Pandangan Syariat
Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran tadi adalah diikat dengan syarat-syaratnya.  
Keharusan ini termasuk dalam umum ayat Allah SWT iaitu :-
   
للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن   
Ertinya : "Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan" ( An-Nisa : 32 )
Nabi SAW pula telah menyebutkan bahawa :-
   
 ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده  
Ertinya : "Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri" ( Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306)
Disebut juga dalam sebuah hadith dhoif : 
  
من بات كالاًّ من عمل يده بات مغفورًا له  
Ertinya : Sesiapa yang tidur dengan keletihan dari kerja tangannya sendiri, ia tidur dalam keadaan diampunkan oleh Allah SWT" ( Riwayat Ibn 'Asakir & At-Tabrani ; Al-Haithami dalam Majma Az-Zawaid : Ramai perawinya tidak aku kenali )
Justeru, bekerja dan mencari  nafqah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan  aqal bagi menanggung isteri dan keluarganya manakala wanita pada  asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan  keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika  terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan  Islam. Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat  kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut ( Nizam  Al-Usrah, Dr Uqlah Al-Ibrahim, 2/280) 
Kebanyakan wanita di zaman  Nabi dahulu tidak bekerja di luar rumah dan hanya bekerja di sekitar  rumahnya sahaja. Cuma sebahagian waniat islam adakalanya bertugas di  luar rumah sekali sekala berdasarkan keperluan. 
Ummu Atiyah sebagai contoh  yang bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawati  lelaki yang cedera di medan peperangan disamping itu menyediakan makanan  buat pejuang-pejuang Islam.
Termasuk juga adalah Rufaydah  Al-Aslamiyyah, yang merupakan doktor wanita Islam pertama yang mana Nabi  SAW menyediakan sebuah khemah khas di masjid Nabi untuk tujuan rawatan  bagi pejuang Islam yang cedera ketika peperangan 'Khandaq'.
Demikian juga Ar-Rabaiyyi`  bint Mu`awwiz and Umm Sulaim yang bertugas di luar rumah untuk memberi  minuman dan makanan kepada pejuang. Ash-Shifa' binti `Abdullah pula  pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita islam membaca  dan menulis di ketika baginda nabi Muhammad SAW masih hidup. 
Umm Mihjan pula bertugas  sebagai pembantu membersihkan masjid nabi sehingga ketika ia meninggal  dunia, nabi tercari-carinya dan diberitahu kemudiannya, ia telah  meninggal dunia. Sebagai penghormatan, baginda Nabi SAW pergi di  kuburnya lalu menunaikan solat jenazah buatnya. 
Selain itu, Khalifah `Umar ibn Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa' untuk menjalankan tugas al-hisbah atau 'Shariah auditor' di pasar di ketika itu bagi memastikan ia dijalankan menepati Shariah.
Syarat diharuskan wanita berkerja
   Semua ini menunjukkan  keharusannya, cuma semua keharusan tadi diikat dengan syarat tertentu  sebagaimana yang disebut oleh Prof. Dr Md Uqlah Al-Ibrahim antaranya (  Nizam Al-Usrah, 2/282 ; Al-Mar'ah Bayna Al-bayt Wal Mujtama', hlm 18) :-
1) Terdapat keperluan : menyebabkan ia terpaksa keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu peranan utama kepada rumahtangga) seperti :-
a- Kematian suami dan memerlukan belanja kehidupan. 
b- Memberikan bantuan kepada dua ibu bapa yang sangat miskin atau suami yang uzur tubuhnya. 
c- Membantu bisnes suami yang memerlukan banyak tenaga dan kos. 
d- Mempunyai keistemewaan yang hebat sehinggakan kemahiran ini sangat diperlukan oleh masyarakat umumnya.
2) Mestilah kerja ini bersesuaian dengan fitrah seorang wanita dan kemampuan fizikalnya.
3) Mestilah keluarnya untuk bekejra dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duanya dan bercampur baur dengan lelaki. 
Sebagaimana antara dalil yang  menunjukkan keperluan untuk tidak bercampur dan berasak-asak dengan  kumpulan lelaki sewaktu bekerja adalah firman Allah SWT :-
وَلَمَّا وَرَدَ مَاء مَدْيَنَ  وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ  امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي  حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاء وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ  
Ertinya : "Dan tatkala ia ( Musa a.s) sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternaknya dengan terasing dari lelaki).
Musa berkata: ""Apakah  maksudmu (dengan berbuat begitu)?"" Kedua wanita itu menjawab: ""Kami  tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu  memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah  lanjut umurnya" (Al-Qasas : 24 )
5)  Mendapat izin wali atau suami.
6) Mestilah kerjayanya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggung jawab di rumah terhadap anak serta suami. (Nazarat Fi Kitab As-Sufur, hlm 84)
7) Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata menyaingi lelaki.
8)  Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecatatan dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan ianya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya  sehingga pencen. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan  menanggung seluruh keluarga dengan baik. Kecuali jika mempunyai kualiti  yang amat diperlukan oleh masyarakat umum. 
Dipetik dari:
http://zaharuddin.net/  
