Sunday, June 29, 2008

SUNNAH YANG DILUPAKAN


1. Baring dgn mengiring sebelah kanan selepas sunat subuh.

Aisyah r.a berkata:
Maksudnya: Nabi s.a.w apabila telah selesai solat sunat subuh; baginda baring di atas lambung kanannya.(Hr BUkhari)

2.
Menjilat jari jemari apabila selesai makan.

Nabi s.a.w bersabda:

Maksudnya: Apabilah salah seorang kamu sudah selesai makan hendaklah dia menjilat jari-jemarinya sebelum dia mengelapnya.(Hr Bukhari dan Muslim)


3.
Melantik ketua dlm musafir.

Nabi s.a.w bersabda:
Apabila kamu bermusafir dlm bilangan 3org maka hendaklah lantik seorang ketua.

4.
Bersedekah ketika bertaubat.

Kaab r.a berkata:

Ya Rasulullah, diantara tanda taubatku adalah dgn mengeluarkan hartaku sebagai sdekah kepada Allah dan Rasulnya. Rasulullah s.a.w menjawab "Kamu tidak menyedekahkan semua hartamu adalah lebih baik"(Hr Bukhari dan Muslim)


5.
Menyelak baju ketika permulaan hujan supaya terkena air hujan.

Ini berdasarkan perbuatan Nabi s.a.w yg diriwayatkan oleh Imam Muslim.

6.
Bernafas 3x ketika minum di luar bekas air.

Ini berdasrkan hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: Nabi s.a.w bernafas ketika minum 3x.

7.
Doa diantara Azan dan Iqamah.

Nabi s.a.w bersabda:
Doa tidak ditolak diantara azan dan iqamah.(Hr Abu Daud)

rujukan: Lampiran majalah Wa'yu al-Islami keluaran505

http://akhisalman.blogspot.com/

Thursday, June 19, 2008

TARIKAT SOFI VS AJARAN SESAT


Sedikit Pengalaman Untuk Dikongsi


Suatu ketika dahulu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar saya pernah curiga terhadap tabligh, tarikat dan pergerakkan-pergerakkan Islam lain, perkara ini disebabkan penyebaran khabar-khabar angin yang memburukkan kumpulan-kumpulan tersebut. Tambah mencurigakan apabila seorang sahabat enggan menceritakan aktiviti yang dijalankan dalam tarikat yang dia sertai dengan alasan gurunya mengahalang untuk menceritakan secara detail aktiviti yang dijalankan kepada orang lain.



Saya pernah kritik kumpulan tersebut disebabkan kejahilan diri saya ketika itu, Namun alhamdulillah, Allah telah membuka peluang kepada saya untuk memahami perkara ini dengan mentakdirkan saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pengalaman disini telah mengubah persepsi buruk saya terhadap kumpulan tarikat , tabligh dan pergerak-pergerakkan islam yang lain.



Pada Aidilfitri yang lalu abang saya yang sudah dua tahun lebih menuntut ilmu disini telah membawa saya menemui syeikh-syeikh tarikat di sekitar bumi Mesir ini. , banyak pengalaman yang saya perolehi ketika menziarahi syeikh-syeikh tersebut, dalam artikel ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian satu kisah yang menyentuh hati dan membuatkan saya tahu apakah itu tarikat, dan apakah erti sebenar sifat zuhud yang diwar-warkan oleh pengikut tarikat yang mana sifat tersebut telah diterjemahkan oleh seorang syeikh tarikat yang saya temui.



Abang, saya dan beberapa sahabat lain telah berbuka puasa pada hari terakhir bulan Ramadhan di rumah Dekan Kulliah Usuludin Zaqaziq, Dr Muhammad Mahmud Ahmad Al-Hasyimiyah. Beliau merupakan khalifah(syeikh) Tarikal Al-Hasyimiyah. Allahyaraham bapanya merupakan pemilik salah sebuah syarikat minyak di Mesir. Setiap hari Jumaat pada setiap minggu dan pada bulan puasa, Dr. Muhammad akan mengadakan rumah terbuka untuk menjamu orang ramai makan. Pada waktu inilah orang ramai berduyun-duyun memenuhi dewan yang berdekatan dengan rumah beliau, untuk memohon doa, bantuan kewangan daripada beliau dan menjamu makanan yang disediakan dalam majlis tersebut.



Berbalik kepada cerita asal, kami telah berbuka puasa di dewan tersebut. Tetamu yang hadir dalam jamuan tersebut terlalu ramai lantas menyebabkan tempat duduk yang disediakan penuh dan tiada ruang untuk Dr. Muhammad duduk. Rentetan daripada situasi tersebut, Dr. Muhammad telah mempersilakan hadirin yang hadir makan terlebih dahulu. Selepas orang ramai selesai menikmati makanan, kami telah melihat Dr. Muhammad mengambil tempat duduk dari salah sebuah kerusi yang telah dikosongkan oleh seorang tetamu , dan beliau memakan sisa makanan yang ditinggalkan oleh tetamu tersebut. Perbuatan tersebut menyebabkan hati saya sebak dan pelbagai persoalan timbul dalam benak pemikiran saya, kenapa gambaran yang diberikan oleh masyarakat Malaysia tentang syeikh tarikat berbeza dengan apa yang saya lihat pada hari tersebut?, Dia seorang yang kaya anak kepada empunya syarikat minyak, masakan seorang yang kaya dan berpengaruh seperti beliau boleh memakan sisa-sisa makanan tetamunya?. Kalau dia nak dia boleh meminta mana-mana pembantu rumahnya menyiapkan makanan yang yang khas untuknya. Tapi dia tak buat macam tu, berbekalkan kezuhudan yang ada dalam diri dia, dia sanggup makan sisa makanan orang. Inilah pengalaman pertama saya bertemu dengan syeikh tarikat di mesir,lantas membuatkan saya kenal apakah erti sebenar sifat zuhud sekaligus menghapuskan persepsi negatif terhadap tarikat sofi yang wujud hasil kejahilan diri ini.. Semoga kisah ringkas ini dapat dijadikan iktibar .



Adakah Ilmu Taswuf Bertentangan dengan Amalan Salaf



Orang-orang islam selepas zaman kewafatan Nabi Muhammad s.a.w tidak menggelar diri mereka selain gelaran "sahabat Nabi". Dan pada zaman yang seterusnya sahabat kepada para sahabat nabi dinamakan "At-tabii'n". Kemudian dinamakan golongan selepas mereka sebagai "Tabi' Tabii'n", kemudian berlakulah perselisihan diantara manusia, ada golongan yang terlalu menumpukan urusan agama dengan mengutamakan sikap zuhud dan kehambaan, ada golongan yang melakukan bida'ah saiyiah, dan pelbagai golongan lagi. Setiap daripada golongan tersebut mengatakan merekalah golongan yang tinggi kezuhudannya.



Ilmu Tasawuf pula merupakan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wataa'la kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaa'h yang menjaga diri agar segala perbuatan mereka senantiasa bersesuaian dengan petunjuk ilahi. Istilah tasawuf ini timbul sebelum tahun 200 hijrah lagi. Fakta ini telah dinukilan oleh As-Salmi didalam kitabnya "Tabakot As-Sofiah". Fakta ini menafikan dakwaan golongan yang mengelar diri mereka salafi , akan tetapi menolak ajaran sofi dengan mengatakan ajaran tersebut bertentangan dengan amalan salaf (3 kurun pertama hijrah), bukankah istilah tersebut telah wujud sejak zaman salaf?



Ajaran Sesat Bukan Tarikat Sofi



Kita tidak menafikan terdapat sebahagian daripada mereka yang mengaku ahli tasawuf, dan mengajak orang lain supaya menyertainya, sedangkan keadaan dan cara mereka tidak melambangkan sifat-sifat kezuhudan dan kesofian, mereka tidak belajar agama dan tidak beramal dengan amalan yang bertepatan dengan hukum syara', mereka mengadakan majlis tari-menari dan melakukan percampuran diantara lelaki dan perempuan dalam halaqah zikir mereka, mereka melakukan amalan-amalan yang menyeleweng daripada amalan yang dibenarkan syara', ini adalah ajaran sesat, bukanlah amalan tasawuf, dan bukanlah tarikat sofi, kerana sesungguhnya ajaran tasawuf yang sebenarnya tidak menjalankan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara'.



Apa yang lebih menyedihkan sebahagian daripada kita yang kurang pengetahuan dan pengalaman tentang perkara ini, menghukum dan menuduh apa yang dilakukan oleh ajaran sesat tersebut aktiviti yang dilakukan oleh semua tarikat sofi. Disini ada beberapa persoalan, adakah sekiranya wujud ajaran sesat sepertimana ajaran yang dibawa oleh Ayah Pin, dan mereka mengaku segala aktiviti yang mereka lakukan adalah ajaran islam maka kita akan menghukum semua penganut agama islam sesat? Adakah adil jika kita menghukum dengan menggunakan cara tersebut? Apabila sebahagian manusia yang mengaku islam dan melakukan amalan yang sesat kita menghukum semua orang islam sesat?. Sudah pasti tidak adil, begitu juga ajaran sesat yang menggelar diri mereka tarikat sofi, kita tak boleh mengatakan aliran mereka adalah aliran tarikat sofi kerana aktiviti yang dianjurkan oleh aliran mereka jelas bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh tarikat sofi yang senantiasa mengamalkan amalan-amalan yang bertepatan dengan syara'.




Zikir dalam Keadaan Berubah-ubah Berdiri dan Duduk



Sebahagian daripada kita terkeliru dengan video-video yang sedang rancak disebarkan yang mana penyebaran tersebut tidak ada tujuan lain melainkan untuk memburuk-burukkan tarikat sofi. Video yang yang memaparkan sekolompok manusia sedang berzikir dalam keadaan sekejap duduk sekejap berdiri, menimbulkan tanda tanya, adakah apa yang dilakukan oleh mereka bertentangan dengan syara'? kenapa mereka tidak berzikir dalam keadaan duduk sahaja seperti biasa yang dilakukan di masjid-masjid selepas solat?



Lebih malang lagi apabila terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengiringkan video majlis zikir tersebut dengan lagu-lagu rock, ini merupakan satu fitnah yang besar terhadap tarikat sofi, perbuatan tersebut jelas mengelirukan orang ramai dan membuatkan orang ramai berperasangka buruk terhadap tarikat sofi. Hakikatnya, tiada lagu rock yang dipasang semasa majlis zikir tersebut dijalankan, mereka berzikir secara berjemaah dalam keadaan berdiri dan duduk tanpa iringan sebarang lagu. Saya yakin seandainya pihak tersebut tidak bertaubat dan memperbetulkan kesalahan mereka, mereka pasti akan dipertanggungjawabkan dan didakwa oleh Allah s.w.t diakhirat kelak disebabkan fitnah yang mereka sebarkan di youtube dan dilaman-laman web mereka.



Secara adilnya, kita tidak boleh menyalahkan golongan tarikat seandainya mereka berzikir dalam keadaan yang berubah-ubah sekejap berdiri dan sekejap duduk. Apabila berlaku sesuatu masalah dan kekeliruan sepatutnya kita kena menilai perbuatan mereka tersebut berdasarkan kacamata Islam, bukan mengikut logic akal pemikiran kita Apa yang mereka lakukan tidak bercanggah dengan syara' malahan bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.



Firman Allah:



{ان في خلق السماوات والأرض واختلاف الليل والنهار لاّيات لأولى الألباب, الذين يذكرون الله قياما وقعودا وعلى جنوبهم }



Maksudnya: "Sesenguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang berzikir (mengingati Allah) sambil berdiri, duduk dan dalam keadaan berbaring…" (Ali-Imran: 190-191)



Hadis:



{وعن عائشة رضي الله عنها قالت: "كان رسول الله يذكر الله تعالى على كل أحيانه}



Maksudnya: Daripada Aisyah Radhiaallahu A'nha die telah berkata: " Rasulullah berzikir(memperingati) Allah dalam setiap keadaan" (Sohih Muslim)



Berdasarkan dalil-dalil tersebut, jelas apa yang dilakukan oleh tarikat-tarikat sofi, berzikir sekejap dalam keadaan berdiri sekejap duduk adalah bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Tidak wajar kita mempertikaikannya kerana ianya tidak bercanggah dengan Syara'.




Kenapa Mesti Ada Tarikat&Tasawuf tak cukup ke Al-Quran& As-Sunnah



Ada sebahagian orang yang berkata: "Kenapa kita tidak mempelajari cara-cara membersihkan diri terus dari Al-Quran dan As-Sunnah kenapa perlu ada ilmu tasawuf dan tarikat sofi?" kata-kata ini pada zahirnya seolah-olah membawa rahmat akan tetapi hakikatnya membawa azab. Sedikit persoalan kepada golongan tersebut, kenapa kita tidak mempelajari rukun-rukun, perkara-perkara sunat, dan perkara makruh dalam solat terus daripada Al-Quran dan As-Sunnah? Kita hanya mengetahui perkara tersebut selepas mempelajari satu ilmu yang digelar ilmu Feqh yang mana ilmu tersebut telah disusun oleh para fuqaha', dan mereka juga telah mengistimbatkan setiap hukum yang ada didalam ilmu tersebut berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Dan mengapa seandainya ada pihak yang mengatakan kita boleh mempelajari hukum-hakam agama terus dari Al-Quran dan As-Sunnah, kita belum pernah jumpa seorang alim dalam bidang Feqh belaja mempelajari ilmu tersebut terus dari Al-Quran dan As-Sunnah tanpa melalui kitab-kitab Feqh?



Begitu juga didalam tarikat dan tasawuf, terdapat beberapa perkara yang tidak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah, akan tetapi kita hanya boleh mempelajarinya dengan cara musyafahah(berhadapan) dengan syeikh, tidak sboleh dipelajari dengan membaca kitab semata-mata sepertimana cara kita mempelajari ilmu Tajuwid. Bahkan ulama-ulama telah menetapkan beberapa istilah yang khas untuk ilmu tersebut, sebagai contoh istilah "mad lazim muthaqal", "mad lazim kalimi muthaqal" siapakah yang meletakkan istilah mad lazim tersebut? Apakah wujud dalil terhadap tentang perkara tersebut? Siapakah yang menetapkan kadar harakat tersebut supaya diikut oleh sekalian mu'min ketika membaca al-quran? Sesungguhnya yang menetapkan perkara tersebut adalah ulama' tajwid. Begitu juga ilmu Tasawuf yang telah dicipta oleh ulama-ulama tasawuf dan telah berkembang sejak zaman Junaid kurun ke4 hijrah sehinggalah ke hari ini, ilmu tersebut dikembangkan disebabkan berlakunya keruntuhan akhlak dan penyelewengan(ajaran sesat) dalam tarikat sofi pada zaman tersebut. Penyelewengan tersebut menyebabkan orang ramai menyangka ajaran sesat tersebut merupakan ajaran tarikat sofi. Moga-moga Allah taa'la melindungi Ilmu Tasawuf dan ahli-ahlinya daripada fitnah dunia. Firman Allah mafhumnya:



"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai pengkhianat lagi mengingkari ni'mat"(Al-Haj: 38)


Wallahua'lam


2.26am 15/06/2008

Syari' Madrob, Mansurah

Mesir. ِ

Rujukan:


1- Al-Fatawa (Dr A’tiah Saqar)


2- Al-bayan (Dr Ali Jumaa’h)


3- Riyadhus Solidin (Imam An-Nawawi)


4- Tafsir Al-Quran Al-Karim


5- Dan lain-lain


Tuesday, June 17, 2008

ADAKAH WANITA WAJIB MANDI SEKIRANYA KELUAR AIR MANI



PENGENALAN


Para imam fuqaha' telah bersepakat seandainya seorang lelaki atau wanita keluar air mani maka mereka diwajibkan mandi wajib untuk menghilangkan hadas besar tersebut.(1)



Mereka berkata: Sesungguhnya air mani bagi lelaki adalah air yang likat yang keluar ketika seseorang itu naik syahwatnya dan ianya keluar dalam keadaan terpancut. Manakala bagi perempuan pula air tersebut cair dan berwarna kekuning-kuningan. Air tersebut keluar sama ada ketika kedua-duanya (lelaki dan perempuan menjalankan hubungan persetubuhan ataupun bermimpi.



Telah diriwayatkan oleh Imam Muslim didam kitab Sohihnya:


Maksudnya: Sesungguhnya Ummu Sulaim telah berkata, dia telah bertanya Nabi Muhammad s.a.w tentang (hukum) seseorang wanita yang melihat didalam mimpinya sepertimana yang dilihat oleh seorang lelaki? Maka Nabi menjawab: "Sekiranya seseorang perempuan melihat perkara itu maka mandilah (mandi wajib). Maka Ummu Sulaim berkata: " Aku malu tentang perkara ini": "Adakah terjadi seperti itu? Maka Nabi bersabda: "maka darimana berlakunya kesamaan?". Dalam satu lafaz Ummu Sulaim berkata: "Adakah (wajib) keatas perempuan mandi sekiranya dia berihtilam (keluar air mani) ? Maka nabi bersabda: " Ya, seandainya dia melihat air (mani)"(2)



Wajib kepada lelaki dan perempuan mandi (wajib) sekiranya air mani keluar dalam keadaan naik syahwatnya sama ada ketika waktu dia sedar ataupun waktu dia tidur. Telah berkata Imam Tirmizi: "Kami tidak (pernah) mengetaui ada khilaf dalam perkara ini.



MAZHAB SYAFIE


Hukum mandi tersebut wajib, melainkan Imam Syafie tidak mensyaratkan keluarnya air mani tersebut dalam keadaan terpancut dan dalam keadaan syahwat sebagai syarat wajibnya mandi.(3) Iaitu tidak kira sama ada lelaki ataupun permpuan, baligh atau pun hampir umur baligh, merasa kepuasan setelah keluar air mani atau tidak, berakal atau gila, kesemuanya diwajibkan mandi seandainya keluar air mani.



MAZHAB HANAFI, MALIKI & HAMBALI


Manakala didalam mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali pula, tidak wajib mandi melainkan air mani itu keluar dalam keadaan syahwat dan terpancut (4). Dan dalil bagi pendapat mereka ialah daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud: "Sesungguhnya nabi menyifatkan air mani yang mewajibkan mandi adalah sekiranya air mani tersebut dalam keadaan yang putih dan likat", dan sesungguhnya nabi telah bersabda kepada Saidina Ali r.a : "Sekiranya terpancut keluar aur maka mandilah".



Oleh yang demikian, sekiranya bermimpi seseorang perempuan itu, dan keluar air mani, perempuan tersebut wajib mandi, dan haram bagi perempuan tersebut melakukan ibadah solat, membaca al-quran, menyentuh mashaf Al-Quran, sujud tilawah, sujud syukur dan ibadah-ibadah yang lain, melainkan selepas permpuan tersebut mandi wajib.



Wallahua'lam



5.14am 16/06/2008

Syari' Madrob, Mansurah

Mesir. ِ

Rujukan:

1- Al-Fatawa (Dr A’tiah Saqar) 1/134

2- Sohih Bukhari dan Muslim

3- Al-Majmu' (Imam An-Nawawi) 1/26

4- Feqh Hanafi: Hasyiah Radhul Mukhtar (Ibnu A'bidin) 1/148 , Feqh Maliki: Mawahibul Jalil (Al-Hitob) 1/305, Feqh Hanbali : Al-Mughni (Ibnu Qudamah) 1/197

Tuesday, June 10, 2008

ADAKAH TARIKAT DAN SOFI BERTENTANGAN DENGAN ISLAM?



PENGENALAN


Terdapat pelbagai kitab yang membincangkan tentang tarikat sofi, antara yang terawal ialah “Tobakot Al-sofiah” karangan Abu Abdul Rahman (412 hijrah) dan “Risalah Al-Qusyairiah Fi Ilmi Taswuf” karangan Abu Qasim Abdul Karim bin Hauzan Al-Qusyairi(465) hijrah.



Ilmu tasawuf merupakan satu manhaj tarbiah dalaman dan luaran yang boleh mehjadi pemangkin kepada seorang muslim untuk mncapai martabat ihsan yang telah dita’rifkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w :”melakukan ibadah seolah-olah kamu melihat Allah sekiranya kamu tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihatmu”(Sohih Bukhari).



Tasawuf merupakan program tarbiah, yang mengutamakan permbersihan jiwa daripada segala penyakit yang merosakkannya, yang mana penyakit-penyakit tersebut menyebabkan wujudnya satu hijab (halangan) diantara seorang hamba dan tuhannya, dan menyebabkan rosaknya hubungan seseorang itu dengan tuhannya, insan-insan lain, dan makhluk-makhluk ciptaan Allah sekaliannya.



Oleh kerana itu, tarikat sofi merupakan satu madrasah yang mana madrasah tersebut membantu pengikutnya untuk membersihkan diri daripada segala kotoran jiwa dan memperbaiki akhlak yang buruk bagi membolehkan seseorang itu memenuhi hadaf (tujuan) diutuskan junjungan besar s.aw sepertimana sabda baginda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”



Sesungguhnya, sudah menjadi tabiat nafsu seseorang manusia itu diserang dan dirosakkan oleh sekolompok penyakit jiwa seperti: Riya’(melakukan sesuatu untuk tujuan menunjuk-nunjuk) Takabbur(bangga dengan kehebatan diri) ananiah (keakuan) pemarah, bakhil, dendam, suka memaksa, hasad dengki, cenderung untuk melakukan maksiat, tamak halobA dan lain-lain. Sepertimana Firman Allah Taa’la ketika menghikayatkan kisah seorang perempuan yang mulia:



وما أبرئ نفسى إن النفس لامارة بالسوء إلا ما رحم ربى إن ربى غفور رحيم



Maksudnya: “ Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh tuhanku. Sesungguhnya tuhanku maha pengampun lagi maha penyayang.”






CIRI-CIRI TARIKAT



Oleh kerana itu, golongan salaf(sebelum) kita telah menyedari kepentingan didikan jiwa dan keperluan untuk membersihkannya daripada penyakit-penyakit jiwa. Oleh kerana itu tarikat ini telah diwujudkan untuk membolehkan ulama-ulama kita bukan sahaja mampu mengubati diri mereka sendiri malah mampu mengubati jiwa-jiwa masyarakat yang semakin hari semakin parah disebabkan serangan penyakit hati yang betalu-talu. Semestinya bagi sesebuah tarikat itu mencakupi beberapa sifat utama:


1. Berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah, oleh kerana itu tidak dapat dinafikan tarikat sofiah ini merupakan manhaj(jalan) Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang menyalahi Al-Quran dan As-Sunnah ianya bukanlah tarikat sofiah bahkan ianya adalah tarikat yang ditolak dan ditegah oleh syara’.



2. Tidak dinamakan sebuah tarikat seandainya didikan yang terkandung didalamnya terpisah daripada didikan yang terkandung dalam syaria’h, bahkan tarikat itu merupakan sebutir daripada butiran-butiran mutiara yang wujud didalam didikan syaria’h.





CIRI-CIRI TASAWUF



Tasawuf juga mempunyai tiga ciri yang mana ciri-ciri tersebut digalakkan dan diseru di dalam Al-quran supaya dilakukan oleh orang-orang yang beriman:



1. Menumpukan didikan jiwa, muraqabah (merasakan diri diperhatikan Allah) dan membersihkannya daripada segala keburukan. Ini bersesuaian dengan firman Allah:



{ونفس وما سواها * فألهمها فجورها وتقواها* قد أفلح من زكاها* وقد خاب من دساها}



Maksudnya: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah ilhmkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” (As-syams 7-10)




2. Berzikir mengingati Allah sebanyak banyaknya. Firman Allah:



{يأيها الذين ءامنوا اذكروا الله ذكرا كثيرا}



Maksudnya: “Wahai orang2 yang beriman berzikirlah (ingati Allah) sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab 41)



Sabda nabi:


{لا يزال لسانك رطبا بذكر الله}



Maksudnya: “ Basahilah lidah kamu dengan zikrullah” (Sunan Ahmad dan Sohih Ibnu Hibban)




3. Zuhud dalam kehidupan di dunia, tidak mencintai dunia dan cenderung kepada kehidupan akhirat.



{وما الحياة الدنيا إلا لعب ولهو وللدار الآخرة خير للذين يتقون أفلا تعقلون}




Maksudnya: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan permainan dan senda gurauan. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa adakah kamu tidak memikirkannya?”. (Al-An’aam 32)






SEBAB WUJUDNYA PELBAGAI ALIRAN TARIKAT




Syeikh-syeikh yang membimbing anak-anak muridnya berzikir , membantu mereka dalam proses pembersihan jiwa, dan mengubati penyakit-penyakit yang wujud didalam hati-hati mereka, merupakan seorang guru dan pembimbing yang menetapkan manhaj yang tertentu yang bersesuaian untuk mengubati penyakit yang dihadapi oleh hati pesakit-pesakitnya.




Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menasihatkan setiap insan yang meminta nasihat daripada beliau dengan nasihat yang pelbagai dan bersesuaian dengan diri insane tersebut. Seorang lelaki telah datang menemui beliau dan berkata: “ Wahai Rasullullah khabarkan kepadaku sesutau yang membolehkan diriku jauh daripada kemurkaan Allah”, maka nabi berkata: “Jangan marah” (Sohih Bukhari).


Dan datang seorang yang lain dan berkata: “ Khabarkan kepadaku sesuatu yang aku boleh hidupkan amalanku dengannya, maka nabi berkata kepadanya: “Sentiasalah basahi lidahmu dengan berzikir kepada Allah”. (Musnad Ahmad, Sohih Ibnu Hibban), sebahagian daripada sahabat ada yang memperbanyakkan solat malam, sebahagian yang lain ada yang memperbanyakkan bacaan al-quran, zikir sedekah dan lain-lain.





Ini tidak bermakna pengikut tarikat perlu meninggalkan segala urusan dunia, akan tetapi seseorang pengikut tarikat hanya perlu memperbanyakkan ibadah tertentu untuk menjadi wasilah mardhiatullah( keredaan Allah). Asas perbuatan tersebut adalah berdasarkan berbilangnya pintu didalam syurga yang satu, yang menunjukkan pelbagai cara boleh digunakan untuk memasuki sesebuah syurga.



قال النبي : { "لكل أهل عمل باب من أبواب الجنة يدعون بذلك العمل ولأهل الصيام باب يدعون منه يقال له الريان"}




Sabda Nabi: “Bagi setiap pengamal (kebajikan) akan (melalui) satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang akan menyerunya kerana amal tersebut (yang dilakukannya) dan untuk ahli puasa mereka akan diseru oleh pintu yang digelar ‘Ar-Rayan’ ” (Sohih Bukhari)




Rentetan daripada kewujudan pelbagai uslub dan cara untuk memasuki syurga ilahi, maka wujudlah pelbagai jenis tarikat yang berbeza-beza amalannya, sebahagiannya menumpukan ibadah zikir, sebahagian yang lain menumpukan ibadah puasa, solat dan ibadah-ibadah lain yang seumpama dengannya. Sungguhpun begitu, walaupun berbeza-beza uslub dan amalan tapi tujuan mereka hanyalah satu untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata, yang mana dengan keredhaan itu membolehkan mereka memasuki syurga melalui salah satu daripada pintu-pintunya.



Bersambung………


5.30pm 10/06/2008


Syari' Madrob, Mansurah


Mesir. ِ


Rujukan:



1- Al-Fatawa (Dr A’tiah Saqar)


2- Al-bayan (Dr Ali Jumaa’h)


3- Tafsir Al-Quran Al-Karim


4- Dan lain-lain


Monday, June 9, 2008

KEFAHAMAN YANG SEBENAR TENTANG BIDA'H


Bida'h dari segi bahasa:

Untuk memudahkan kita memahami bida'h dan mendapat kefahaman tentang perkara tersebut dengan pemahaman yang betul(sohih) kita mestilah mengetahui penta'rifnya terlebih dahulu.


Bida'h bermaksud "Sesuatu perkara baru dan apa yang dicipta dalam urusan agama setelah sempurnanya agama tersebut"( Mu'jam Asasi). Ulama telah berpendapat pembahagiannya dari segi bahasa;


Ibnu Sakit: "Bida'h merupakan semua perkara baru, dan kebanyakkan perkara baru yang dilakukan oleh pelakunya secara u'ruf (adat) merupakan sesuatu yang dicela."


Abu Adnan: "Orang yang melakukan bida'h ialah orang yang melakukan sesuatu perkara yang mana perkara tersebut tidak pernah dilakukannya, dan seseorang yang mencipta sesuatu perkara iaitu orang pertama yang melakukan sesuatu perkara yang tidak ada orang lain yang melakukan perkara tersebut sebelumnya"



Bida'h dari segi syara':

Secara ringkasnya terdapat dua cara yang digunakan oleh ulama-ulama kita dalam memberikan pengertian bida'h dari segi syara'. Cara-cara tersebut ialah:



1- Cara yang pertama: Iaitu cara Sulthonul Ulama I'zuddin bin Abdul Salam yang mengungkapkan bidaa'h dengan ungkapan, sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan beliau membahagikannya kepada beberapa hukum.


Sepertimana yang diungkapkan oleh beliau didalam kitabnya Al-Qawaid bida'h merupakan sesuatu perbuatan yang tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan ianya terbahagi kepada beberapa bahagian: "Bida'h wajib, bida'h haram, bida'h sunat, bida'h makruh, dan bida'h harus. Dan jalan untuk menilai perkara tersebut adalah dengan menggunakan kaedah-kaedah syara', seandainya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah wajib maka ianya merupakan bida'h yang wajib, sekiranya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah haram maka ianya merupakan bidaa'h yang haram, sekiranya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah sunat maka ianya merupakan bida'h yang sunat, sekiranya perkara tersebut termasuk didalam kaedah-kaedah makruh maka ianya merupakan bida'h yang makruh, sekiranya perkara tersebut dalam kaedah-kaedah harus maka ianya merupakan bida'h yang harus"



Makna bidaa'h tersebut dikuatkan lagi oleh Imam Nawawi sepertimana kata-kata beliau yang dinaqalkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqolani didalam kitabnya Fathul Bari: "Setiap perkara yang tidak berlaku didalam zaman Nabi Muhmmad s.aw dinamakan bida'h, akan tetapi sebahagian daripada perkara tersebut adalah bida'h hasanah(baik) dan sebahagian lagi sebaliknya iaitu bida'h mazmumah(yang dikeji).




2- Cara yang kedua: Iaitu cara ulama'-ulama' yang menjadikan pengertian bida'h dari segi syara' lebih khusus daripada daripada pengertiannya dari segi bahasa, maka mereka menjadikan bida'h merupakan bidaa'h mazmumah(yang dikeji) sahaja. Sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Rejab Al-hambali yang tercatit didalam kitab Jamiu'l U'lum Walahkam:


" Maksud bida'h ialah sesuatu perkara baru yang tidak ada asalnya dari syara' yang menunjukkan tentang perkara tersebut, dan adapun perkara yang ada asal dalam syara' maka ianya bukanlah bida'h, ianya merupakan bidaa'h dari segi bahasa sahaja."



Pada hakikatnya tiada perbezaan diantara dua pengertian dan pemahaman tersebut, perbezaan yang wujud diantara keduanya hanyalah cara untuk sampai kepada kefahaman yang disepakati tersebut. Bida'h Mazmumah yang mendapat dosa oran yang melakukannya ialah bida'h yang tidak ada asalnya di dalam syariat islam, dan itulah yang dimaksudkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim kitabnya Sohih Muslim:


Maksudnya: "setiap bida'h itu dholalah(sesat) "



Ini merupakan kefahaman yang jelas dan sorih daripada para imam fuqaha', dan para ulama'. Jesteru itu Imam Al-baihaqi telah meriwayatkan kata2 Imam Syafie didalam kitab karangannya "Manaqibul As-Syafie":


" Perkara-perkara baru terbahagi kepada dua, yang pertama: Perkara-perkara baru yang menyalahi Al-Quran, As-Sunnah, atau Ijma' maka ianya adalah bida'h dholalah(sesat), kedua: Perkara-perkara baru baru daripada perkara yang baik tidak bertentangan daripada salah satu perkara diatas maka ini adalah perkara baru yang tidak dicela(bida'h hasanah).



Telah berkata Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali didalam kitab Al-Ihya': "Bukanlah semua perkara yang dicipta(bida'h) ditegah daripada dilakukan, bahkan yang ditegah adalah bida'h yang bertentangan dengan sunnah yang telah thabit, dan perkara yang telah ditetapkan syara"



Imam Nawawi telah menaqalkan kata-kata Sulthonul Ulama' I'zuddin bin Abdul Salam didalam kitab Tahzib Al-Asma' Wal-Lughat: " Syeikh Izuddin bin Abdul Salam telah berkata di akhir kitab Al-Qawaid, bida'h terbahagi kepada beberapa pembahagian, wajib, haram, sunat, harus…"



dan Imam Nawawi telah berkata sepertimana itu juga ketika membincangkan hukum bersalaman selepas solat didalam kitabnya Al-Azkar: " Ketahuilah sesungguhnya bersalaman disunatkn dalam setiap pertemuan, dan apa yang dilakukan oleh manusia bersalaman selepas solat Subuh dan Asar tidak ada asal dalam agama, akan tetapi tidak mengapa melakukannya, sesungguhnya asal bersalaman itu adalah sunat "



Telah berkata Ibnu Athir didalam kitabnya An-Nihayah: " Bida'h itu dua bahagian: " Bida'h huda(ada petunjuk) bida'h dholal(sesat) bida'h sesat ialah bida'h yang bertentangan dengan apa yang disuruh oleh Allah dan Rasulnya maka ianya berada dalam kedudukan yang dikeji dan mungkar, manakala sesuatu perkara yng berada ditempat yang umum tidak diharuskan Allah dan tidak digalakkan oleh nabi maka ianya berada dalam kedudukan yang dipuji." Dan kemudian beliau berkata: "Bida'h Hasanah pada hakikatnya merupakan sunnah, dan dita'wilkan apa yang terkandung didalam hadis :"Setiap perkara baru adalah bida'h" adalah perkara yang tidak bertentangan dengan usul syariat dan tidak bertentangan dengan sunnah.



Begitu sepertimana yang dikatakan oleh Ibnu Manzur dalam memberikan pengertian bida'h dari segi istilah: " Bida'h huda(ada petunjuk) bida'h dholal(sesat) dan bida' sesat ialah bida'h yang bertentangan dengan apa yang disuruh oleh Allah dan Rasulnya maka ianya berada dalam kedudukan yang dikeji dan mungkar, manakala sesuatu perkara yng berada ditempat yang umum tidak diharuskan Allah dan tidak digalakkan oleh nabi maka ianya berada dalam kedudukan yang dipuji"



Tidak sepatutnya perkara tersebut bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh syara', kerana Rasulullah telah menjanjikan pahala kepada mereka yang memulakan bida'h hasanah. Sabda beliau: "Barang siapa yang memulakan sesuatu perkara yang baik maka dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal dengan perbuatan tersebut." Dan Nabi telah bersabda: " barangsiapa memulakan sesuatu perkara yang buruk maka dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang beramal dengan perbuatan tersebut"(Sohih Muslim).



Saidina Umar telah berkata: "Sebaik-baik bida'h ini". Apabila sesuatu perkara itu merupakan sebahagian daripada perkara-perkara yang baik dan termasuk didalam kedudukan yang terpuji, maka dia menamakannya bidaa'h dan memujinya, kerana Nabi Muhammad tidak melakukannya, Nabi hanya solat secara berjemaah selama beberapa malam kemudian meninggalkan perkara tersebut, serta perkara tersebut tidak dilakukan pada zaman Saidina Abu Bakar, oleh kerana itu dinamakan perkara tersebut bida'h, dan pada hakikatnya perkara tersebut adalah sunnah Nabi bersabda: "Hendaklah kamu mengikut sunnahku dan sunnah khulafau' Rasyiddin selepasku.



Bagaimanakah penilaian ulama-ulama kita terhadap bida'h?


Jumhur(majoriti) ulama' telah berpendapat bida'h terbahagi kepada beberapa bahagian, sepertimana yang telah dikatakan oleh ulama-ulama kita:


Mazhab Syafie: Imam Syafie, dan pengikut-pengikutnya Izuddin bin Abdul Salam, Imam

Nawawi, dan Abu Syamah.



Mazhab Maliki: Al-Qarafi,Az-Zarqani



Mazhab Hanafi: Ibnu Jauzi


Mazhab Zohiri: Ibnu Hazmi



Disini bolehlah diselarikan pendapat-pendapat tersebut berdasarkan penta'rifan yang ditetapkan oleh Sulthonul Ulama' I'zuddin bin Abdul Salam didalam kitabnya Al-Qawaid, bida'h terbahagi kepada beberapa pembahagian, wajib contohnya: Mempelajari ilmu nahu yang digunakan untuk memahami kalam Allah, dan ini wajib kerana pembelajaran ilmu tersebut perlu untuk melindungi syariah, dan sesuatu yang tampanya tidak sempurna perkara yang wajib maka hukumnya adalah wajib, Bid'ah yang haram, seperti Mazhab Qadariyyah, Jabariyyah, Murjiah, Mujassimah. Bid'ah sunat seperti membina madrasah, sekolah. Bid'ah makruh seperti memperhiaskan masjid. bid'ah Harus seperti Bersalaman selepas solat Subuh dan Asar. Ulama-ulama' tersebut menguatkan hujah mereka yang bida'h itu terbahagi kepada lima bahagian berdasarkan pelbagai dalil, diantaranya:


1. Kata-kata Saidina Umar tentang solat terawih secara berjemaah di masjid: "Sebaik-baik bida'h ini"


عن عبد الرحمن بن عبد القاري أنه قال خرجت مع عمر بن الخطاب رضي عنه ليلة في رمضان فقد روي الله عنه ليلة في رمضان إلى المسجد فإذا الناس أوزاع متفرقون يصلي الرجل لنفسه ويصلي الرجل فيصلي بصلاته الرهط فقال عمر إني أرى لو جمعت هؤلاء على قارئ واحد لكان أمثل ثم عزم فجمعهم على أبي بن كعب ثم خرجت معه ليلة أخرى والناس يصلون بصلاة قارئهم قال عمر نعم البدعة هذه والتي ينامون عنها أفضل من التي يقومون يريد آخر الليل وكان الناس يقومون أوله



Maksudnya: Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Qari, katanya: Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama Sidina ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh ke masjid. Ketika itu orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya. ‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku keluar pada malam yang lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (Ubai bin Ka‘ab). Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bid‘ah adalah perkara ini, sedangkan mereka yang tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam). (Riwayat Al-Bukhary)



2. Ibnu Umar menamakan Solat Dhuha yang dilakukan secara berjemaah di masjid sebagai bida'h dan ianya merupakan diantara perkara-perkara yang baik.


روي عن مجاهد قال:" دخلت أنا و عروة بن الزبير المسجد فاذا عبد الله بن عمر جالس الى حجرة عائشة, واذا ناس يصلون في المسجد

صلاة الضحى, فسألناه عن صلاتهم, فقال: بدعة" (صحيح البخاري)


Maksudnya: Diriwayatkan daripada Mujahid beliau telah berkata: Aku telah masuk bersama Urwah bin Zubair ke dalam masjid ketika itu Abdullah bin Umar sedang duduk di dalam bilik Aisyah dan sekolompok mausia sedang solat Dhuha berjemaah di dalam masjid, maka kami bertanya beliau tentang solat mereka, maka beliau menjawab: bida'h.



3. Hadis-hadis yang memberi faedah kepada pembahagian bida'h kepada hasanah dan saiyiah.


قال النبي: "من سن سنة حسنة, فله أجرها وأجر من عمل بها الى يوم القيامة, ومن سن سنة سيئة, فعليه وزرها ووزر من عمل بها الى يوم

القيامة"


Maksudnya: "Barang siapa yang memulakan sesuatu perkara yang baik maka dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal (mengikuti) perbuatan tersebut, dan barangsiapa yang memulakan sesuatu perkara yang buruk maka dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang beramal (mengikuti) perbuatan tersebut sehingga hari kiamat"(Sohih Muslim).



Daripada perbincangan diatas telah jelas kepada kita terdapat dua pendapat tentang bida'h. Pendapat yang (ijmal)ringkas iaitu pendapat yang diutarakan oleh Ibnu Rejab Al-hambali dan selainnya, sesungguhnya perbuatan-perbuatan seseorang yang diberikan pahala sekiranya melakukannya dan disyaria'tkan supaya melakukannya tidaklah dinamakan bida'h dari segi syara' dan ianya merupakan bida'h dari segi lughah. Dan beliau bermaksud perkara tersebut tidak dinamakan bida'h mazmumah dari segi syara'. Dan pendapat yang kedua pendapat yang tafsil(terperinci) sepertimana yang telah disebut oleh Izuddin bin Abdul Salam, apa yang kita mahukan adalah pendapat yang terperinci seperti yang disdbut oleh Izuddin bin Abdul Salam.



Jesteru itu berdasarkan apa yang telah kita perbincangan diharap sahabat-sahabat dapat memahami masalah tersebut secara sempurna, kerana seandainya kita gagal memahaminya ianya boleh memberikan kesan buruk dalam pemikiran kita secara khususnya dan umat Islam yang lain secara umumnya. Begitu juga cara kita menilainya dalam permasalahan feqah. Kita dapat lihat sebahagian daripada saudara kita jahil dalam menghukum saudara-saudara yang lain dengan mengatakan saudaranya itu ahli bida'h, ahli fasiq, ahli neraka dan lain sedangkan pada hakikatnya merekalah yang gagal menguasai perkara tesebut, dan hanya mengambil sebahagian pandangan ulama' sebagai hujah mereka. Kita mohon perlindungan daripada Allah diatas kejahilan mereka terhadap perkara yang telah jelas ini. Marilah kita sama-sama memohon keselamatan dan rahmat dari tuhan. Wallahua'lam.



Rujukan : Kitab Al-Bayan
Karangan : Mufti mesir - Dr. Ali Jumah

7.00pm 18/06/2008

Syari' Madrob, Mansurah

Mesir. ِ


Related Posts with Thumbnails