Saturday, July 12, 2008

GELARAN SAIDINA PADA RASULULLAH GALAKKAN ATAU TEGAHAN



Teguran daripada Seorang Pelajar Arab

Sedikit cerita untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat, pada suatu hari saya telah ditegur oleh seorang sahabat berbangsa arab disebabkan saya memanggil seorang sahabat saya dengan gelaran maulana (penolong kami) , sahabat arab tersebut bernama hasif. Dia menegur saya: "Wahai Saifulbahry, gelaran maulana (dan lain-lain seperti saidina(penghulu kami) hanyalah layak untuk Allah."

Sebaik menerima teguran tersebut, tergiang-giang di benak pemikiran saya satu tajuk "Al-Hakikah Wal Majazul A'qliyan" yang telah dipelajari didalam sebuah kitab Balghah "Bughyatul Idhah" awal sem yang lepas, oleh kerana Hasif juga seperti saya pelajar jurusan am jabatan Lughah(bahasa) saya rasa lebih selesa menjawab teguran dia dengan menggunakan kitab yang kami pelajari itu.

Setelah mengingati perbahasan dalam tajuk tersebut dengan baik, saya menjawab teguran tersebut, " Hasif, gelaran maulana yang aku ungkapkan tadi adalah majazi (bukan hakikat), bukan hakiki (kerana yang hakiki itu hanyalah untuk Allah)". Hasif membalas jawapan saya dengan nada suara yang lembut dan seolah-olah malu kerana dia menegur sesuatu yang tidak sepatutnya ditegur oleh seorang pelajar jurusan Bahasa Arab, "Erm betul apa yang kau cakap tu, itu hanyalah majazi, gelaran yang hakiki hanyalah layak untuk Allah"

Alhamdulillah syukur kepada Allah, Hasif dapat menerima hujah saya tanpa perlu diulas panjang hujah tersebut, sememangnya, seorang pelajar yang betul-betul mendalami Ilmu Lughah(bahasa Arab) dan mempelajari Ilmu Balaghah akan menerima hujah tersebut tanpa rasa was-was kerana tajuk tersebut merupakan salah satu asas yang terpenting dalam mempelajari ilmu tersebut, terdetik di dalam hati saya satu harapan "kan bagus kalau semua orang mendalami bahasa arab, tentu tak wujud perbalahan disebabkan perkara kecil tersebut". Seandainya Hasif bukan dari jabatan Lughah (bahasa) tentu dia susah menerima hujah tersebut dan akan meminta saya membahasakannya secara panjang lebar, bukan mudah nak buat orang Mesir yang terkenal dengan sifat suka berdebat dan berbahas percaya dengan hujah-hujah daripada pelajar Malaysia, lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan agama, kerana sebahagian daripada mereka merasakan kami seperti muallaf yang baru mengenal Islam. Pernah sekali seorang arab mengkritik perbuatan menjilat jari, saya mengatakan itu merupakan sunnah nabi dan termaktub dalam hadis-hadis yang sohih, dia tidak mempercayainya sehinggalah saya tujukkan hadis yang berkaitan perbuatan tersebut di dalam kitab "Riyadus Solihin"

Berbalik kepada tajuk yang kita perbincangkan, gelaran saidina, maulana dan lain-lain yang diberikan kepada manusia hanyalah majazi bukan hakiki sepertimana yang termaktub dalam kitab "Bugyatul Idhah" karangan Abdul Mu'tal As-soi'di dan kitab-kitab Balaghah yang lain. bukan sekadar gelaran, bahkan segala perbuatan, pujian dan lain-lain pada hakikatnya adalah perbutan Allah, seandainya ianya disandarkan kepada manusia ianya hanyalah majazi dan bukan hakiki sebagai contoh seandainya seseorang berkata: "Aku telah berjaya menyelamatkan wanita tersebut daripada diculik", secara majazinya, lelaki itulah yang menyelamatkan wanita tersebut daripada diculik, tapi pada hakikatnya, Allahlah yang menyelamatkan perempuan tersebut daripada diculik, kerana tanpa bantuan daripada Allah sudah pasti perempuan tersebut tidak dapat diselamatkan. Begitulah pemahaman yang harus ditanamkan didalam jiwa setiap muslim. Seandainya setiap orang Islam berjaya memahami perkara tersebut dengan pemahaman yang sebenar, sudah pasti tidak akan wujud sifat riya' dan ujub didalam hati mereka kerana mereka percaya segala kejayaan yang mereka kecapi pada hakikatnya bukanlah hasil daripada usaha mereka semata-mata, sebaliknya ianya merupakan rahmat dan kurniaan daripada Allah.

Nabi Muhammad Makhluk Paling Mulia

Saidina Muhammad s.a.w adalah manusia yang paling mulia di muka bumi Allah ini. Bukan sekadar itu, bahkan baginda merupakan makhluk yang paling mulia di sisi Allah. Beliau telah bersabda dalam sebuah hadis Sohih:

( أنا سيد ولد آدم ولا فخر)

Maksudnya: "Aku adalah penghulu kepada anak Adam namun langsung tidak pernah berbangga"1

Oleh yang demikian, menjadi satu kewajipan kepada para nabi, manusia dan sekalian makhluk Allah agar sentiasa memuji baginda dengan pujian-pujian yang baik disebabkan kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada baginda. Keperibadian baginda merupakan keperibadian yang terbaik dan nasab keturunan baginda juga merupakan nasab keturunan yang terbaik. Allah s.w.t telah memuji keperibadian baginda yang terpuji dan nasabnya yang mulia.

Firman Allah:

(وتقبلك في الساجدين)

Maksudnya: "Dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu2 diantara orang-orang yang sujud" 2

Hadis:

عن ابن عبس رضي الله عنه في قوله تعالى: (وتقبلك في الساجدين) قال: ( أي في أصلاب الآباء آدم ونوح وابراهيم حتى أخرجه نبيا )

Maksudnya: "Daripada Ibnu A'bas r.a firman Allah: " Dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu2 diantara orang-orang yang sujud". Dia telah mengulas ayat tersebut: "(orang-orang yang sujud) ialah daripada asal-usul keturunan Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim sehinggalah terhasil daripada keturunannya para nabi" 3

Sesungguhnya nasab bagi para nabi adalah daripada nasab kaumnya, sepertimana yang telah dikhabarkan oleh baginda didalam sebuah hadis sohih:

(ان لله اصطفى من ولد ابراهيم اسماعيل, واصطفى من ولد اسماعيل بني كنانة, واصطفى من بني كنانة قريشا, واصطفى من بني قريش بني هاشم, واصطفاني من بني هاشم)

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih daripada anak-anak Ibrahim Ismail, dan memilih daripada anak-anak Ismail Bani Kinanah, dan telah memilih daripada bani Kinanah (Bani) Quraisy, dan telah memilih dari (Bani) Quraisy Bani Hasyim dan (Allah) telah memilihku daripada Bani Hasyim" 4

Ijma' Ulama'

Ulama'-ulama' telah bersepakat ketetapan gelaran saidina kepada baginda Rasulullah s.a.w 5. Telah berkata As-Syarqawi : Maka lafaz (saidina) telah diketahui untuknya (saidina Muhammad), adapun sebahagian manusia yang melarang perkara tersebut berpegang pada zohir hadis-hadis yang diragui bertentangan dengan hukum ini maka tidaklah diambil kira (pendapat mereka) 5

Hadis yang Melarang Gelaran Saidina

Daipada Matraf dia telah berkata: "Daripada ayahku telah berkata": Aku telah pergi bersama-sama rombongan Bani Amir menemuai Rasulullah s.a.w maka kami berkata: "Engkaulah Saidina", maka beginda telah bersabda:"As-said adalah Allah tabaraka wata'la. Kami berkata: " Engkau itu adalah orang yang paling utama kata-katanya dari kalangan mereka dan paling agung kedudukanmu. Maka Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam menyatakan: “hendaknya kalian menyatakan tentang aku seperti yang dikatakan oleh Allah (yakni sebagaimana Allah menggelarbeliau, iaitu Nabiyullah dan Rasulullah) dan jangan sampai syaitan menyeret dia kepada tipu dayanya" 6

Penerangan Ulama' Terhadap Hadis Tersebut

Kefahaman terhadap hadis-hadis tersebut sepertimana yang telah diungkapkan oleh para ulama'.

1- Ibnu Maflah di dalam kitab "Al-Adabus Syari'yah wal Manhul Mari'yah": "(kalimah) As-Said membawa maksud tuhan, raja, orang yang mulia, orang yang adil, orang yang menanggung kesengsaraan kaumnya, suami, ketua, dan orang yang kehadapan." Maka tidak dinafikan lagi, sesungguhnya Nabi Muhammad termasuk didalam sebahagian besar daripada makna-makna kalimah tersebut. 7

2- Abu Mansur: " Nabi s.a.w tidak suka orang memuji-mujinya dihadapannya dan dia suka tawaddu' semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah s.a.w.

3- Ibnu Athir didalam kitabnya Al-Nihayah: "Dialah (Nabi Muhammad yang berhak mendapat gelaran Saidina, seolah-olah dia tidak suka orang memujinya dihadapannya, dan baginda suka bersifat tawaddu'. Terdapat hadis yang mana apabila sahabat berkata: "Engkaulah saidina (penghulu kami) maka nabi bersabda: "Katakanlah dengan perkataan kamu", iaitu panggillah aku dengan panggilan nabi dan rasul seperti mana Allah memanggilku, dan janganlah kamu gelarku dengan gelaran saidina maka sesungguhnya aku bukan seperti salah seorang daripada kamu yang menjadi penghulu disebabkan dunia."

Dalil yang Membenarkan Gelaran Saidina

Sepertimana terdapat hadis-hadis yang menceritakan tentang hakikat gelaran saidina hanyalh untuk Allah, maka kita akan dapati tiada said secara hakikinya melainkan Allah, sekiranya kita sandarkan kepada selain daripada Allah maka ianya hanyalah majazi (pinjaman) sifat Allah. Sebagai contoh jika kita kata kepada seseorang: "Kau ni pemurahlah", maka sifat pemurah itu asalnya adalah sifat Allah. Berikut merupakan dalil-dalil dibenarkan mengelar Rasul dengan gelaran "saidina":

  1. Allah s.w.t menggelar Nabi Yahya a.s. dengan gelaran "said" didalam Al-Quran, Firman Allah:

( فَنَادَتْهُ الْمَلآئِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَـى مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِّنَ الصَّالِحِينَ )

Maksudnya: Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan salat di mihrab (katanya): "Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang putramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, said (penghulu yang menjadi ikutan), menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang saleh." 8

  1. Kita dapat lihat Nabi Muhammad s.a.w sendiri menggunakan gelaran "said" kepada selain daripada Allah iaitu kepada sahabat baginda, Sabda Nabi s.a.w ketika berkata kepada kaum Ansar:

( قوموا الى سيدكم)

Maksudnya: "Bangunlah (hormati) penghulu kamu" 9

  1. Nabi menggelar diri baginda dengan gelaran saidina:

( أنا سيد ولد آدم ولا فخر)

Maksudnya: "Aku adalah penghulu kepada anak Adam namun langsung tidak pernah berbangga" 10

  1. Ulama' bersepakat ketetapan gelaran saidina kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. sepertimana yang telah dikatakan oleh Al-Syaqawi:

"Lafaz saidina telah diketehui adalah (gelaran) untuk baginda, adapun mereka yang mengingkarinya adalah mereka yang memegang kepada zohir hadis, diragui pertentangan mereka terhadap hukum ini, maka pendapat mereka tidak diambil kira." Oleh kerana pendapat golongan tersebut bertentangan dengan ijma' maka pendapat mereka tertolak. 11

Bersambung…….

1.24am 1/07/2008

Syari' Madrob, Mansurah

Mesir.

Rujukan:

1- Musnad Ahmad 1/4

2- Al-Syua'ra' 26/219

3- Tafsir Al-Qurtubi 13/144

4- Musnad Ahmad 4/165

5- Al-Bayan 260 (Dr Ali Juma'h)

6- Musnad Ahmad 4/24. Mustadrak 2/213 (Al-Hakim)

7- Al-Adabus Syari'yah wal Manhul Mari'yah 3/456 ( Ibnu Maflah)

8- Ali Imran 3/39

9- Sohih Bukhari 4/900

10- Musnad Ahmad 1/4

11- Al-Bayan 260 (Dr Ali Juma'h)

Related Posts with Thumbnails