang telah diberikan kepada saya? Atau pihak tersebut merasakan sebahagian topik dalam tazkirah itu telah membuktikan mereka bersalah dalam isu tersebut? Jawapannya ada pada diri anda…



Subtopik yang cuba saya kupas itu bukanlah semata-mata ditujukan kepada akhawat yang memakai purdah, bahkan ianya ditujukan kepada semua pelajar agama. Apa yang cuba saya ketengahkan dalam tazkirah tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan agar kita semua menyedari kesalahan-kesalahan yang pernah kita lakukan serta memperbaikinya agar kita menjadi manusia yang senantiasa ikhlas melaksanakan ibadah sebagai seorang hamba yang sentiasa tunduk kepada penciptanya.



Lafaz yang saya gunakan ketika menyampai tazkirah tersebut adalah umum, saya bukan sahaja menyebut wanita memakai purdah, bahkan wanita yang bertudung labuh, lelaki yang berkopiah dan beserban turut saya disebutkan . Pemakaian purdah,tudung labuh, kopiah, serban dan lain-lain adalah sia-sia seandainya dipakai bukan kerana Allah . Seandainya terdapat sebesar zahrah perasaan dalam hati kita yang merasakan pemakaian tersebut membuatkan kita lebih mulia daripada orang lain maka bertukarlah pahala yang sepatutnya kita dapat menjadi dosa.



Sungguhpun begitu, intipati tazkirah tersebut bukanlah bertujuan untuk menggesa sahabat-sahabat kita meninggalkan pemakaian yang melambangkan "orang agama" seperti pemakaian kopiah,purdah dan lain-lain Hanyasanya, saya menyeru kepada sahabat-sahabat, supaya tidak merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain disebabkan pemakaian dan amalan-amalan kita kerana perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang menterjemahkan sikap ujub, sikap tersebut jelas dilarang oleh Allah s.w.t. Kita sebagai pelajar agama sewajarnya memakai pakaian-pakaian yang beridentitikan diri seorang ustaz atau ustazah agar orang awam dapat mengenal kepada siapakah mereka perlu rujuk sekiranya mereka menghadapi masalah dan secara tak langsung pemakaian kita menjadi contoh serta ikutan mereka. Galakkan kepada pelajar agama supaya memakai pakaian yang beridentitikan "orang agama" telah diungkapkan oleh Imam Abu Hanifah yang telah dicatitkan di dalam kitab" Ta'limu ta'lim Toriqu ta'lim" ketika beliau memberi nasihat kepada sahabat-sahabatnya, beliau menyuruh sahabat-sahabatnya supaya menebalkan serban-serban mereka. Secara jujurnya, saya lebih selesa dan suka melihat akhawat-akhawat kita bertudung labuh dan memakai purdah, seandainya saya diberi pilihan untuk memilih isteri, sudah pasti saya akan memilih bakal isteri yang memakai tudung labuh atau purdah. Kalaulah kalam saya itu bertujuan untuk menyuruh akhawat-akhawat kita meninggalkan pemakaian purdah maka apakah ertinya penentangan saya dan beberapa sahabat yang lain terhadap larangan pemakaian purdah oleh Encik Razak di rumah Pahang suatu ketika dahulu?




KONKLUSI PERBINCANGAN



Konklusinya bagi menyelesaikan permasalahan ini bukan pemakaian kita yang beridentitikan "orang agama" perlu diubah, akan tetapi sikap kita yang merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain yang perlu diubah. Selagimana kita merasakan diri kita lebih baik daripada orang lain maka selagi itulah kita tidak berjaya menterjemahkan sikap zuhud di dalam kehidupan kita. Buat akhirnya sebelum mengakhiri coretan ini saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf seandainya kelancangan lidah saya atau kekasaran penulisan ini mengguris hati para sahabat sekalian. Saya mengharapkan teguran yang membina dan pembetulan sekiranya terdapat kekasaran atau kesalahan dalam artikel ini. Saya akhiri coretan ini dengan sebahagian harapan yang telah saya ungkapkan ketika mengakhiri tazkirah tersebut: "Barangkali apa yang ana sampaikan pada hari ini banyak yang salah, maka perbetulkanlah kesalahan tersebut. Sungguhpun begitu, ana yakin walaupun banyak kesalahanyang dilakukan, pasti ada sedikit kebaikan, maka jadikanlah kebaikan itu sebagai pedoman dan panduan hidup anda"



Wallahua'lam


Rujukan:


1- Sohih Muslim (2564)


5.59am 27/07/2008


Syari' Madrob, Mansurah


Mesir.

1 comment:

sunshine =) said...

assalamualaikum admin..
ana ingin bertanya..
apakah wajib seseorang itu memakai purdah jika wanita tersebut menjadi fitnah dari kalangan lelaki pada suatu ketika kerana wanita ini dianggap cantik @ comel ?atau adakah cara lain bagi wanita itu daripada terhindar daripada fitnah semula?

Related Posts with Thumbnails