Tuesday, June 10, 2008

ADAKAH TARIKAT DAN SOFI BERTENTANGAN DENGAN ISLAM?



PENGENALAN


Terdapat pelbagai kitab yang membincangkan tentang tarikat sofi, antara yang terawal ialah “Tobakot Al-sofiah” karangan Abu Abdul Rahman (412 hijrah) dan “Risalah Al-Qusyairiah Fi Ilmi Taswuf” karangan Abu Qasim Abdul Karim bin Hauzan Al-Qusyairi(465) hijrah.



Ilmu tasawuf merupakan satu manhaj tarbiah dalaman dan luaran yang boleh mehjadi pemangkin kepada seorang muslim untuk mncapai martabat ihsan yang telah dita’rifkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w :”melakukan ibadah seolah-olah kamu melihat Allah sekiranya kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihatmu”(Sohih Bukhari).



Tasawuf merupakan program tarbiah, yang mengutamakan permbersihan jiwa daripada segala penyakit yang merosakkannya, yang mana penyakit-penyakit tersebut menyebabkan wujudnya satu hijab (halangan) diantara seorang hamba dan tuhannya, dan menyebabkan rosaknya hubungan seseorang itu dengan tuhannya, insan-insan lain, dan makhluk-makhluk ciptaan Allah sekaliannya.



Oleh kerana itu, tarikat sofi merupakan satu madrasah yang mana madrasah tersebut membantu pengikutnya untuk membersihkan diri daripada segala kotoran jiwa dan memperbaiki akhlak yang buruk bagi membolehkan seseorang itu memenuhi hadaf (tujuan) diutuskan junjungan besar s.aw sepertimana sabda baginda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”



Sesungguhnya, sudah menjadi tabiat nafsu seseorang manusia itu diserang dan dirosakkan oleh sekolompok penyakit jiwa seperti: Riya’(melakukan sesuatu untuk tujuan menunjuk-nunjuk) Takabbur(bangga dengan kehebatan diri) ananiah (keakuan) pemarah, bakhil, dendam, suka memaksa, hasad dengki, cenderung untuk melakukan maksiat, tamak halobA dan lain-lain. Sepertimana Firman Allah Taa’la ketika menghikayatkan kisah seorang perempuan yang mulia:



وما أبرئ نفسى إن النفس لامارة بالسوء إلا ما رحم ربى إن ربى غفور رحيم



Maksudnya: “ Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh tuhanku. Sesungguhnya tuhanku maha pengampun lagi maha penyayang.”






CIRI-CIRI TARIKAT



Oleh kerana itu, golongan salaf(sebelum) kita telah menyedari kepentingan didikan jiwa dan keperluan untuk membersihkannya daripada penyakit-penyakit jiwa. Oleh kerana itu tarikat ini telah diwujudkan untuk membolehkan ulama-ulama kita bukan sahaja mampu mengubati diri mereka sendiri malah mampu mengubati jiwa-jiwa masyarakat yang semakin hari semakin parah disebabkan serangan penyakit hati yang betalu-talu. Semestinya bagi sesebuah tarikat itu mencakupi beberapa sifat utama:


1. Berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah, oleh kerana itu tidak dapat dinafikan tarikat sofiah ini merupakan manhaj(jalan) Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang menyalahi Al-Quran dan As-Sunnah ianya bukanlah tarikat sofiah bahkan ianya adalah tarikat yang ditolak dan ditegah oleh syara’.



2. Tidak dinamakan sebuah tarikat seandainya didikan yang terkandung didalamnya terpisah daripada didikan yang terkandung dalam syaria’h, bahkan tarikat itu merupakan sebutir daripada butiran-butiran mutiara yang wujud didalam didikan syaria’h.





CIRI-CIRI TASAWUF



Tasawuf juga mempunyai tiga ciri yang mana ciri-ciri tersebut digalakkan dan diseru di dalam Al-quran supaya dilakukan oleh orang-orang yang beriman:



1. Menumpukan didikan jiwa, muraqabah (merasakan diri diperhatikan Allah) dan membersihkannya daripada segala keburukan. Ini bersesuaian dengan firman Allah:



{ونفس وما سواها * فألهمها فجورها وتقواها* قد أفلح من زكاها* وقد خاب من دساها}



Maksudnya: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah ilhmkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” (As-syams 7-10)




2. Berzikir mengingati Allah sebanyak banyaknya. Firman Allah:



{يأيها الذين ءامنوا اذكروا الله ذكرا كثيرا}



Maksudnya: “Wahai orang2 yang beriman berzikirlah (ingati Allah) sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab 41)



Sabda nabi:


{لا يزال لسانك رطبا بذكر الله}



Maksudnya: “ Basahilah lidah kamu dengan zikrullah” (Sunan Ahmad dan Sohih Ibnu Hibban)




3. Zuhud dalam kehidupan di dunia, tidak mencintai dunia dan cenderung kepada kehidupan akhirat.



{وما الحياة الدنيا إلا لعب ولهو وللدار الآخرة خير للذين يتقون أفلا تعقلون}




Maksudnya: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan permainan dan senda gurauan. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa adakah kamu tidak memikirkannya?”. (Al-An’aam 32)






SEBAB WUJUDNYA PELBAGAI ALIRAN TARIKAT




Syeikh-syeikh yang membimbing anak-anak muridnya berzikir , membantu mereka dalam proses pembersihan jiwa, dan mengubati penyakit-penyakit yang wujud didalam hati-hati mereka, merupakan seorang guru dan pembimbing yang menetapkan manhaj yang tertentu yang bersesuaian untuk mengubati penyakit yang dihadapi oleh hati pesakit-pesakitnya.




Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menasihatkan setiap insan yang meminta nasihat daripada beliau dengan nasihat yang pelbagai dan bersesuaian dengan diri insane tersebut. Seorang lelaki telah datang menemui beliau dan berkata: “ Wahai Rasullullah khabarkan kepadaku sesutau yang membolehkan diriku jauh daripada kemurkaan Allah”, maka nabi berkata: “Jangan marah” (Sohih Bukhari).


Dan datang seorang yang lain dan berkata: “ Khabarkan kepadaku sesuatu yang aku boleh hidupkan amalanku dengannya, maka nabi berkata kepadanya: “Sentiasalah basahi lidahmu dengan berzikir kepada Allah”. (Musnad Ahmad, Sohih Ibnu Hibban), sebahagian daripada sahabat ada yang memperbanyakkan solat malam, sebahagian yang lain ada yang memperbanyakkan bacaan al-quran, zikir sedekah dan lain-lain.





Ini tidak bermakna pengikut tarikat perlu meninggalkan segala urusan dunia, akan tetapi seseorang pengikut tarikat hanya perlu memperbanyakkan ibadah tertentu untuk menjadi wasilah mardhiatullah( keredaan Allah). Asas perbuatan tersebut adalah berdasarkan berbilangnya pintu didalam syurga yang satu, yang menunjukkan pelbagai cara boleh digunakan untuk memasuki sesebuah syurga.



قال النبي : { "لكل أهل عمل باب من أبواب الجنة يدعون بذلك العمل ولأهل الصيام باب يدعون منه يقال له الريان"}




Sabda Nabi: “Bagi setiap pengamal (kebajikan) akan (melalui) satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang akan menyerunya kerana amal tersebut (yang dilakukannya) dan untuk ahli puasa mereka akan diseru oleh pintu yang digelar ‘Ar-Rayan’ ” (Sohih Bukhari)




Rentetan daripada kewujudan pelbagai uslub dan cara untuk memasuki syurga ilahi, maka wujudlah pelbagai jenis tarikat yang berbeza-beza amalannya, sebahagiannya menumpukan ibadah zikir, sebahagian yang lain menumpukan ibadah puasa, solat dan ibadah-ibadah lain yang seumpama dengannya. Sungguhpun begitu, walaupun berbeza-beza uslub dan amalan tapi tujuan mereka hanyalah satu untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata, yang mana dengan keredhaan itu membolehkan mereka memasuki syurga melalui salah satu daripada pintu-pintunya.



Bersambung………


5.30pm 10/06/2008


Syari' Madrob, Mansurah


Mesir. ِ


Rujukan:



1- Al-Fatawa (Dr A’tiah Saqar)


2- Al-bayan (Dr Ali Jumaa’h)


3- Tafsir Al-Quran Al-Karim


4- Dan lain-lain


No comments:

Related Posts with Thumbnails