Friday, July 4, 2008

HUKUM PEREMPUAN HAID MEMBACA AL-QURAN


Perbincangan ini pada hakikatnya terbahagi kepada dua bahagian, pertama: hukum perempuan yang haid menyentuh al-quran. Kedua: hukum perempuan yang haid membaca al-quran.



Hukum Menyentuh AL-Quran


1- Empat mazhab: Maliki, Hanafi, Syafie, Hambali telah bersepakat tidak boleh menyentuh al-quran melainkan dalam keadaan berwudu’ sahaja.


2- Mazhab Zohiri : “ Harus (hukumnya) menyentuh Al-Quran dalam keadaan tidak berwudu”.



Doktor Ali Jumaa’h didalam kitabnya Fatawa Asriah telah mengeluarkan fatwa berhubung perkara tersebut dengan berkata: “ Sesungguhnya aku tak nak manusia terputus daripada membaca dan melazimi Al-Quran. Seandainya seseorang itu mempunyai kemampuan untuk berwudu’ , menyentuh Al-Quran (dalam keadaan berwudu’), dan mampu keluar daripada khilaf, maka dia akan memperolehi ganjaran pahala yang besar, adapun seandanya engkau dapati dirimu tidak membaca Al-Quran selama beberapa hari disebabkan kau tidak menjaga wudu’mu maka dalam keadaan ini membaca Al-Quran lebih aula (baik). Seandainya situasi sebegini berlaku maka sentuhlah dan bacalah al-quran dalam keadaan kau tidak berwudu’, dan janganlah kau hentikan kebiasaanmu dalam membaca al-quran selagi mana wujudnya khilaf, aku harapkan manusia tidak meninggalkan Al-Quran”1



Oleh kerana itu barangsiapa yang menghadapi masalah tersebut, ikutlah apa yang telah diharuskan. Secara ringkasnya Imam empat mazhab telah berpendapat tidak boleh menyentuh Al-Quran melainkan dalam keadaan berwudu’, manakala Imam Ibnu Hazmi pula berpendapat wudu’ bukan satu keperluan yang membolehkan seseorang menyentuh Al-Quran.



Seandainya kita mampu untuk berwudu’, maka itu adalah yang terbaik bagi diri kita. Sebaliknya, sekiranya kita tidak mampu untuk berwudu’, maka membaca Al-Quran adalah lebih baik dengan mengikut pendapat mazhab Az-Zohiriah yang mengharuskan seseorang membaca dan menyentuh Al-Quran dalam keadaan tidak berwudu’.




Hukum Membaca Al-Quran


Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w membaca Al-Quran dalam semua keadaan melainkan ketika dia dalam keadaan berjunub(selepas bersetubuh dan belum mandi wajib) sepertimana dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Ali dia berkata:



كان رسول الله يقرؤنا القرآن على كل حال ما لم يكن جنبا)

)



Maksudnya: “ Rasulullah membacakan Al-Quran kepada kami dalam semua keadaan, melainkan dalam keadaan berjunub2



Berdasarkan hadis tersebut, haid dan nifas termasuk dalam junub. ulama-ulama telah mengeluarkan beberapa hukum berdasarkan hadis tersebut:-


1- Imam empat mazhab (Maliki, Hanafi, Syafie, Hanbali): Haram hukumnya menyentuh Al-Quran jika seseorang itu berada dalam keadaan berjunub.


2- Imam Malik: Disini terdapat perbezaan diantara orang yang berjunub dan perempuan yang haid dalam satu aspek, disamping tiada apa-apa perbezaan diantara keduanya dalam hukum diharamkan solat, kedua-duanya dilarang menunaikan solat. Sungguhpun begitu, orang yang berjunub boleh terus mandi wajib tanpa menunggu tempoh waktu tertentu untuk menghilangkan hadas besar tersebut. Manakala perempuan yang haid pula, perlu menunggu sehingga dia berada dalam keadaan suci, kemudian barulah dia boleh mandi wajib untuk menghilangkan hadas besar tersebut. Oleh yang demikian, Imam Maliki telah berpendapat: "Sesungguhnya perempuan yang haid, seandainya dia takut hilang hafalan Al-Qurannya, maka dia dibenarkan membaca Al-Quran, dan perempuan tersebut dalam keadaan ini tidak dianggap membaca Al-Quran dengan tujuan beribadah tapi dengan tujuan belajar.



Oleh yang demikian, Imam emat mazhab telah bersepakat sesungguhnya tidah harus bagi seseorang membaca Al-Quran tanpa wudu' dan tidak boleh seseorang wanita membaca al-quran untuk tujuan beribadah ketika dia dalam keadaan haid, bahkan dia boleh beribadah dengan cara yang lain seperti berzikir.



Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, nabi telah bersabda yang mafhumnya:" Sesungguhnya orang mu'min itu bukanlah najis"3. Oleh kerana itu, perempuan yang berada dalam keadaan haid bukanlah najis, adapun haid tersebut hanyalah penghalang yang menghalang wanita tersebut daripada membaca Al-Quran dan melakukan beberapa ibadah yang lain.



Sepertimana disyaratkan kepada seseorang yang sedang tawaf supaya sentiasa berada dalam keadaan wudhu', begitu jugalah disyaratkan kepada kepada kita supaya berada dalam keadaan yang bersih ketika kita membaca Al-Quran.



Konklusinya, seseorang perempuan yang berada dalam keadaan haid tidak sesekali dibenarkan membaca atau memegang Al-Quran melainkan dalam satu keadaan iaitu ketika perempuan tersebut takut lupa hafalannya (mengikut mazhab Maliki )4 seandainya dia keluar daripada khilaf dan meningglkan perkara tersebut maka ianya adalah lebih baik.



Perlu diingat, belajar yang dimaksudkan diatas bukanlah bermaksud pembelajaran yang baru kerana seandainya pembelajaran baru, ulama-ulama empat mazhab melarangnya. akan tetapi yang dimaksudkan dengan belajar adalah pengulangan hafalan Al-Quran kerana dikhuatiri lupa hafalan tersebut. Wallhua'lam



1.24am 1/07/2008

Syari' Madrob, Mansurah

Mesir.

Rujukan:

1- Al-bayan 1/7(Dr Ali Jumaa’h)


2- Sunan Tirmizi 146 (Hadis Sohih)


3- Musnad Ahmad 5/278


4- Bidayatul Ijtihad 1/30

No comments:

Related Posts with Thumbnails