Showing posts with label Sufi. Show all posts
Showing posts with label Sufi. Show all posts

Thursday, December 20, 2012

Jadbah.net - Bicara Tasawuf Tarikat Sufiyyah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Wujudnya Kumpulan Jazbah Network adalah berpunca dari kesedaran dan usaha segolongan insan yang menyedari kepentingan dalam menyampaikan ilmu di dalam bidang Tasawuf / Tarikat / Sufi . Sebab dari keadaan zaman materialisma yang memerlukan keseimbangan diantara kerohanian dan duniawi dalam meniti perjalan dunia menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Dari kupasan yang padat dan mantap disertakan Dalil dan Nas membahaskan ilmu Tasawuf / Tarikat / Sufi yang disampaikan Oleh Tuan Guru Dr. Hj. Jahid Bin Haji Sidek, mudah-mudahan dapat merungkai segala permasalahan dan persoalan yang timbul di dalam perbicaraan dan fikiran ummat islam masa kini.

Dengan adanya laman sesawang ini juga bukan sahaja akan memudahkan mereka yang mecari jawaban, pencerahan dan kebenaran 'Ilmu Ehsan' yang kini dicemari kekeliruan dan salah fahaman.
Kami menyediakan himpunan Kuliah dan koleksi dalam bentuk Kuliah Tasawuf Audio CD bagi memudahkan ia dimainkan pada Pemain CD, komputer atau di Kereta.

Pelawat Juga boleh memasukan email ke dalam system kami bagi mendapat info tajuk kuliah terkini.

Ikhlas,
Admin

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

******************************************************
>>>PROMOSI 2012<<< 
******************************************************
Koleksi Pack (20 CD)
RM300 
RM235
Sahaja !

Single Pack (1 CD) 
RM19
RM13.50
Sahaja !



PERCUMA!!!
* Penghantaran Setiap Pembelian 
*CD Bag untuk 'Koleksi Pack' Sahaja



Friday, July 11, 2008

IDEOLOGI TAREQAT


HAQIQAT DAN SYARIAT



Masalah Syariat, Tariqat, Haqiqat dan Makrifat adalah bidang-bidang atau cabang ilmu yang sangat khusus dan amat berbeza disegi pendekatan dan sumber perantara ilmu itu.




Pertelingkahan antara Ulama Haqiqat dan Ulama Syariat telah berlaku sejak dulu lagi. Mereka sebenarnya "betul" dalam bidang masing-masing. Sebagaimana berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khaidir. Nabi Musa, walaupun seorang Nabi, beliau tidak mempunyai Makrifat. Jadi beliau menghukum sesuatu kejadian berdasarkan ilmu Syariat yang beliau tahu. Nabi Khaidir pula dikurniakan Allah ilmu Makrifat, jadi beliau menghukum sesuatu mengikut ilmunya. Jadi dalam perjalanan bersama-sama Nabi Musa, Nabi Khaidir telah membunuh seorang budak, membangun semula rumah yang telah hampir musnah dan mengapak kapal yang beliau tumpangi. Perbuatan ini amat bersalahan dengan Syariat Nabi Musa. Kerana tidak sabar, Nabi Musa menegur perbuatan Nabi Khidir. Dengan itu mereka terpaksa berpisah sebagaimana perjanjian yang telah dibuat sebelum perjalanan. Nabi Khaidir berbuat demikian kerana pada pandangan Makrifatnya, budak itu mesti dibunuh kerana ia bakal menjadi anak yang nakal, sedangkan ibu/bapanya orang yang solleh. Dibawah bangunan lama terdapat harta anak yatim yang belum dewasa. Dalam perjalanan dengan kapal, Nabi Khaidir merosakkan sedikit kapal yang ditumpanginya supaya tidak dirampas oleh Raja yang zalim di pelabuhan yang mereka akan singgah. Raja ini akan merampas kapal-kapal yang baik.




Dalam hal ini Nabi Musa betul dengan ilmunya dan Nabi Khaidir betul dengan ilmunya. Seperti juga berlaku pada Halaj, seorang wali Allah. Ia dihukum bunuh kerana dikatakan mengaku dirinya Allah dengan berkata `Anal Haq'. Pada pandangan Feqah (ilmu syariat) beliau telah bersalah dan perlu dihukum bunuh. Setelah kepalanya dipancung, darah tersembur dan membentuk perkataan "La ila ha illa llah" dipermukaan tanah. Dalam hal ini, ahli Syariat yang menghukum tidak bersalah dan Halaj juga tidak bersalah. Halaj berkata demikian kerana terlalu 'Zuk" atau telah fana didalam kewujudan Allah SWT. Sumber hukum untuk masyarakat umum dalam Islam mestilah berlandaskan Syariat. Ini adalah untuk menjadikan hukum Islam bersistematik sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW.





LADUNI DAN KASYAF



Laduni dan Kashaf sebenarnya bukan ilmu. Ia merupakan cara ilmu itu disampaikan. Laduni bermaksud Allah memasukkan terus maklumat berkenaan sesuatu perkara kedalam pengtahuan orang itu. Tidak melalui pendengaran atau penglihatan. Dengan perkataan lain tidak ada guru. Khasaf pula bermaksud keupayaan seseorang itu melihat perkara-perkara yang ghaib pada mata kasar. Pandangan khasaf ialah pandangan menggunakan mata basir (mata batin atau mata ruhani). Kalau mata kasar menggunakan cahaya (cahaya matahari atau lampu) untuk melihat, mata basir menggunakan "nur" untuk melihat. Kekuatan mata basir berbeza-beza. Paling rendah boleh melihat dimensi jin (dan syaitan). Peringkat lebih tinggi boleh melihat dimensi malaikat (alam malakut), kemudian dimensi roh. Paling tinggi ialah dimensi ketuhaan (Alam Lahut).



Jadi ilmu-ilmu ini walaupun sumbernya Allah SWT, tetapi melalui cara yang berbeza. Sesuai dengan Ilmu Syariat yang bersifat zahir dan membicara perkara-perkara yang zahir semata-mata, maka cara penyampaiannya juga menggunakan peralatan zahir, seperti guru zahir, kitab-kitab yang bersumberkan Quran dan Hadith Rasulullah SAW.





ILMU YAQIN, AINUL YAQIN, HAQQUL YAQIN



Tariqat ialah jalan atau cara-cara untuk mempertingkatkan IMAN, TAQWA dan seterusnya mendapatkan keredhaan Allah SWT. Jadi, untuk mendapatkan keredhaan Allah, mestilah menggunkan jalan atau peraturan yang diredhai Allah. Apabila sesorang pengamal tariqat beramal bersungguh-sungguh dengan ikhlas dibawah panduan seorang guru yang murshid, darjat IMAN dan TQWAnya meningkat dari sehari-kesehari. Hasil dari peningkatan ini, "dirinya" yang di dalam diri zahir, atau ronya, menjadi bertambah kuat dan sehat. Mata basirnya semakin terang sehingga pada suatu masa, cukup kuat sehingga boleh melihat alam ghaib atau kashaf. Setelah kasyaf dan sudah melihat dimensi-dimensi yang dijelaskan tadi, IMANnya meningkat dari ILMU YAKIN kepada AINUL YAKIN. Kalau dahulu murid itu yakin adanya alam ghaib kerana percaya kepada ilmu syariat yang dipelajari. Tetapi sekarang ini telah melihat sendiri adanya alam ghaib tersebut. Naiklah darjat menjadi AINUL YAKIN (Ain bermakna mata).



Kemudian Allah membuka lagi lautan ilmu (maklumat) berkenaan dengan Rahsia Allah kepada murid ini melalui guru-guru ghaib yang terdiri daripada Wali-wali Allah atau ALLAH memberi terus melalui Laduni. IMAN murid tadi meningkat lagi sehingga HAQQUL YAKIN. Ia itu yakin sebenarnya-benar yakin. Inilah darjat yakin para Nabi-nabi. Setelah mengetahui rahsia-rahsia kejadian alam ini, maka dikatakan murid tadi telah mendapat HAQIQAT. Ia itu mengtahui kejadian makhluk Allah disegi zahirnya dan gahibnya (batinya). Setelah mendapat HAQIQAT, seterunya murid tadi dengan kurniaNYA, mungkin akan ditambah lagi ILMUnya sehingga mengenal KHALIQ, Yang Maha Pencipta iatu ALLAH YANG MAHA PERKASA. Inillah dikatakan telah mendapat MAKRIFAT. Ia itu mengenal ALLAH sebagaimana ALLAH sendiri memberi tahu diriNYA.



KONKLUSI DARIPADA PERBINCANGAN



Jadi sebagai kesimpulan, Tariqat itu masih berbetuk syariat kerana ia ilmu zahir. Hasil dari amalan tariqat, seseorang itu dikurniakan Haqiqat dan Makrifat. Guru murshid ialah guru yang telah mendapat sekurang-kurangnya peringkat Haqiqat kalaupun tidak mendapat Makrifat. Jadi kesimpulanya, kalau kita bukan ahlinya, tak payahlah jadi macam orang buta yang cuba menceritakan bentuk seekor gajah. Orang buta yang pegang belalai tentu mengatakan gajah itu seperti ular. Orang buta yang pegang kaki, kata gajah macam tiang, begitulah seterunya. Berkenaan dengan bagaimana nak membezakan sama ada sumber ilham atau guru ghaib itu yang haq (wali-wali misalnya) atau batil (syaitan). Ini perkara senang. Guru yang murshid akan dapat membantu muridnya. Guru murshid melihat dengan mata bashir dan dapat mengenal siapa sebenarnya yang datang. Syaitan memang pandai berupa, tetapi mata bashir lebih tajam. Syaitan itu boleh dibunuh.



Kalau berbicara masalah Tariqat, tak payahlah tanya mana hadis atau nasnya. Lihatlah siapa yang mengajar dan siapa muridnya. Mana salsilahnya. Tariqat yang betul jelas. Tariqat yang salah pun jelas. Kalau amalan Tariqat tersebut bersalahan dengan Syariat, jangan ragu lagi. Pasti salah. Seperti sembahyang tanpa kelakuan atau sembahyang niat atau dipanggil juga sembahyang batin, tentu salah kerana sembahyang mesti ada tiga rukun, niat, berkata-kata dan kelakuan. Kalau tidak menjaga aurat, bercampur laki-laki dan perempuan juga salah. Bahkan, semakin tinggi seseorang itu dalam perjalanannya menuju keredhaan Ilahi, semakin banyak dia bersembahyang. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kalau semakin tidak sembahyang, sahlah syaitan atau ketua syaitan ia itu Iblislah gurunya.

Sebagai kesimpulan, kalau kita bermaksud untuk menjadi orang yang diredhai Allah SWT MESTI belajar dan amal Tariqat. Sesorang yang mengamal Tariqat telah tahu dengan yakin sama ada segala amalannya diterima atau tidak oleh Allah SWT sebelum ia meninggal dunia lagi. Ia masih boleh betulkan sebelum mengadap Ilahi. Bahkan mereka ini mungkin dilantik menjadi Wali-Wali Allah. Orang syariat hanya mendapat tahu sama ada Allah redha atau tidak setelah mereka mati. Ini sudah terlambat kalau terdapat kesilapan dalam amalan sehingga tidak diterima Allah SWT. Fikirkanlah..................


Sekian. Harap maaf kalau terkasar bahasa.

Thursday, June 19, 2008

TARIKAT SOFI VS AJARAN SESAT


Sedikit Pengalaman Untuk Dikongsi


Suatu ketika dahulu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar saya pernah curiga terhadap tabligh, tarikat dan pergerakkan-pergerakkan Islam lain, perkara ini disebabkan penyebaran khabar-khabar angin yang memburukkan kumpulan-kumpulan tersebut. Tambah mencurigakan apabila seorang sahabat enggan menceritakan aktiviti yang dijalankan dalam tarikat yang dia sertai dengan alasan gurunya mengahalang untuk menceritakan secara detail aktiviti yang dijalankan kepada orang lain.



Saya pernah kritik kumpulan tersebut disebabkan kejahilan diri saya ketika itu, Namun alhamdulillah, Allah telah membuka peluang kepada saya untuk memahami perkara ini dengan mentakdirkan saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pengalaman disini telah mengubah persepsi buruk saya terhadap kumpulan tarikat , tabligh dan pergerak-pergerakkan islam yang lain.



Pada Aidilfitri yang lalu abang saya yang sudah dua tahun lebih menuntut ilmu disini telah membawa saya menemui syeikh-syeikh tarikat di sekitar bumi Mesir ini. , banyak pengalaman yang saya perolehi ketika menziarahi syeikh-syeikh tersebut, dalam artikel ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian satu kisah yang menyentuh hati dan membuatkan saya tahu apakah itu tarikat, dan apakah erti sebenar sifat zuhud yang diwar-warkan oleh pengikut tarikat yang mana sifat tersebut telah diterjemahkan oleh seorang syeikh tarikat yang saya temui.



Abang, saya dan beberapa sahabat lain telah berbuka puasa pada hari terakhir bulan Ramadhan di rumah Dekan Kulliah Usuludin Zaqaziq, Dr Muhammad Mahmud Ahmad Al-Hasyimiyah. Beliau merupakan khalifah(syeikh) Tarikal Al-Hasyimiyah. Allahyaraham bapanya merupakan pemilik salah sebuah syarikat minyak di Mesir. Setiap hari Jumaat pada setiap minggu dan pada bulan puasa, Dr. Muhammad akan mengadakan rumah terbuka untuk menjamu orang ramai makan. Pada waktu inilah orang ramai berduyun-duyun memenuhi dewan yang berdekatan dengan rumah beliau, untuk memohon doa, bantuan kewangan daripada beliau dan menjamu makanan yang disediakan dalam majlis tersebut.



Berbalik kepada cerita asal, kami telah berbuka puasa di dewan tersebut. Tetamu yang hadir dalam jamuan tersebut terlalu ramai lantas menyebabkan tempat duduk yang disediakan penuh dan tiada ruang untuk Dr. Muhammad duduk. Rentetan daripada situasi tersebut, Dr. Muhammad telah mempersilakan hadirin yang hadir makan terlebih dahulu. Selepas orang ramai selesai menikmati makanan, kami telah melihat Dr. Muhammad mengambil tempat duduk dari salah sebuah kerusi yang telah dikosongkan oleh seorang tetamu , dan beliau memakan sisa makanan yang ditinggalkan oleh tetamu tersebut. Perbuatan tersebut menyebabkan hati saya sebak dan pelbagai persoalan timbul dalam benak pemikiran saya, kenapa gambaran yang diberikan oleh masyarakat Malaysia tentang syeikh tarikat berbeza dengan apa yang saya lihat pada hari tersebut?, Dia seorang yang kaya anak kepada empunya syarikat minyak, masakan seorang yang kaya dan berpengaruh seperti beliau boleh memakan sisa-sisa makanan tetamunya?. Kalau dia nak dia boleh meminta mana-mana pembantu rumahnya menyiapkan makanan yang yang khas untuknya. Tapi dia tak buat macam tu, berbekalkan kezuhudan yang ada dalam diri dia, dia sanggup makan sisa makanan orang. Inilah pengalaman pertama saya bertemu dengan syeikh tarikat di mesir,lantas membuatkan saya kenal apakah erti sebenar sifat zuhud sekaligus menghapuskan persepsi negatif terhadap tarikat sofi yang wujud hasil kejahilan diri ini.. Semoga kisah ringkas ini dapat dijadikan iktibar .



Adakah Ilmu Taswuf Bertentangan dengan Amalan Salaf



Orang-orang islam selepas zaman kewafatan Nabi Muhammad s.a.w tidak menggelar diri mereka selain gelaran "sahabat Nabi". Dan pada zaman yang seterusnya sahabat kepada para sahabat nabi dinamakan "At-tabii'n". Kemudian dinamakan golongan selepas mereka sebagai "Tabi' Tabii'n", kemudian berlakulah perselisihan diantara manusia, ada golongan yang terlalu menumpukan urusan agama dengan mengutamakan sikap zuhud dan kehambaan, ada golongan yang melakukan bida'ah saiyiah, dan pelbagai golongan lagi. Setiap daripada golongan tersebut mengatakan merekalah golongan yang tinggi kezuhudannya.



Ilmu Tasawuf pula merupakan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wataa'la kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaa'h yang menjaga diri agar segala perbuatan mereka senantiasa bersesuaian dengan petunjuk ilahi. Istilah tasawuf ini timbul sebelum tahun 200 hijrah lagi. Fakta ini telah dinukilan oleh As-Salmi didalam kitabnya "Tabakot As-Sofiah". Fakta ini menafikan dakwaan golongan yang mengelar diri mereka salafi , akan tetapi menolak ajaran sofi dengan mengatakan ajaran tersebut bertentangan dengan amalan salaf (3 kurun pertama hijrah), bukankah istilah tersebut telah wujud sejak zaman salaf?



Ajaran Sesat Bukan Tarikat Sofi



Kita tidak menafikan terdapat sebahagian daripada mereka yang mengaku ahli tasawuf, dan mengajak orang lain supaya menyertainya, sedangkan keadaan dan cara mereka tidak melambangkan sifat-sifat kezuhudan dan kesofian, mereka tidak belajar agama dan tidak beramal dengan amalan yang bertepatan dengan hukum syara', mereka mengadakan majlis tari-menari dan melakukan percampuran diantara lelaki dan perempuan dalam halaqah zikir mereka, mereka melakukan amalan-amalan yang menyeleweng daripada amalan yang dibenarkan syara', ini adalah ajaran sesat, bukanlah amalan tasawuf, dan bukanlah tarikat sofi, kerana sesungguhnya ajaran tasawuf yang sebenarnya tidak menjalankan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara'.



Apa yang lebih menyedihkan sebahagian daripada kita yang kurang pengetahuan dan pengalaman tentang perkara ini, menghukum dan menuduh apa yang dilakukan oleh ajaran sesat tersebut aktiviti yang dilakukan oleh semua tarikat sofi. Disini ada beberapa persoalan, adakah sekiranya wujud ajaran sesat sepertimana ajaran yang dibawa oleh Ayah Pin, dan mereka mengaku segala aktiviti yang mereka lakukan adalah ajaran islam maka kita akan menghukum semua penganut agama islam sesat? Adakah adil jika kita menghukum dengan menggunakan cara tersebut? Apabila sebahagian manusia yang mengaku islam dan melakukan amalan yang sesat kita menghukum semua orang islam sesat?. Sudah pasti tidak adil, begitu juga ajaran sesat yang menggelar diri mereka tarikat sofi, kita tak boleh mengatakan aliran mereka adalah aliran tarikat sofi kerana aktiviti yang dianjurkan oleh aliran mereka jelas bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh tarikat sofi yang senantiasa mengamalkan amalan-amalan yang bertepatan dengan syara'.




Zikir dalam Keadaan Berubah-ubah Berdiri dan Duduk



Sebahagian daripada kita terkeliru dengan video-video yang sedang rancak disebarkan yang mana penyebaran tersebut tidak ada tujuan lain melainkan untuk memburuk-burukkan tarikat sofi. Video yang yang memaparkan sekolompok manusia sedang berzikir dalam keadaan sekejap duduk sekejap berdiri, menimbulkan tanda tanya, adakah apa yang dilakukan oleh mereka bertentangan dengan syara'? kenapa mereka tidak berzikir dalam keadaan duduk sahaja seperti biasa yang dilakukan di masjid-masjid selepas solat?



Lebih malang lagi apabila terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengiringkan video majlis zikir tersebut dengan lagu-lagu rock, ini merupakan satu fitnah yang besar terhadap tarikat sofi, perbuatan tersebut jelas mengelirukan orang ramai dan membuatkan orang ramai berperasangka buruk terhadap tarikat sofi. Hakikatnya, tiada lagu rock yang dipasang semasa majlis zikir tersebut dijalankan, mereka berzikir secara berjemaah dalam keadaan berdiri dan duduk tanpa iringan sebarang lagu. Saya yakin seandainya pihak tersebut tidak bertaubat dan memperbetulkan kesalahan mereka, mereka pasti akan dipertanggungjawabkan dan didakwa oleh Allah s.w.t diakhirat kelak disebabkan fitnah yang mereka sebarkan di youtube dan dilaman-laman web mereka.



Secara adilnya, kita tidak boleh menyalahkan golongan tarikat seandainya mereka berzikir dalam keadaan yang berubah-ubah sekejap berdiri dan sekejap duduk. Apabila berlaku sesuatu masalah dan kekeliruan sepatutnya kita kena menilai perbuatan mereka tersebut berdasarkan kacamata Islam, bukan mengikut logic akal pemikiran kita Apa yang mereka lakukan tidak bercanggah dengan syara' malahan bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.



Firman Allah:



{ان في خلق السماوات والأرض واختلاف الليل والنهار لاّيات لأولى الألباب, الذين يذكرون الله قياما وقعودا وعلى جنوبهم }



Maksudnya: "Sesenguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang berzikir (mengingati Allah) sambil berdiri, duduk dan dalam keadaan berbaring…" (Ali-Imran: 190-191)



Hadis:



{وعن عائشة رضي الله عنها قالت: "كان رسول الله يذكر الله تعالى على كل أحيانه}



Maksudnya: Daripada Aisyah Radhiaallahu A'nha die telah berkata: " Rasulullah berzikir(memperingati) Allah dalam setiap keadaan" (Sohih Muslim)



Berdasarkan dalil-dalil tersebut, jelas apa yang dilakukan oleh tarikat-tarikat sofi, berzikir sekejap dalam keadaan berdiri sekejap duduk adalah bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Tidak wajar kita mempertikaikannya kerana ianya tidak bercanggah dengan Syara'.




Kenapa Mesti Ada Tarikat&Tasawuf tak cukup ke Al-Quran& As-Sunnah



Ada sebahagian orang yang berkata: "Kenapa kita tidak mempelajari cara-cara membersihkan diri terus dari Al-Quran dan As-Sunnah kenapa perlu ada ilmu tasawuf dan tarikat sofi?" kata-kata ini pada zahirnya seolah-olah membawa rahmat akan tetapi hakikatnya membawa azab. Sedikit persoalan kepada golongan tersebut, kenapa kita tidak mempelajari rukun-rukun, perkara-perkara sunat, dan perkara makruh dalam solat terus daripada Al-Quran dan As-Sunnah? Kita hanya mengetahui perkara tersebut selepas mempelajari satu ilmu yang digelar ilmu Feqh yang mana ilmu tersebut telah disusun oleh para fuqaha', dan mereka juga telah mengistimbatkan setiap hukum yang ada didalam ilmu tersebut berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Dan mengapa seandainya ada pihak yang mengatakan kita boleh mempelajari hukum-hakam agama terus dari Al-Quran dan As-Sunnah, kita belum pernah jumpa seorang alim dalam bidang Feqh belaja mempelajari ilmu tersebut terus dari Al-Quran dan As-Sunnah tanpa melalui kitab-kitab Feqh?



Begitu juga didalam tarikat dan tasawuf, terdapat beberapa perkara yang tidak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah, akan tetapi kita hanya boleh mempelajarinya dengan cara musyafahah(berhadapan) dengan syeikh, tidak sboleh dipelajari dengan membaca kitab semata-mata sepertimana cara kita mempelajari ilmu Tajuwid. Bahkan ulama-ulama telah menetapkan beberapa istilah yang khas untuk ilmu tersebut, sebagai contoh istilah "mad lazim muthaqal", "mad lazim kalimi muthaqal" siapakah yang meletakkan istilah mad lazim tersebut? Apakah wujud dalil terhadap tentang perkara tersebut? Siapakah yang menetapkan kadar harakat tersebut supaya diikut oleh sekalian mu'min ketika membaca al-quran? Sesungguhnya yang menetapkan perkara tersebut adalah ulama' tajwid. Begitu juga ilmu Tasawuf yang telah dicipta oleh ulama-ulama tasawuf dan telah berkembang sejak zaman Junaid kurun ke4 hijrah sehinggalah ke hari ini, ilmu tersebut dikembangkan disebabkan berlakunya keruntuhan akhlak dan penyelewengan(ajaran sesat) dalam tarikat sofi pada zaman tersebut. Penyelewengan tersebut menyebabkan orang ramai menyangka ajaran sesat tersebut merupakan ajaran tarikat sofi. Moga-moga Allah taa'la melindungi Ilmu Tasawuf dan ahli-ahlinya daripada fitnah dunia. Firman Allah mafhumnya:



"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai pengkhianat lagi mengingkari ni'mat"(Al-Haj: 38)


Wallahua'lam


2.26am 15/06/2008

Syari' Madrob, Mansurah

Mesir. ِ

Rujukan:


1- Al-Fatawa (Dr A’tiah Saqar)


2- Al-bayan (Dr Ali Jumaa’h)


3- Riyadhus Solidin (Imam An-Nawawi)


4- Tafsir Al-Quran Al-Karim


5- Dan lain-lain


Tuesday, June 10, 2008

ADAKAH TARIKAT DAN SOFI BERTENTANGAN DENGAN ISLAM?



PENGENALAN


Terdapat pelbagai kitab yang membincangkan tentang tarikat sofi, antara yang terawal ialah “Tobakot Al-sofiah” karangan Abu Abdul Rahman (412 hijrah) dan “Risalah Al-Qusyairiah Fi Ilmi Taswuf” karangan Abu Qasim Abdul Karim bin Hauzan Al-Qusyairi(465) hijrah.



Ilmu tasawuf merupakan satu manhaj tarbiah dalaman dan luaran yang boleh mehjadi pemangkin kepada seorang muslim untuk mncapai martabat ihsan yang telah dita’rifkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w :”melakukan ibadah seolah-olah kamu melihat Allah sekiranya kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihatmu”(Sohih Bukhari).



Tasawuf merupakan program tarbiah, yang mengutamakan permbersihan jiwa daripada segala penyakit yang merosakkannya, yang mana penyakit-penyakit tersebut menyebabkan wujudnya satu hijab (halangan) diantara seorang hamba dan tuhannya, dan menyebabkan rosaknya hubungan seseorang itu dengan tuhannya, insan-insan lain, dan makhluk-makhluk ciptaan Allah sekaliannya.



Oleh kerana itu, tarikat sofi merupakan satu madrasah yang mana madrasah tersebut membantu pengikutnya untuk membersihkan diri daripada segala kotoran jiwa dan memperbaiki akhlak yang buruk bagi membolehkan seseorang itu memenuhi hadaf (tujuan) diutuskan junjungan besar s.aw sepertimana sabda baginda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”



Sesungguhnya, sudah menjadi tabiat nafsu seseorang manusia itu diserang dan dirosakkan oleh sekolompok penyakit jiwa seperti: Riya’(melakukan sesuatu untuk tujuan menunjuk-nunjuk) Takabbur(bangga dengan kehebatan diri) ananiah (keakuan) pemarah, bakhil, dendam, suka memaksa, hasad dengki, cenderung untuk melakukan maksiat, tamak halobA dan lain-lain. Sepertimana Firman Allah Taa’la ketika menghikayatkan kisah seorang perempuan yang mulia:



وما أبرئ نفسى إن النفس لامارة بالسوء إلا ما رحم ربى إن ربى غفور رحيم



Maksudnya: “ Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh tuhanku. Sesungguhnya tuhanku maha pengampun lagi maha penyayang.”






CIRI-CIRI TARIKAT



Oleh kerana itu, golongan salaf(sebelum) kita telah menyedari kepentingan didikan jiwa dan keperluan untuk membersihkannya daripada penyakit-penyakit jiwa. Oleh kerana itu tarikat ini telah diwujudkan untuk membolehkan ulama-ulama kita bukan sahaja mampu mengubati diri mereka sendiri malah mampu mengubati jiwa-jiwa masyarakat yang semakin hari semakin parah disebabkan serangan penyakit hati yang betalu-talu. Semestinya bagi sesebuah tarikat itu mencakupi beberapa sifat utama:


1. Berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah, oleh kerana itu tidak dapat dinafikan tarikat sofiah ini merupakan manhaj(jalan) Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang menyalahi Al-Quran dan As-Sunnah ianya bukanlah tarikat sofiah bahkan ianya adalah tarikat yang ditolak dan ditegah oleh syara’.



2. Tidak dinamakan sebuah tarikat seandainya didikan yang terkandung didalamnya terpisah daripada didikan yang terkandung dalam syaria’h, bahkan tarikat itu merupakan sebutir daripada butiran-butiran mutiara yang wujud didalam didikan syaria’h.





CIRI-CIRI TASAWUF



Tasawuf juga mempunyai tiga ciri yang mana ciri-ciri tersebut digalakkan dan diseru di dalam Al-quran supaya dilakukan oleh orang-orang yang beriman:



1. Menumpukan didikan jiwa, muraqabah (merasakan diri diperhatikan Allah) dan membersihkannya daripada segala keburukan. Ini bersesuaian dengan firman Allah:



{ونفس وما سواها * فألهمها فجورها وتقواها* قد أفلح من زكاها* وقد خاب من دساها}



Maksudnya: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah ilhmkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” (As-syams 7-10)




2. Berzikir mengingati Allah sebanyak banyaknya. Firman Allah:



{يأيها الذين ءامنوا اذكروا الله ذكرا كثيرا}



Maksudnya: “Wahai orang2 yang beriman berzikirlah (ingati Allah) sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab 41)



Sabda nabi:


{لا يزال لسانك رطبا بذكر الله}



Maksudnya: “ Basahilah lidah kamu dengan zikrullah” (Sunan Ahmad dan Sohih Ibnu Hibban)




3. Zuhud dalam kehidupan di dunia, tidak mencintai dunia dan cenderung kepada kehidupan akhirat.



{وما الحياة الدنيا إلا لعب ولهو وللدار الآخرة خير للذين يتقون أفلا تعقلون}




Maksudnya: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan permainan dan senda gurauan. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa adakah kamu tidak memikirkannya?”. (Al-An’aam 32)






SEBAB WUJUDNYA PELBAGAI ALIRAN TARIKAT




Syeikh-syeikh yang membimbing anak-anak muridnya berzikir , membantu mereka dalam proses pembersihan jiwa, dan mengubati penyakit-penyakit yang wujud didalam hati-hati mereka, merupakan seorang guru dan pembimbing yang menetapkan manhaj yang tertentu yang bersesuaian untuk mengubati penyakit yang dihadapi oleh hati pesakit-pesakitnya.




Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menasihatkan setiap insan yang meminta nasihat daripada beliau dengan nasihat yang pelbagai dan bersesuaian dengan diri insane tersebut. Seorang lelaki telah datang menemui beliau dan berkata: “ Wahai Rasullullah khabarkan kepadaku sesutau yang membolehkan diriku jauh daripada kemurkaan Allah”, maka nabi berkata: “Jangan marah” (Sohih Bukhari).


Dan datang seorang yang lain dan berkata: “ Khabarkan kepadaku sesuatu yang aku boleh hidupkan amalanku dengannya, maka nabi berkata kepadanya: “Sentiasalah basahi lidahmu dengan berzikir kepada Allah”. (Musnad Ahmad, Sohih Ibnu Hibban), sebahagian daripada sahabat ada yang memperbanyakkan solat malam, sebahagian yang lain ada yang memperbanyakkan bacaan al-quran, zikir sedekah dan lain-lain.





Ini tidak bermakna pengikut tarikat perlu meninggalkan segala urusan dunia, akan tetapi seseorang pengikut tarikat hanya perlu memperbanyakkan ibadah tertentu untuk menjadi wasilah mardhiatullah( keredaan Allah). Asas perbuatan tersebut adalah berdasarkan berbilangnya pintu didalam syurga yang satu, yang menunjukkan pelbagai cara boleh digunakan untuk memasuki sesebuah syurga.



قال النبي : { "لكل أهل عمل باب من أبواب الجنة يدعون بذلك العمل ولأهل الصيام باب يدعون منه يقال له الريان"}




Sabda Nabi: “Bagi setiap pengamal (kebajikan) akan (melalui) satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang akan menyerunya kerana amal tersebut (yang dilakukannya) dan untuk ahli puasa mereka akan diseru oleh pintu yang digelar ‘Ar-Rayan’ ” (Sohih Bukhari)




Rentetan daripada kewujudan pelbagai uslub dan cara untuk memasuki syurga ilahi, maka wujudlah pelbagai jenis tarikat yang berbeza-beza amalannya, sebahagiannya menumpukan ibadah zikir, sebahagian yang lain menumpukan ibadah puasa, solat dan ibadah-ibadah lain yang seumpama dengannya. Sungguhpun begitu, walaupun berbeza-beza uslub dan amalan tapi tujuan mereka hanyalah satu untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata, yang mana dengan keredhaan itu membolehkan mereka memasuki syurga melalui salah satu daripada pintu-pintunya.



Bersambung………


5.30pm 10/06/2008


Syari' Madrob, Mansurah


Mesir. ِ


Rujukan:



1- Al-Fatawa (Dr A’tiah Saqar)


2- Al-bayan (Dr Ali Jumaa’h)


3- Tafsir Al-Quran Al-Karim


4- Dan lain-lain


Related Posts with Thumbnails