Thursday, June 18, 2015

HUKUM MAKAN SELEPAS WAKTU SUBUH PADA BULAN RAMADAN










      Ijma’ (Sepakat) Ulama makan selepas azan subuh membatalkan puasa. Imam Al-Nawawi di dalam kitabnya Al-Majmu’ syarah Al-Muhazzab menyatakan tidak ada khilaf dalam kalangan ulama batalnya puasa mereka yang makan selepas masuknya waktu subuh. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah :

إِنَّ بلالًا يؤذِنُ بليلٍ . فكلُوا واشربوا حتى يؤذِّنَ ابنُ أمِّ مكتوم

Mafhumnya : “ Sesungguhnya Saidina Bilal azan pada waktu malam ( azan sebelum subuh ) maka makanlah dan minumlah sehingga Saidina Ibnu Ummi Maktum azan ( azan subuh ) ( Sohih Bukhari 1918 )

      Adapun sebuah hadis  sohih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah nabi s.a.w bersabda :

إذا سَمِعَ أحدُكم النداءَ والإناءُ على يَدِهِ ، فلا يَضَعْهُ حتى يَقْضِيَ حاجتَه منه

Mafhumnya : “ Seandainya kamu mendengar azan, ada makanan di dalam bekas makanan di hadapan kamu janganlah kamu letak sehingga kamu selesaikan hajat kamu” ( Hadis Sohih riwayat Hakim 462 )

      Imam Al- Nawawi menjelaskan pada zaman nabi ada dua azan, azan sebelum Subuh yang dikumandangkan oleh Saidina Bilal dan azan Subuh yang dikumandangkan oleh Saidina Ibnu Ummi Maktum. Kebenaran makan yang diizinkan oleh nabi untuk makan adalah azan pertama sebelum subuh yang dikumandangkan oleh Saidina Bilal.

      Oleh itu, tidak ada pertentangan dalam dua hadis tersebut, justeru itu ulama bersepakat makan selepas azan kedua (subuh) membatalkan puasa.

p/s: Permasalahan yang berlaku sekarang ada sebahagian tokoh yang menggalakkan masyarakat awam terus beramal dengan hadis yang berstatus Sohih tanpa merujuk perbahasan ulama. Ini menyebabkan ramai orang awam yang salah faham dan silap dalam beramal.

      Bukan semua hadis sohih boleh diamalkan. Ada hadis yang bertentangan maksudnya lalu ulama menghimpunkan maksud dua hadis tersebut. Ada hadis yang masih umum maksudnya, lalu dijelaskan oleh hadis yang lain . Ada hadis sohih yang telah dimansuhkan (dibatalkan) hukumnya. Ada hadis sohih yang hukumnya khusus untuk nabi atau sahabat tidak pada orang lain.

      Kesimpulannya, kita sebagai orang awam perlu mengikut mazhab ulama-ulama kita. Tindakan menyeru orang ramai supaya tidak bermazhab boleh mengundang malapetaka dan dosa . Kita sebagai orang awam tidak mampu memahami nas hadis atau al-quran dengan baik seperti ulama-ulama yang mujtahid. Oleh sebab itu, sebahagian sahabat-sahabat nabi yang tidak sampai taraf mujtahid turut mengikut mazhab sahabat-sahabat lain yang wujud pada zaman tersebut,  seperti mazhab Aisyah, mazhab Umar, mazhab Ibnu Umar dan lain-lain. Moga kita semua terselamat daripada fitnah dunia dan akhirat.

Rujukan: 

1. Al-Majmuk syarah Al-Muhazzab ( Imam Nawawi)

2.06pm 19/6/2015
Kampung Kempadang,
Kuantan.


Monday, April 28, 2014

PELABURAN DALAM ISLAM





Pengertian:

Pelaburan dalam bahasa arab ialah mudharabah  مضاربة ( lahjah penduduk iraq juga merupakan istilah yang digunakan dalam mazhab hanafi dan hambali) atau muqaradhah مقارضة ( lahjah penduduk hijaz juga merupakan istilah yang digunakan dalm mazhab maliki dan syafie )

Dari sudut istilah pula bermaksud: " Akad perkongsian keuntungan, salah seorang mengeluarkan harta dan salah seorang mengeluarkan tenaga " (mazhab hanafi)

Dalil pengharusan pelaburan:

1. Al- Quran:

( وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي ٱلأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ )

maknanya: "Dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah (surah al-muzammail ayat 20)

2. Al-Hadis

Daripada Saidina Ibnu Abbas telah berkata: " sesungguhnya Abbas bin Abdul Muttalib sekiranya memberikan harta untuk melabur mensyaratkan kepada pengusaha tersebut supaya tidak membawa harta tersebut melintasi laut, menuruni lembah dan membeli binatang yang hidup.Jika dia melakukan juga, dia hendaklah menanggung ganti rugi. Syarat tersebut telah sampai kepada Rasulullah s.a.w dan baginda mengharuskannya"  - Dhaif diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi -

3. Ijma ulama'

Ijma' ulama' mengharuskan mudharabah sebagai rukhsah (keringanan) atau istihsan (sesuatu yang dipandang baik oleh mujtahid) - nihayatul muhtaj -

Sifat akad mudharabah

Akad mudharabah mengikut pandangan jumhur ulama' sifatnya harus dibatalkan oleh kedua-dua pihak, sama ada pelabur ataupun pengusaha tanpa keizinan dari pihak satu lagi. - mugni muhtaj -

Namun seandainya ada syarat yang disepakati sebelum pelaburan dijalankan supaya pelaburan tersebut dijalankan dalam tempoh-tempoh tertentu, maka kedua-dua pihak wakib mengikutnya berdasarkan sebuah hadis yang mafhumnya:

" Orang Muslim wajib mengikut (syarat-syarat yang disepakati) selagimana tidak menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal"

Jenis-jenis mudharabah:

1. Mudharabah tidak bersyarat:

Akad di dalam pelaburan ini, pelabur tidak mensyaratkan kepada pengusaha supaya berniaga di tempat tertentu, barang tertentu  ataupun cara perniagaan tertentu.

2. Mudharabah bersyarat:

Akad di dalam pelaburan ini, pelabur mensyaratkan kepada pengusaha supaya berniaga di tempat tertentu, barang tertentu  ataupun cara perniagaan tertentu.

Rukun-rukun mudharabah

1  1.    Dua orang yang berakad
2  2.  Lafaz ijab (beri) dan qabul (terima)
3  3.  Modal
4  4.   Pekerjaan
5  5.   Untung

Syarat-syarat bagi setiap rukun

1  1.  Dua orang yang berakad

-       Mestilah orang yang mempunyai kelayakan menguruskan harta iaitu merdeka, baligh, cerdik ( tidak terlalu bodoh) yang cukup syarat untuk menjadi seorang wakil.

-       Orang yang muflis tidak boleh menjadi pelabur, tetapi boleh menjadi penguasaha

2  2.  Lafaz (ijab dan qabul)

-       Jumhur ulama berpendapat akad mudharabah wajib ada lafaz ijab dan qabul.

-       Dibolehkan apa-apa lafaz yang menunjukkan kepada pelaburan seperti: “ aku berikan rm 50 kau niagakan, untung nanti kita bahagi dua” kerana iktibar yang diambil kira pada akad adalah maknanya bukan lafaznya”

    3.   Modal

-       Ulama’ bersepakat modal harus diberi dalam dinar dan perak, adapun selain daripada itu ulama’berselisih pendapat.

-       Jumhur ulama’ menyatakatan tidak sah modal pelaburan dalam bentuk barang-barang perniagaan, kerana barang-barang perniagaan harganya tidak tetap, kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun, dikhuatiri akan berlaku perselisihan antara pelabur dan pengusaha ketika pembahagian untung dan pemulangan modal.


-       Sebahagian ulama mengharuskan modal dalam bentuk duit, kerana menyatakan dinar dan dirham bukanlah yang dimaksudkan oleh zatnya,tetapi yang dimaksudkan dari sudut boleh dikembangkan.

-       Para fuqaha’ mensyaratkan modal yang dikeluarkan untuk sesuatu pelaburan mesti diketahui oleh kedua-dua pihak supaya kelak tidak timbul perkelahian.

4  4.   Untung

-       Ulama’ bersepakat syarat sah mudharabah pembahagian keuntungan kedua-dua pihak mesti diketahui. ( Badaius Soni’, Mughnil Muhtaj, Raudhatul Tolibin ) Jahilnya keuntungan menyebabkan rosaknya akad. Pembahagian keuntungan mesti dilakukan secara nisbah seperti 1/2 , 2/3 dan seumpamanya.

-       Keuntungan tetap tanpa pelabur perlu menanggung risiko kerugian juga diharamkan. Contohnya pelabur mensyaratkan supaya diberikan keuntungan kepadanya rm 10 000 setiap bulan. Ini dilarang kerana akan menyebabkan pengusaha dizalimi seandainya berlaku kerugian.

-       Seandainya perniagaan rugi, pelabur akan menanggung rugi modal manakala pengusaha rugi tenaga.

-       Kalau disyaratkan semua keuntungan diberikan kepada pengusaha akad tersebut bertukar menjadi pinjaman. Kalau disyaratkan semua keuntungan diberikan kepada pelabur akad tersebut bertukar menjadi ibdha’ (  pengusaha hanya menolong pelabur )

5   5.  Dua orang yang melabur

-       Pengusaha mesti menjalankan aktiviti pelaburan sesuai dengan apa yang disyaratkan oleh pelabur, seandainya pengusaha melanggar syarat tersebut dan berlaku kerugian atau bencana pengusaha wajib menanggung kerugian tersebut


Rujukan: 

1. Feqh Islami wa adillatuhu ( Dr Wahbah Zuhaili)
2. Fatawa Kuwaitiah

12.05am 29/4/2014
Muscat Aiport,
Oman.

Related Posts with Thumbnails