Thursday, June 9, 2011

Poligami dibenarkan hanya ketika darurat? Adakah kaya syarat untuk berpoligami?

Sekadar Gambar Hiasan

Kenyataan seorang agamawan


Artikel ini ditulis khas untuk mereka yang berniat untuk  berpoligami. Seorang agamawan di Malaysia pernah membuat kenyataan di dalam surat khabar metro, seorang lelaki tidak dibenarkan berpoligami melainkan darurat. Saya sempat meminta penjelasan Syeikh Mustafa Al-Nadawi  tentang kenyataaan tersebut ketika belajar bab nikah (Fathul Bari), ternyata kenyataan tersebut bertentangan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. 

Perkara-perkara darurat tidak boleh dilakukan melainkan ketika waktu darurat seperti dibolehkan makan daging babi ketika darurat. Adapun poligami tidak termasuk dalam perkara darurat, bagaimanakah ianya boleh dianggap sebagai perkara darurat sedangkan di dalam Al-Quran jelas Allah s.w.t mengizinkan hamba-hambanya berpoligami. Firman Allah:

“ Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. ” ( Al-Nisa’:3 )

Adakah Islam mensyaratkan berpendatan tinggi untuk berpoligami? 

Di negara kita Malaysia seorang lelaki yang berpoligami disyaratkan supaya memiliki pendapatan yang tinggi untuk mendapatkan keizinan berpoligami. Adakah jumlah pendapatan disyaratkan oleh islam? Kalaulah begitu, macammana Rasulullah boleh berpoligami sedangkan Rasulullah s.a.w bukanlah dari golongan orang yang kaya dan berpendapatan tinggi? 

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata, "Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging"

Berdasarkan hadis tersebut jelas berpendatan tinggi bukanlah syarat untuk berpoligami, Seorang lelaki boleh berpoligami walaupun berpendapatan rendah, asalkan isteri- isterinya reda dengan nafkah yang diberi. Hakikatnya bukan mudah untuk berpoligami, Islam mensyaratkan syarat yang lebih ketat untuk membolehkan seseorang berpoligami iaitu adil. Firman Allah:

“Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.”

Apakah maksud adil? Bagaimanakah seorang suami dianggap adil terhadap isteri-isterinya? Apakah tindakan yang boleh diambil oleh isteri seandainya suami tidak berlaku adil? InsyaAllah kita akan perincikan dalam artikel akan datang.

9.32pm 18-04-2011
Bait Maqabir, Mansurah,
Mesir.

2 comments:

cari kerja said...

Mohon share. Agak sukar untuk mencari perbincangan Ilmu poligami sehingga kurang pendedahan kepada orang awam, Lalu timpul kilaf atau kekurangan kefahaman di kalangan mereka.

Anonymous said...

silakan

Related Posts with Thumbnails