Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
(Tulisan  ini mungkin hanya sesuai dibaca oleh orang kebanyakan jika terdapat  bimbingan ilmuan agama disebabkan beberapa contoh isu teknikal yang  dibawakan)
Sebelum  ini saya telah pernah menulis perihal kejinya sangka buruk yang sering  berlingkar di dalam masyarakat. Hari ini saya ingin mengecilkan sedikit  skopnya, bagi menyambung beberapa isi dalam artikel ‘Inginkah  Ulama Malaysia seperti Al-Qaradawi’  yang ada menyebut berkenaan pertelingkahan atau perbezaan pandangan di  kalangan graduan agama di tanahair, malah di seantero dunia. Ada mereka  yang bertanya lanjut, justeru ini sebahagian ulasannya.
Tidak  dinafikan ada juga kedapatan jurutera yang bertelagah, namun mungkin  jarang disebabkan ilmu mereka tetapi mereka bertelagah mengenai pangkat,  jawatan, gaji, persaingan dan keputusan di tempat kerja. Ya mereka  mungkin bertelagah disebabkan urusan dunia.
Demikian  doktor, peguam, artitek, akauntan, guru dan sebagainya. Namun  pertelagahan menjadi lebih kelihatan buruk apabila punca yang dizahirkan  adalah bukan dunia tetapi disebabkan ilmu Islam atau akhirat.
Saya  masih baru dalam dunia dakwah, hanya baru berpengalaman menyertainya  sejak 20 tahun lalu. Dalam tempoh itulah saya terjun secara khusus dalam  bidang dakwah, sama ada secara fardiah atau jama’iyyah. Saya mungkin  masih agak mentah berbanding tokoh-tokoh pendakwah lain yang wujud di  Malaysia. Namun begitu saya kira, tempoh itu sewajarnya cukup untuk  memberi saya masa untuk meneliti antara punca pertembungan di kalangan  ilmuan atau graduan agama di Negara kita dan di peringkat antarabangsa.
Sedihnya, jumlah  mereka yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya  tidaklah ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula  perselisihan dan pertelingkahan, kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Mengapa demikian?
Bayangkan  mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20-30 % dari  seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dari situ terpecah dan  berbalah disebabkan aliran Salafi (digelar wahabi), Khalafi (digelar  Ahbash). Terpecah pula disebabkan politik, dan seterusnya terpecah lagi  disebabkan berlainan wala’ dan bai’ah masing-masing kepada jemaah  Tabligh, ABIM, JIM, IKRAM, ISMA, Tarekat, PAS, Hizb Tahrir dan lainnya.
Justeru, kelihatan semua pihak berlumba-lumba ‘mengejar’ sokongan dan dokongan, adakalanya   SEBAHAGIAN DARI MEREKA menggunakan teknik menghentam pihak yang lain  bagi meyakinkan kumpulannya lebih baik dari yang lain. TIDAK MAMPU lagi  untuk bersangka baik terhadap pihak lain.  Asyik tidak yakin dengan  kemampuan pihak lain.  Snagka buruk akhirnya didahulukan, cuba menelaah  niat  'tidak ikhlas' orang lain untuk menjustifikasikan tentangan. Perlukah demikian? Banyakkah keuntungan yang diperolehi oleh Islam dan umatnya melalui cara ini?
Bagaimanakah  boleh tertariknya kumpulan majoriti umat Islam yang tidak minat dan  tidak ambil berat urusan agama kepada Islam jika itulah gambaran yang  terlihat berlaku di kalangan mereka yang serius di bidang agama?.
Ketidaksatuan  ini hanya akan lebih memburukkan imej Islam dan muslimin, mengelirukan  sesiapa sahaja yang ingin mula berjinak-jinak dengan Islam. Entahlah,  tidak diketahui siapa yang perlu memulakan proses perdamaian tetapi yang  pasti masing-masing perlu memperbetulkannya bermula dengan diri mereka  sendiri.
CONTOH PERTEMBUNGAN MERUGIKAN BERPUNCA SANGKA BURUK
Saya  ingin mengambil contoh kepada pertembungan tradisi di antara kumpulan  yang dinamakan sebagai salafi dan khalaf, kaum tua dan kaum muda. Secara  ringkasnya, antara punca utama pertembungan adalah banyak bergantung  kepada sangka buruk serta miscommunication di antara mereka atau juga sengaja mengambil kalam pihak lain secara terpotong (out of context). Berikut adalah maksud saya :-
GELARAN BID'AH
1. Sekumpulan  ilmuan yang digelar salafi atau wahabi sering ‘membelasah’ amalan  tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan nama bid’ah. 
SOALAN  : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi melenting apabila amalan yang  diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel sebagai bid’ah?
JAWAPAN  : Kerana majoriti ilmuan salafi telah berusaha sedaya upaya untuk  mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah satu dosa besar.  Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua besar selepas  syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh sebahagiannya  pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.
AKIBAT  : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah dan merasa diserang,  kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’ akibat dilabel  sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan tadi.  Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.
PUNCA  : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang digelar ‘wahabi’ bahawa  kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.
SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang sepatutnya iaitu:-
Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isu qat’ie atau zanni thubut dan dalalahnya.  Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie, saya yakin sepatutnya kedua-duanya  sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam sebarang hukum dan isu yang tidak  disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah,  mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak  lain sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.
Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau penuh sindiran.
Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih  (berijtihad) untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih  kukuh boleh dilakukan. Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah  memilih untuk beramal dengan pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain. 
Apa  yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan kepada masyarakat  akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari pelbagai  sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan itu  hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang  inginkan orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya.  Tapi jangan sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan  yang berbeza pandangan dengannya.
Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan yang berbeza ijtihad  dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan mempunyai hak untuk  berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah swt dan hampir  kepada Rasulullah saw.
Alangkah baiknya, jika  kita semua berlapang dada dan bersangka baik terlebih dahulu terhadap  usaha ilmuan beraliran lain dari kita. Malangnya sangka buruk sering  didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri merasa diri lebih hebat  dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah, tergambar dibenaknya  pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah kerana  inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan  manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.
Saya  amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa yang waras dan  berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain dan  membawa mereka ke neraka.
GELARAN WAHHABI
SOALAN 2 : Mengapa  kumpulan ilmuan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini  MELENTING, TIDAK PUAS HATI apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang  mereka dengan gelaran Wahhabi?
JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.
AKIBAT:  Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini melenting dan tidak selesa  dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka memperjuangkan ajaran sesat  dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai kafir.
PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan, tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar sebagai mujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.
Masakan  tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan sumber kedua-dua  ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)
Nah,  justeru dari mana datangnya salah satu antara dua aliran ini yang  mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim dan  menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.
Hakikat  sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber kedua-dua kumpulan akan  kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad mengatakan tiada  takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya, justeru  apabila Allah mengatakannya
“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)
Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah ada mempunyai tangan, namun sifat tangan itu tidak sama dengan manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad ulama bermanhaj salafi.
Namun  ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu ‘memotong’ ijtihad di  atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka mewarwarkan  perkataan yang saya gariskan dan memotong  huraian yang sepatutnya, lalu  kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah punyai tangan  macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan bahawa  pihak lain ini mentajsimkan Allah.
Begitulah  satu contoh bagaimana hal ini berlaku, sama ada ia disengajakan atau  tidak. Wallahu’alam. Jika mahu fahamkan lagi bentuk memotong konteks dan  mengambil kata bukan yang dimaksudkan ini, bolehlah dibaca lanjut  tulisan sahabat saya, Al-fadhil Ustaz Hasrizal DI SINI.
Memang  benar, terdapat kemungkinan seseorang penulis itu sememangnya bermaksud  sedemikian dan mentajsimkan Allah. Tapi mengapakah mungkin kita  memasukkan penulis itu dalam mana-mana kumpulan?. Adalah lebih wajar,  kesalahan penulis itu dibebankan kepada dirinya sendiri dan bukan  mana-mana kumpulan, kerana tiada siapa yang boleh mendakwa diri dan  pandangannya mewakili aliran Wahabi.
SEPATUTNYA : JANGAN MUDAH BEBANKAN KESALAHAN ‘SESAT’, ‘BID’AH, APATAH LAGI KAFIR
Jika  kita boleh belajar dari arahan Nabi s.a.w agar berhati-hati dalam bab  hudud, iaitu menjatuhkan kesalahan terhadap tertuduh dalam jenayah yang  melibatkan hudud, nescaya saya yakin semua kita sepatutnya lebih  berhati-hati untuk melabelkan seseorang sebagai:
- Wahabi yang disifatkan sebagai terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah dan sesat
 - Ahbash yang disifatkan sebagai ahli bid’ah yang berlagak soleh tetapi digambarkan mereka jika berterusan dalam amalan mereka lalu akan ke neraka.
 - Menghina nabi kerana mengggunakan hadis dhoif.
 - Khawarij hanya kerana terdapat pandangan dan tindakannya yang membangkang pihak pemerintah secara terbuka.
 - Ahli bid’ah kerana berzikir beramai-ramai dengan satu nada dan sebagainya.
 - Menjadi wahabi yang sesat dan tajsim Allah, hanya kerana ketika solat mengangkang kaki lebih dari biasa, tangan di atas dada atau menggoyangkan jari.
 - Bermazhab Zahiri hanya kerana terdapat beberapa tulisan dan pandangannya yang cenderung kepada mazhab terbabit.
 - Syiah yang disifatkan sebagai kafir dan sesat hanya kerana terdapat luahan kecintaannya kepada ahli al-bayt.
 
Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :
ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة
Ertinya  : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi  kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah  dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam  memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap  (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)
Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :
أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها
Ertinya  : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang  mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol)  maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) (  Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)
Imam  Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut  hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan  dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)
Semuanya  ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan  graduan agama agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’  dan menganggap  seseorang yang berbeza pendapat dengannya atau alirannya dalam sesuatu  masalah hukum sebagai wahabi, ahbash, syiah, bid’ah, khawarij,  muktazilah, murjiah dan lain-lain label yang berat lagi boleh membawa  kepada menyesat dan mengkafirkan.
Sedang  dalam masalah yang lebih ringan dari kafir dan sesat iaitu hudud pun  terdapat hadis di atas menasihatkan agar cuba mencari jalan, bersangka  baik dan mentakwilkan apa yang dibaca dan didengari kepada yang lebih  baik, seperti mungkin tersalah tulis, kesilapan penerbit dan editor,  terlanjur kata, tersasul, terlebih emosi tanpa niat dan sebagainya yang  boleh menghalang kita dari tergesa-gesa dari meletak sebarang label.
Malah  label-label ini juga sama sekali tidak adil khususnya jika ia dilakukan  disebabkan beberapa pandangan sahaja. Perlu diingat satu pandangan yang  sama tidak semestinya SESEORANG ITU TERMASUK di dalam package  mana-mana aliran. Banyak sekali kemungkinan bahawa seorang ilmuan itu  hanya mentarjihkan satu pandangan yang mungkin sama dengan aliran yang  ‘digelar wahabi’ tetapi dia sama sekali tidak pernah mentajsimkan Allah,  membid’ahkan amalan orang lain dan sebagainya. Namun akibat penyakit  sangka buruk dan busuk hati, terdapat individu lain yang memasukkannya  ke dalam label ‘wahabi’.
Tindakan  itu samalah menuduh seorang yang tidak mentajsimkan Allah, sebagai  melakukannya, bukankah itu akan memburukkan keadaan? hanya menyebabkan  pihak yang dituduh akan kembali menyerang dan akhirnya berlakulah  pertempuran, kutuk mengutuk dari generasi ke satu generasi.
'PACKAGE'  SUATU TEKNIK ‘JAHAT’ MENJATUHKAN PIHAK LAIN
Sama  juga dengan individu yang sengaja mengatakan ‘tindakan menyertai  demonstrasi aman’ atau membangkang tindakan dan kesalahan pemimpin  sebagai khawarij. Persoalan wajar atau tidak demonstrasi & teguran  terang-terangan bukan target artikel ini, tetapi saya mengambilnya hanya  sebagai contoh, bagaimana hanya disebabkan seseorang itu menyokong  bantahan terbuka terhadap pemerintah, lalu di cuba dinamakan dan  dilabelkan sebagai khawarij. Sedangkan khawarij itu adalah satu kumpulan  yang menentang pemerintah yang merupakan khalifah dengan jalan  kekerasan atau menggunakan senjata. Khawarij juga mendakwa dosa-dosa  besar menyebabkan kekafiran lalu mengkafirkan pemimpin yang melakukan  dosa besar dan menghalalkan darah mereka. ( Rujuk Fiqh Al-Jihad,  Al-Qaradawi, 1/200 dan 2/1030)
Adakah  mereka yang membangkang ini seperti itu? Saya yakin tidak. Justeru  mengapakah dengan mudah cuba untuk melabel dengan label seburuk Khawarij?
Sedangkan  mungkin sekali mereka yang dilabel itu sama sekali tidak faham seluruh  rukun, polisi dan asas gerakan khawarij yang dikatakan itu. Malangnya  disebabkan sangka buruk dan teknik ‘tidak sihat’ dikalangan sebahagian  ahli agama, setiap kali apabila mereka berbeza pandangan, mereka kerap  mencari nama-nama dan label-label buruk serta diketahui jahat agar boleh  dinisbahkan kepada pihak yang berbeza dengannya. Mungkin harapannya  agar boleh ‘mematikan’ hujah dan sokongan terhadap pihak sebelah sana.
Justeru,  adakalanya kita mendengar gelaran ‘Munafiq’, ‘sama seperti Yahudi’ dan  lain-lain label yang boleh terus memburukkan seseorang ilmuan yang tidak  dipersetujui itu. Inilah juga yang dialami oleh Syeikhuna Dr. Yusuf  Al-Qaradawi, hanya disebabkan satu dua ijtihad beliau yang tidak disukai  oleh sekumpulan pengkaji ilmu, beliau dituduh sebagai ulama kerajaan  (padahal telah dibuang negara dan dipenjara oleh kerajaannya di Mesir),  boneka, munafiq, bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian dan lain-lain  tuduhan tidak bertanggungjawab.
Nabi s.a.w bersabda :
سباب المسلم فسوق قتاله كفر
Ertinya  : Mencela orang muslim itu suatu kefasiqan, dan membunuhnya adalah  kufur ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Mas’ud)
Biasanya,  tindakan label melabel ini biasanya adalah hasil dari niat dan hati  tidak baik pihak yang melabel kerana mahu segera mematikan kredibiliti  mereka yang tidak sama fikiran dan pendapat dengannya. Agar orang  awam terus boleh menjauhi mereka dan pandangan mereka sama sekali.  Akhirnya ustaz-ustaz terus bertelagah dan orang awam berterusan keliru.
Sebahagian orang awam menjauhkan diri dan sebahagian yang lain mengambil keputusan untuk turut serta menyokong ustaz mereka.
Malanglah  kita mempunyai keadaan graduan agama yang sebegini. Kali ini gejala  negatif ini bukan hanya berlaku di kalangan graduan agama yang kurang  cemerlang di universiti malah yang juga cemerlang. Tetapi mungkin  terlalu hairan dengan kealiman sendiri dan terburu-buru, tidak  memikirkan cara pelaksanaan dan ajakan kepada sunnah.
TERGESA-GESA INGIN MEMBAWA PERUBAHAN
Memang benar, sunnah itu jelas tetapi cara ajakan itu adalah terdiri dari hukum-hukum mutaghaiyyirat  dan perlu mengambil kira keadaan dan kesediaan orang ramai. Mengajar  orang ramai dan awam secara tergesa-gesa tanpa proses lunak dan tadarruj  hanya mencipta orang awam yang keliru dan merasa layak untuk berfatwa  sendiri, merujuk ayat dan hadis  secara sendirian, lalu semakin mudahlah  dia tersesat jalan.
Lihat  bagaimana Rasulullah membatalkan hasrat baginda untuk mengubah binaan  Ka’abah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan  melihat umat Islam di ketika itu belum bersedia untuk Ka’abah  diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah :
لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم
Ertinya  : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman  syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula  Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)
Demikian  juga lunaknya baginda nabi s.a.w. ketika baginda menegur seorang  sahabat bernama Mu’awiyah Al-Hakam yang bercakap di dalam solat,  Muawayiah menceritakan walaupun sahabat-sahabat lain marah-marah dan  membuat pelbagai isyarat keras kepadanya, namun sesudah solatnya,  baginda hanya menerangkan kepadanya tanpa menyakitinya, memukulnya atau  mencelanya, baginda bersabda
إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس , إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن
Ertinya : Sesungguhnya ini adalah solat, dan tidak boleh didalamnya kecuali tasbih takbir dan bacaan al-Quran” ( Riwayat Muslim)
KESIMPULAN
Sebenarnya  banyak lagi hasil pemerhatian yang ingin dikongsikan, cuma cukuplah  sekadar itu buat dahulu masa ini. Itupun belum tentu ingin dibaca oleh  graduan-graduan agama yang asyik bertelagah ini, mungkin disebabkan saya  bukan dari aliran mereka, malah saya bukan dari mana-mana aliran.  Salafi tidak memasukkan saya sebagai manhaj salafi, khalaf juga menolak  saya dari kalangan mereka.
Atau dalam bahasa mudahnya:
“Pendokong  Wahhabi tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana saya tidak  membid’ahkan amalan orang lain, pendokong khalaf juga tidak menganggap  saya dari kalangan mereka kerana tidak membantai Wahhabi.”
Atau mereka bakal menolak tulisan ini kerana saya bukan graduan dari universiti yang mereka hormati..
Sebab  itulah saya menyatakan kita perlukan seorang graduan cemerlang dari  pelbagai universiti dan Negara sebagaimana yang disebutkan di dalam artikel sebelum ini. Semoga beliau kelak mampu meredakan pertelingkahan merugikan ini.
Lebih  menyedihkan, sehingga sampai satu tahap kebencian di antara mereka ini,  ada yang cuba memalukan antara satu sama lain memalukan dengan mencela  kelulusan agama, wajah, tubuh, dan cuba pula memalukan keluarga pihak  yang dibenci itu. Adakah ini merupakan amalan sunnah dan boleh  menghampirkan diri kepada Allah?
Paling menyedihakan, sudah sampai satu tahap dimana perpecahan  ini mengakibatkan satu pihak mengharapkan kematian pihak yang tidak  sependapat dengannya atau bergembira dengan kematian individu tidak  sependapat dengannya (jika berlaku).
Seringkali  saya cuba mengingatkan diri dan sahabat-sahabat awam yang mula berjinak  dengan mana-mana kumpulan dan aliran agar segera sedar tipu daya  Syaitan ini. Syaitan sedang cuba membelit kita, kononnya  berjuang untuk kesucian agama dan sunnahnya tetapi rupanya terpedaya  dengan syaitan sehingga menggadaikan larangan qati’e yang ditegah oleh  Allah dan rasulNya iaitu  sangka buruk, mengadu domba, merendah dan  memperlekeh manusia serta mengumpat dan mencela orang lain. Sedang isu yang diperjuangkan 90 % antaranya adalah hanya isu yang bersifat zanni.
Berterusan sebahagian dari mereka melanggar larangan qat’ie kerana memperjuang arahan yang bersifat zanni?
Saya  akui, saya sendiri mungkin tidak terlepas dari apa-apa inti yang  disebutkan di atas dan dengan itu saya memohon keampunan serta  beristighfar kepada Allah swt atas kelemahan-kelemahan diri. Sentiasa  berusaha ke arah kesatuan dan sikap hormat menghormati yang lebih  positif.
Saya  memohon kemaafan jika sebahagian bahasa dalam tulisan ini menyinggung  sesiapa dan aliran yang mereka dokongi tanpa hikmah. Tujuan dan harapan  saya hanyalah untuk melihat sebuah kesatuan dan toleransi di kalangan  ahli agama dalam bab yang cabang atau usul yang zanni serta bersepadu  dalam membanteras yang sepakat salahnya sama ada isu cabang atau usul.
Zaharuddin Abd Rahman


