Wednesday, August 10, 2011

Sehelai warkah buat bakal pimpinan DPMM




Pendahuluan

Esok pilihanraya di Mansurah, saya tiada di sana, moga pilihanraya esok berjalan dengan bersih dan saksama, pimpinan yang dipilih merupakan pilihan Allah. Warkah ini saya nukilkan dari tanah air buat bakal pimpinan. Moga-moga memberi manfaat kepada semua.

Belajar untuk lebih terbuka dalam menerima pendapat

Waktu saya mula-mula sampai di bumi Mesir, sebahagian pendapat/cadangan yang diberikan oleh teman-teman yang baru di Mesir di tolak mentah-mentah dengan alasan "enta baru lagi kat sini banyak benda yang enta tak tahu." Menolak mentah-mentah tanpa cuba pertimbang dan perbincangkan, akan membuatkan kita semakin terkebelakang.

 Idea-idea baru dan segar diperlukan dalam sesebuah pertubuhan untuk menjadikan persatuan tersebut semakin matang. Kepelbagaian pendapat juga perlu untuk membolehkan kita mendapat keputusan yang terbaik dalam sesuatu permasalahan.

Jadikan ulama' sebagai panduan

Pemimpin-pemimpinku,

Hadirilah majlis-majlis ilmu. Dekatilah para ulama'. Betul sebahagian permasalahan boleh diselesaikan dalam mesyuarat, tapi dikhuatiri kejahilan kita dalam memberi pendapat boleh menyebabkan kita sepakat melakukan kesalahan. Jadikanlah ulama' sebagai panduan.

Cubalah pelbagaikan ilmu yang dipelajari dan guru. Teringat dulu seorang senior pernah mengarahkan supaya hanya belajar dengan ulama'-ulama' haraki. Sebahagian pimpinan dan aktivis hanyut dengan ilmu haraki dan politik, sampai lupa menuntut ilmu-ilmu yang wajib dipelajari. Bila ada ceramah-ceramah politik penuh je dewan dan dataran, bila pengajian-pengajian ilmu lain diadakan di manakah kalian?

Tidak dinafikan politik sebahagian daripada Islam tapi  ingat, Islam bukan seluruhnya politik. Ulama' perlu tahu politik tapi tak wajib bergerak aktif dalam politik. Meletakkan syarat ulama' mesti aktif dalam politik sebagai syarat berguru tidak saya dengar dari mulut para ulama' hatta ulama'2 haraki. Berapa ramaikah sahabat nabi yang haraki dan terlibat aktif dalam pimpinan?

Anda sebagai pemimpin perlu menjadi contoh yang terbaik kepada ahli. Seharusnya anda perlu menjadi orang yang paling rajin datang ke kelas dan paling rapat dengan para ulama'. InsyaAllah seandainya begitu, ahli-ahli DPMM akan menjadikan anda sebagai contoh ikutan dan mereka akan lebih dekat dengan majlis-majlis ilmu dan ulama'

Sesuaikan program dengan kemampuan dan keperluan ahli

Para pimpinanku,

Kepadatan program dan kelas-kelas yang diadakan menyebabkan sebahagian kawan-kawan kita futur dan malas. Kurangkanlah birokrasi ketika mengadakan sesebuah program. Kadang-kadang mesyuarat yang panjang, kertas kerja yang lengkap, adhock yang ramai tidak diperlukan untuk menjayakan sesebuah program. Jangan terlalu fikirkan untuk mengadakan program-program mega. Dahulukanlah program-program yang paling banyak memberi faedah kepada. ahli-ahli. Program-program kecil yang ringkas tapi banyak memberi faedah kepada ahli.

Kajian yang saya lakukan sepanjang berada di bumi Mesir, majoriti sahabat-sahabat kita kurang berminat menghadiri kelas-kelas tafaqquh mingguan. Kelas yang kerap dibatalkan disebabkan bertembung dengan program dan pengajian kitab-kitab yang jarang dihabiskan mungkin menjadi faktor utama minat berkurang. Daurah kitab-kitab turath dan moden mendapat sambutan yang baik daripada ahli. Oleh yang demikian, saya mencadangkan kita adakan daurah satu hari setiap minggu, dari pagi hingga ke petang/ petang hingga ke malam. Insyaallah minat sahabat-sahabat kita akan bertambah.

Tawaran beberapa ulama' untuk mengajar di dewan juga perlu diberikan perhatian. Keterbukaan pemerintahan Mesir pada waktu ini membolehkan kita menjemput mana-mana ulama' mengisi majlis ilmu di dewan

Ustaz-ustaz dan kakak-kakak lama

Pemimpin perlu jujur mengemukakan pandangan serta pendapat sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk "orang-orang lama". Alasan "tak boleh buat macam ni sebab orang-orang dulu tak buat"/ "Kakak-kakak suruh buat macam ni" tak perlu wujud dalam diri seorang pemimpin. Kita perlukan perubahan untuk memajukan persatuan kita.

Untuk kali ini, itu sahaja yang mampu saya sampaikan moga-moga memberi manfaat kepada semua. Seandainya wujud kekhilafan, teguran dan muhasabah daripada sahabat saya harapkan.

Ahli yang mengharap perubahan,


7:00am 11/08/2011
Kedai makanku,
Bandar Sri Permaisuri.

No comments:

Related Posts with Thumbnails