Wednesday, June 23, 2010

Hukum puasa berturut-turut: Rejab, Sya'ban dan Ramadan





 Syeikhuna Al-Muhaddis Prof Mustafa Nadawi (kiri) 



Alhamdulillah imtihan hampir melabuhkan tirainya, tinggal satu madah lagi (doakanlah Allah permudahkan). Baru-baru ini saya dihujani pelbagai soalan tentang puasa, lebih-lebih lagi tentang hukum puasa tiga bulan berturut-turut, Rejab, Sya'ban dan Ramadhan. Hampir tiga tahun saya berniat untuk menukilkan perbahasan ulama' terhadap masalah tersebut , alhamdulillah hari ini Allah berikan kelapangan. InsyaAllah saya akan lampirkan beberapa perbahasan ulama' berkenaan permasalahan tersebut.

Sebelum kita memperbahaskan secara lanjut tentang permasalahan tersebut, elok rasanya kita perbahaskan terlebih dahulu hukum berpuasa setiap bulan tersebut.


Puasa bulan Ramadan


Hukum berpuasa sebulan di bulan Ramadan wajib fardhu ain berdasarkan Firman Allah s.w.t:

“barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu”(Al-Baqarah:185)

Dan sabda Nabi s.a.w kepada seorang A'rabi (orang kampung) yang bertanya kepada beliau: "Khabarkan kepadaku puasa apa yang Allah wajibkan keatas diriku. Maka nabi menjawab:

"Puasa di bulan Ramadan" (Sahih Bukhari: 1796)

Puasa bulan Sya'ban


Sunat hukumnya berpuasa di bulan Sya'ban. Saidatina Aisyah telah berkata:


"Aku tidak pernah melihat nabi berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'ban" (Sahih Bukhari: 1969)

Beliau juga berkata:


"Suatu ketika dahulu, Nabi berpuasa penuh di bulan Sya'ban, suatu ketika dahulu Nabi
berpuasa penuh di bulan Sya'ban melainkan sedikit" (Sahih Muslim: 1156)


*sebahagian ulama' mengatakan hadis ini menunjukkan nabi pernah puasa penuh bulan Sya'ban pada satu ketika dan puasa sebahagian daripada bulan Sya'ban pada waktu yang lain (sila rujuk kitab Makmu' Imam Nawawi jilid ke 6)

Puasa bulan Rejab


Sunat hukumnya berpuasa di bulan Rejab kerana bulan tersebut termasuk dalam empat bulan Haram. Nabi Muhammad telah bersabda ketika bapa kepada Mujibah Al-Bahiliyah meminta supaya Rasulullah menambah bilangan hari puasa sunat, baginda menjawab:

"Puasalah pada bulan haram ( Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram dan Rejab) dan
tinggalkan" (Sahih riwayat Abu Daud: 2428)

Hukum berpuasa tiga bulan berturut berkait-rapat dengan hukum siamud dahr (puasa sepanjang tahun), seandainya puasa sepanjang tahun(selain daripada hari-hari yang diharamkan puasa) dibolehkan maka puasa tiga bulan berturut-turut apatah lagi.Hakikatnya, terdapat khilaf ulama' tentang hukum berpuasa sepanjang tahun, khilaf tersebut timbul disebabkan beberapa dalil yang melarang amalan tersebut dan terdapat dalil lain yang menggalakkan amalan tersebut.

Imam Nawawi telah menaqalkan di dalam kitabnya Al-majmu' beberapa pendapat ulama' tentang hukum berpuasa sepanjang tahun:

1. Abu yusuf dan ulama'-ulama' hanafi : Makruh secara mutlak Pendapat mereka ini dikuatkan dengan sabda Nabi s.a.w ketika mendengar Abdullah bin A'mru berterusan berpuasa sunat:

"Tiada ada puasa (pahala puasa) bagi orang yang puasa sepanjang tahun"(Sahih
Bukhari: 1977)

2. Al-ghazali: Sunat


3.  Imam Syafie', Imam Baihaqi, Abu Ishak Al-syirazi dan pendapat jumhur ulama': Makruh seandainya dikhuatiri memudharatkan atau akan menghilangkan hak orang lain (seperti hak suami isteri). Seandainya tidak dikhuatiri memudharatkan dan tidak menghilangkan hak orang lain maka tidak makruh. Mereka telah berhujah dengan beberapa dalil


1. Hamzah bin A'mru telah bertanya nabi s.a.w : "Wahai Rasulullah sesungguhnya aku seorang berterusan puasa, adakah aku boleh berpuasa ketika musafir?" Maka Nabi menjawab: "Puasalah seandainya kau mahu, dan berbukalah seandainya kau mahu" (Sohih Muslim: 1222)

*Nabi tidak mengingkari perbuatan Hamzah, lebih-lebih lagi ketika bermusafir. Ini menunjukkan perbuatan tersebut dibolehkan kerana nabi tidak akan membiarkan kemungkaran dilakukan.

2.  Sabda Nabi:

 "Barangsiapa yang puasa sepanjang tahun Allah akan sempitkan keatasnya neraka..... (tidak masuk neraka)" (Baihaqi: 3/300)

3. Urwah telah meriwayatkan:

"Sesungguhnya Saidatina Aisyah berpuasa sepanjang tahun ketika musafir dan bermuqim" (Sohih riwayat Baihaqi: 3/301)

4. Anas telah berkata:

 "Abu Talha tidak berpuasa sunat ketika zaman Rasulullah kerana berperang, Setelah mana baginda wafat aku tidah pernah melihat beliau tidak berpuasa melainkan pada hari raya Fitri dan Adha" (Sohih Bukhari)

* Ada beberapa hadis yang lebih jelas tentang permasalahan ini, tapi saya tak pasti kedudukan hadis tersebut. Semalam saya cuba untuk bertanya kepada Syeikh Mustafha Nadawi tentang kedudukan hadis tersebut tapi memandangkan ramai tetamu menemui beliau, saya tangguhkan pertanyaan tersebut minggu hadapan. InsyaAllah seandainya hadis tersebut boleh dijadikan hujah saya akan lampirkan dalam artikel seterusnya.



bersambung...

 
. 7:08am 23/6/2010
MansurahMesir

Rujukan:


1.Al-Majmu' (Imam Nawawi)

2. Feqh Manhaji ( Doktor Mustafha Al-Khin dan Doktor Mustafha Bugha )
3. Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari (Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani)
4. Sunan Abu Daud

1 comment:

Helmi said...

Assalamualaikum...bole saya sohih muslim bab tentang apa? Terima kasih

Related Posts with Thumbnails