Friday, July 25, 2008

GELARAN SAIDINA KETIKA BERIBADAH



Ulama' berselisih pendapat dalam menentukan hukum menggunakan gelaran saidina kepada Nabi Muhammad s.a.w ketika beribadah seperti ketika solat, azan dan lain-lain. Telah tercatit didalam kitab-kitab feqh tentang pendapat yang mengatakan sunat hukumnya menggelar Nabi Muhammad s.a.w dengan gelaran saidina, diantaranya ialah:

HANAFI

Sheikh Muhammad Ala-ud-din Haskafi didalam kitabnya Darul Mukhtar menyatakan: "Sunat (menggelar nabi dengan gelaran) Saidina kerana menambahkan pengkhabaran tersebut merupakan salah satu daripada bentuk akhlak yang mulia maka menyebutnya adalah lebih baik daripada meninggalkannya sepertimana yang dikatakan oleh Imam Ramli dan Imam Al- Syafie. Adapun hadis yang menyatakan: "Janganlah kamu menggelar ku dengan gelaran said" adalah satu pembohongan." 1

MALIKI

1. Al-Nafrowi telah berkata: "Sesungguhnya perkara tersebut (saidina) merupakan sebahagian daripada adab, dan menjaga adab lebih baik daripada mengikut arahan" 2

2. Syeikh Al-Hitob telah berkata: "Ibnu Maflah Al-Hanbali telah berkata tentang perkara tersebut, dan dia telah menghikayatkan sebuah riwayat daripada Syeikh Izudin bin Abdul Salam telah berkata sesungguhnya menyebut saidina di dalam solat terdapat khilaf, sama ada perlu mengikut arahan yang ada di dalam hadis ataupun menjaga adab yang mulia. Maka aku berpendapat, dan ianya dilakukan oleh diriku, aku lakukannya di dalam solat dan dalam ibadah-ibadah yang lain dengan mendatangkan lafaz saidina. Wallahua'alam" 3

SYAFIE

1. Telah berkata Al-Syafie Al-Soghir Al-A'lamah Syamsudin Al-Ramli: " Lebih Afdol(baik) Mendatangkan gelararas saidina sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Zohirah" beliau menyambung: "Ini adalah disebabkan meletakkan gelaran saidina menambahkan khabar(berita) terhadap hakikat (Nabi sebagai penghulu), maka disebut gelaran saidina adalah lebih baik daripada ditinggalkan gelaran tersebut . Adapaun hadis yang mengatakan: " Janganlah gelarku dengan gelaran saidina" adalah hadis yang batil." 4

2. Telah berkata Imam Syaukani: " Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abdul Salam dia telah menjadikan perkara ini satu perbincangan di dalam bab adab. Dan dia dia mengatakan melalui jalan adab adalah lebih disukai daripada mengikut ( arahan zohir hadis ) dan dia menguatkan kenyataannya dengan sebuah hadis : "Saidina Abu Bakar r.a ketika mana dia disuruh oleh Rasulullah untuk tetap pada tempatnya dia tidak mengikut arahan tersebut seraya berkata: "Tidaklah anak kepada Abu Kohafah mendahului Rasulullah s.a.w. Begitu juga keengganan Saidina Ali r.a untuk dibuang gelaran nabi didalam perjanjian Hudaibiyah setelah Rasulullah menyuruh perkara tersebut, dan dia berkata: "Aku tidak akan buang nama kau selama-lamanya, dan kedua-dua hadis tersebut adalah sohih maka Rasulullah s.a.w telah taqrir (tidak menyatakan suruhan atau larangan) didalam kedua-dua hadis tersebut tentang keengganan mematuhi suruhan kerana ingin menjaga adab ( kepada nabi). 5

Konklusi Perbincangan

Daripada perbincangan diatas kita mengetahui, terdapat ramai ulama' yang menggalakkan digunakan gelaran "saidina" sebelum nama baginda s.a.w. sama ada di dalam solat, azan atau di dalam ibadah-ibadah yang lain diantara fuqaha' yang membenarkan perkara tersebut ialah :

Mazhab Syafie: Ibnu Salam, Al-Ramli, Al-Qalyubi, Al-Syarqawi

Mazhab Hanafi: Al-Haskafi, Ibnu A'bidin

Mazhab Maliki: Al-Nafrowi, Syeikh Al-Khitab

Mazhab Hambali: Ibnu Maflah

Sungguhpun begitu, tidak ada khilaf keharusan meletakkan gelaran saidina sebelum nama baginda s.a.w diluar solat. Ianya adalah Ijma' maka tidak diambil kita pandangan-pandangan yang batil yang bertentangan dengan Ijma'. Pendapat batil tersebut telah ditolak dengan pelbagai dalil. Maka seharusnya kita memilih pendapat yang membenarkan gelaran tersebut supaya kita senantiasa menjaga adab terhadap junjungan besar Saidina Muhammad s.a.w

Wallahua'lam.

3:02pm 12/7/2008

Syari' Madrob, Mansurah

Mesir.

Rujukan:

1- Al-Darul Mukhtar 1/513 (Al-Haskafi)

2- Al-Bayan 262 (Dr. Ali Juma'h)

3- Mawahibul Jalil 1/21(Al-Hitob)

4- Tuhfatul Muhtaj 2/86 (Al-Ramli)

5- Nailul Autor 2/337-338 (Al-Syaukani)

No comments:

Related Posts with Thumbnails