Thursday, June 18, 2015

HUKUM MAKAN SELEPAS WAKTU SUBUH PADA BULAN RAMADAN










      Ijma’ (Sepakat) Ulama makan selepas azan subuh membatalkan puasa. Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya Al-Majmu’ syarah Al-Muhazzab menyatakan tidak ada khilaf dalam kalangan ulama batalnya puasa mereka yang makan selepas masuknya waktu subuh. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah :

إِنَّ بلالًا يؤذِنُ بليلٍ . فكلُوا واشربوا حتى يؤذِّنَ ابنُ أمِّ مكتوم

Mafhumnya : “ Sesungguhnya Saidina Bilal azan pada waktu malam ( azan sebelum subuh ) maka makanlah dan minumlah sehingga Saidina Ibnu Ummi Maktum azan ( azan subuh ) ( Sohih Bukhari 1918 )

      Adapun sebuah hadis  sohih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah nabi s.a.w bersabda :

إذا سَمِعَ أحدُكم النداءَ والإناءُ على يَدِهِ ، فلا يَضَعْهُ حتى يَقْضِيَ حاجتَه منه

Mafhumnya : “ Seandainya kamu mendengar azan, ada makanan di dalam bekas makanan di hadapan kamu janganlah kamu letak sehingga kamu selesaikan hajat kamu” ( Hadis Sohih riwayat Hakim 462 )

      Imam Al- Nawawi menjelaskan pada zaman nabi ada dua azan, azan sebelum Subuh yang dikumandangkan oleh Saidina Bilal dan azan Subuh yang dikumandangkan oleh Saidina Ibnu Ummi Maktum. Kebenaran makan yang diizinkan oleh nabi untuk makan adalah azan pertama sebelum subuh yang dikumandangkan oleh Saidina Bilal.

      Oleh itu, tidak ada pertentangan dalam dua hadis tersebut, justeru itu ulama bersepakat makan selepas azan kedua (subuh) membatalkan puasa.

p/s: Permasalahan yang berlaku sekarang ada sebahagian tokoh yang menggalakkan masyarakat awam terus beramal dengan hadis yang berstatus Sohih tanpa merujuk perbahasan ulama. Ini menyebabkan ramai orang awam yang salah faham dan silap dalam beramal.

      Bukan semua hadis sohih boleh diamalkan. Ada hadis yang bertentangan maksudnya lalu ulama menghimpunkan maksud dua hadis tersebut. Ada hadis yang masih umum maksudnya, lalu dijelaskan oleh hadis yang lain . Ada hadis sohih yang telah dimansuhkan (dibatalkan) hukumnya. Ada hadis sohih yang hukumnya khusus untuk nabi atau sahabat tidak pada orang lain.

      Kesimpulannya, kita sebagai orang awam perlu mengikut mazhab ulama-ulama kita. Tindakan menyeru orang ramai supaya tidak bermazhab boleh mengundang malapetaka dan dosa . Kita sebagai orang awam tidak mampu memahami nas hadis atau al-quran dengan baik seperti ulama-ulama yang mujtahid. Oleh sebab itu, sebahagian sahabat-sahabat nabi yang tidak sampai taraf mujtahid turut mengikut mazhab sahabat-sahabat lain yang wujud pada zaman tersebut,  seperti mazhab Aisyah, mazhab Umar, mazhab Ibnu Umar dan lain-lain. Moga kita semua terselamat daripada fitnah dunia dan akhirat.

Rujukan: 

1. Al-Majmuk syarah Al-Muhazzab ( Imam Nawawi)

2.06pm 19/6/2015
Kampung Kempadang,
Kuantan.


Related Posts with Thumbnails