"Telah Tersebar permasalahan yang sangat Halus Sehingga Membawa kepada Percampuran Diantara yang Hak dan Yang Batil..."
Tuesday, October 28, 2008
“SYADID BIAR BERTEMPAT: “ANTARA REALITI DAN FANTASI”
Sambungan…
Muqaddimah
Alhamdulillah, lautan kesyukuran ku hamparkan kepada Rabbul izzati, Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang, hanya dengan keizinanNya, hamba yang hina ini dapat meneruskan kehidupan sebagai seorang penuntut ilmu di bumi anbia' ini. Kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Syukur sekali lagi kepadaNya kerana memberi keizinan kepada hambanya yang lemah ini menggunakan nikmat pancaindera yang diberikan olehNya, dengan nikmat tersebut Alhamdulillah kesinambungan artikel dalam entri lepas yang bertajuk " Syadid Biar Bertempat: "Antara Realiti dan Fantasi" telah dapat diteruskan. Selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, moga dengan berkat perjuangan dan pengorbanan baginda, kita semua akan senantiasi dilimpahi hidayah dan rahmat daripada Allah s.a.w.
Seterusnya mohon jutaan kemaafan kepada sahabat sekalian, kesibukkan di hari-hari awal pembukaan kulliah dan pentaklifkan untuk menguruskan pelajar-pelajar baru, serta beberapa pentaklifan lain telah membataskan masa saya untuk menulis.
Memandangkan semalam, 19.10.2008 dengan rasminya saya telah meletakkan jawatan yang disandang sebelum ini sebagai Timbalan Pengarah Unit Kelas Bimbingan Akademik (UKBA) Mansurah disebabkan beberapa permasalahan yang tidak dapat dielakkan, insyaAllah selepas ini saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk belajar, membaca dan menulis bahan-bahan ilmiah. Permasalahan yang menyebabkan perletakkan jawatan tersebut akan saya nukilkan dalam entri yang seterusnya, kerana pada kali ini , saya bercadang untuk menyambung perbincangan kita dalam entri yang lepas.
Sebelum ini kita telah membincangkan pendapat-pendapat yang berkaitan dengan isu syadid . Umum telah mengetahui pendapat yang menjadi pilihan saya. Untuk yang seterusnya, alangkah elok seandainya kita sama-sama mengkaji dalam situasai yang manakah yang sikap syadid diperlukan dan dalam situasi yang manakah sifat syadid perlu dinyahkan. Ketahuilah, sikap syadid itu ibarat sebutir bom, seandaikan digunakan pada tempat yang betul ianya bakal membantu kita menghapuskan seribu satu lorong kemaksiatan dan menutup pintu-pintu kemungkaran.
Akan tetapi, seandainya sikap tersebut diterjemahkan pada tempat yang salah maka ianya akan menjadi sebutir bom yg bakal memusnahkan diri pengamalnya dan membuatkan orang lari dari sesebuah jemaah kerana terluka dek disebabkan terkena serpihan bom tersebut. Sikap tersebut juga bakal memusnahkan seribu satu jalan kebaikan.
Tempat –tempat Sikap Syadid Diperlukan
Terdapat banyak tempat yang mana seandainya sikap syadid diterjemahkan pada tempatnya, ianya akan menjadi satu sifat yang dipandang mulia. Diantaranya ialah, pengaplikasian sikap tersebut terhadap perkara-perkara usul dalam syariat islam dan permasalahan-permasalahan feqh yang disepakati oleh ulama'. Sebagai contoh, dalam masalah pembayaran zakat, para ulama' telah bersepakat wajib bagi setiap orang islam yang memenuhi syarat-syarat wajib zakat, menunaikan zakat.
Sikap syadid Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a memerangi sebahagian umat islam yang enggan mengeluarkan zakat selepas kewafatan nabi s.a.w, merupakan satu sikap yang mulia. Sikap tersebut telah berjaya mengekang penularan kemaksiatan tersebut dan mengembalikan umat islam kepada ajaran yang sebenar.
Tempat-tempat sikap Syadid Perlu Dihindarkan
Disamping itu, terdapat juga sikap syadid yang harus dinyahkan dari diri kita, ini adalah disebabkan, ianya bukan sahaja bakal memudaratkan diri kita bahkan akan memudaratkan persatuan dan jemaah kita. Sikap syadid yang dimaksudkan oleh saya ialah syadid dalam perkara-perkara furu'. Sebagai contoh, kebiasaannya lelaki akan menjadi ketua kepada wanita dan wanita akan bekerja dibawah lelaki, seadainya timbul suatu ketika apabila lelaki bekerja dibawah kelolaan dan seliaan seorang wanita adakah ianya menjadi satu kesalahan??
Sebahagian daripada mereka yang tidak bersetuju lelaki bekerja dibawah seliaan dan kelolaan seorang wanita maka mereka akan menggunakan dalil:
Firman Allah:
الرجال قوَّامون على النساء
Mafhumnya: "Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita" 1
Sabda nabi"
لن يفلح قوم ولَّوْا أمرَهم امرأة
Mafhumnya: : "Tidak akan berjaya sesebuah kaum yang dipimpin oleh wanita" 2
Mereka yang menggunakan dalil ini seolah-olah tidak mahu belajar dari sejarah dan hanya mahu berpegang dengan zohir hadis dan ayat semata-mata. Hakikatnya mereka tidak memahami maksud sebenar hadis dan ayat tersebut. Bukankah sejarah telah mengajar kita, suatu ketika dahulu, nabi Muhammad s.a.w pernah bekerja dengan saidatina Khadijah, bekerja dibawah seliaan seorang wanita? Adakah sesuatu perbuatan menjadi suatu kesalahan apabila ianya dilakukan oleh baginda sendiri?
Hakikatnya, ianya tidak menjadi satu kesalahan seandainya perempuan menjadi ketua dalam sesebuah organisasi yang tidak melibatkan pemerintahan terhadap sesebuah kaum dan hanya melibatkan pengurusan,sebagai pengarah syarikat contohnya. Salahnya kepimpinan wanita yang telah menjadi kesepakatan ulama' ialah, seandainya perempuan tersebut memimpin sesebuah negara, sesebuah persatuan, sesebuah kaum ataupun kampung, yang mana dalam situasi tersebut, wanita boleh membuat keputusan dalam sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan sejagat disebabkan dia berada dalam kedudukan yang paling atas. Contohnya, perlantikkan wanita sebagai perdana menteri atau ketua menteri. Sikap syadid dalam perkara-perkara seperti ini bakal memecah-belahkan masyarakat dan membuatkan para pengikut dan ahli akan lari dan menjauhkan diri dari organisasi tersebut. Sepertimana yang diamalkan oleh golongan yang digelar "wahabi".
Syadid Perlu Bertempat Bukan Bertempat-tempat
Berdasarkan perbincangan diatas, saya yakin, insyaAllah, sahabat-sahabat sudah memahami dalam situasai yang manakah sikap syadid perlu diterjemahkan dan dalam situasai yang manakah sikap tersebut perlu dinyahkan. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua, marilah kita bersama-sama mempraktikan sikap syadid pada tempat yang sewajarnya.
Namun begitu, perlu dingatkan, sikap syadid tersebut perlu diaplikasikan pada tempatnya bukan bertempat-tempat. Seandainya sikap tersebut dipraktikkan bertempat-bertempat, maka pengamalnya bakal digolongkan dalam golongan munafiq kerana melakukan sesuatu perkara bukan kerana Allah bahkan kerana manusia. Sebagai contoh, dalam permasalan pemakaian purdah, pendapat yang paling kuat dalam mazhab Syafie mengatakan, wajib bagi setiap muslimah memakai purdah, oleh yang demikian adalah suatu sikap yang baik dan menjadi tuntutan kepada seorang wanita supaya mengamalkan pemakaian purdah. Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan seandainya seseorang wanita tidak berpurdah kerana ada pendapat yang membenarkannya.
Sikap sesetengah muslimah yang syadid tidak bertempat akan menyusahkan pihak lain sebagaimana yang telah diperkatakan oleh Ust Aidil Azwal di dalam kelas pengajiannya. Dalam mesyuarat contohnya, sewajarnya mereka yang sedang bermesyuarat membuka purdah bagi memudahkan perjalanan mesyuarat dan tidak sewajarnya mereka merasakan ianya satu kesalahan. Pernah sekali di dalam sebuah mesyuarat seorang sahabat menjadi setia usaha, tunggang-langgang ketika mencatit minit mesyuarat kerana hampir semua wanita yang terlibat dalam mesyuarat tersebut berpurdah, tidak tahu siapa yang mengeluarkan pendapat dan cadangan kerana tidak nampak siapa yang berkata. Sikap syadid tidak bertempat ini bakal menyukarkan dan menyusahkan orang lain. Oleh yang demikian sikap tersbut perlu dijauhi.
Sikap syadid bertempat-tempat juga perlu dijauhi, contohnya seorang muslimah berpurdah dihadapan sebahagian lelaki yang dikenalinya dan membuka purdah dihadapan lelaki lain disebabkan perkara-perkara yang tidak sewajarnya dijadikan alasan, untuk bergambar contohnya.
Pernah sekali seorang sahabat saya datang ke rumah seorang akhawat(wanita) untuk sesuatu urusan, alangkah terkejutnya akhawat tersebut ketika mana dia membuka pintu dia dapati lelaki yang berada dihadapan pintu tersebut adalah lelaki melayu bukan lelaki arab seperti yang disangkakan. Lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang hanya bertudung tanpa pudah, lantas akhawat tersebut dengan pantas menutup pintu dan masuk semula ke dalam rumah. Terpacul dari mulut akhawat tersebut: "Alamak ustaz ingatkan arab tadi" (lebih kurang macam ni). Saya rasa sahabat-sahabat sekalian dapat gambarkan bagaimanakah perasaan sahabat saya ketika itu. Keadaan tersebut seolah-olah menggambarkan berpurdah ini hanya wajib dihadapan lelaki melayu, adapun dihadapan lelaki arab tidak perlu berpurdah. Sikap seperti inilah yang harus kita jauhi kerana ianya merupakan sebahagian daripada sikap orang-orang munafiq, bermuka-muka. Kalau betul kita memandang berpurdah itu satu perkara yang wajib maka jangan bermuka-muka dan jangan bertempat-tempat. Akan tetapi perlu bertempat, tempat-tempat yang sewajarnya dibuka purdah tersebut tiada masalah untuk dibuka tapi jangan tanggalkan purdah pada tempat-tempat yang tidak sewajarnya.
Konklusi daripada perbincangan tersebut, sebagai seorang muslim/muslimah sejati, kita seharusnya melakukan sesutu perkara berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh Islam. Laksanakan sesuatu perkara berpandukan nas-nas dan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh syara'. Seandainya sikap syadid itu dipraktikkan pada tempatnya inysaAllah ianya akan menjadi satu siafat yang mulia dan terpuji. Buat akhirnya, maafkan saya kerana banyak menggunakan contoh-contoh yang berkaitan dengan perempuan kerana hanya contoh-contoh itulah yang tergambar dalam benak pemikiran saya ketika ini. Seandainya terdapat salah dan silap, teguran dan pembetulan daripada sahabat-sahabat saya alu-alukan. Hamba Allah yang lemah,
Abu Mawahib Al-Azhari
4.18am 26/09/2008
Bait Maqabir, Mansurah
Mesir.
Rujukan:
1- Surah An-Nisa' : 34
2- Sohih Bukhari
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment