Saturday, December 18, 2010

Madrasah Arabiah Kluang- Medan Tarbiyyah ku


 Sejarah Ringkas


Nama asalnya ialah Madrasah Arabiah Persekutuan Melayu Kluang. Madrasah ini diasaskan pada 8 Mei 1946 iaitu semasa pemerintahan Tentera British (BMA). Atas dorongan  perasaan insaf beberapa orang  terkemuka di daerah Kluang ketika itu mendesak untuk menubuhkan madrasah ini sebagai satu wadah  untuk menyedarkan masyarakat peri pentingnya pendidikan agama terutama kepada golongan muda mudi yang semakin runtuh iman dan akhlak mereka.

Salah seorang tokoh yang terlibat ialah Almarhum Tuan Guru Haji Mohd Lazim bin Saim, Allahyarham Datuk Hj Ismail bin Hj Hassan iaitu bekas Ahli Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Johor. Allahyarham Tuan Hj Ahmad bin Hj Md Taib merupakan Imam Masjid Jamek Bandar Kluang, Allahyarham Yang Berhormat Datuk Kapten Ahmad bin Mohamad Don, Pegawai Mergastura Negeri Johor, Tuan Hj Talib bin Abd. Rahman, Guru Besar Sekolah Agama Bandar Kluang serta beberapa orang lagi.

Kekuatan dan keutuhan madrasah ini terletak kepada pucuk kepimpinannya iaitu Almarhum Tuan Guru Ustaz Haji Mohd Lazim bin Haji Saim selaku Mudir yang pertama madrasah ini, juga merupakan tokoh ulama` Negeri Johor yang disegani di kalangan tokoh ilmuan dan dihormati oleh segenap masyarakat ketika itu.

Kesungguhan Tuan Guru menyampaikan ilmu sangat dikagumi walau pun pada peringkat awal madrasah ini dibuka, bilangan hanyalah 13 orang iaitu lelaki 11 dan perempuan. Berbagai halangan dan rintangan yang berlaku beliau tetap teguh mempertahankan madrasah ini dengan kaedah pendidikan berteras ilmu Al-Quran walaupun telah wujudnya system pendidikan moden di negara  ini. Nilai perjuangan dalam dirinya menjadi teras kepada perjuangan anak didiknya, pendidikan dalam ilmu Al-Quran merupakan wadah ilmu yang menjadi teras dalam terma pendidikan setiap dari mereka buktinya ramai tokoh agama dan ilmuan dilahirkan oleh madrasah ini yang berkhidmat di seluruh Malaysia dan di luar negara.

Sejarah terpatri apabila pada 29 Mei 1955 dengan rasminya Persekutuan Melayu Kluang dan Jemaah Tadbir Madrasah bersetuju menukar nama madrasah ini kepada ‘MADRASAH ARABIAH KLUANG’.

Tuan Guru juga pernah mendapat pengiktirafan dengan perlantikan sebagai Mufti Negara Brunei Darussalam pada sekitar tahun 70-an, namun demi memastikan madrasah ini kekal dengan halatujunya, beliau sanggup menolak perlantikan tersebut tanpa memandang pada ganjaran lumayan yang ditawarkan.

Selain itu beliau juga merupakan tokoh ulama` dan pencetus kepada pembangunan nilai-nilai pendidikan berteras islamiah di seluruh Negeri Johor. Diantara cetusan idea sehingga wujudnya MAAHAD JOHOR dan Sekolah Menengah Agama kerajaan Johor (SMAKJ) yang pertama-tamanya di Malaysia. Selang beberapa tahun ditubuhkan madrasah ini mendapat perhatian masyarakat dari luar Johor antaranya Negeri Sembilan, Melaka, Singapura dan Brunei. Pada tahun 1969, mata pelajaran akademik mula diserapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pengabdian dan pengorbanan Almarhum Tuan Guru Ustaz Haji Mohd Lazim terhadap pembangunan Madrasah Arabiah Kluang ini berterusan hingga akhir hayat pada 5hb Januari 1990. Semoga Allah swt mencucuri RahmaNya ke atas roh beliau dan di tempatkan bersama golongan mukmin yang di kasihi olehNya, Amin…Al-Fatihah.

Tokoh-tokoh ilmuan..

Diantara tokoh-tokoh ilmuan islam yang dilahirkan oleh Madrasah Arabiah Kluang Al-Fadhil Ust Kamal bin Said (Pengetua Madrasah Arabiah Kluang) Al-Fadhil Ust Dr. Haji Jahid Haji Sidik Al-Kholidi (Ahli Majlis Turuq Sofiah Jabatan Negeri Sembilan& bekas pensyarah UM)

Moga2 MAK akan terus gemilang...

1 comment:

Cg Azhan said...

Tuan, mohon ambil sedikit artikel tuan ttg sejarah ringkas untuk dimasukkan dalam nota online MAK

Related Posts with Thumbnails